Friday, January 16, 2009

LCCT Labu Labi






Tak dapat IJN, try LCCT Labu pulak.
Haih... tak habis-habis nak merompak

Wednesday, January 14, 2009

Segala transaksi yang untungkan Israel adalah haram


Rahbar atau Pemimpin Besar Revolusi Islam Iran Ayatullah al-Udzma Sayyid Ali Khamenei dalam jawaban beliau atas permintaan fatwa (istifta) soal import produk-produk Rezim Zionis Israel dan pengiklanannya menjawab, "Wajib meninggalkan segala bentuk transaksi yang menguntungkan rezim penjajah Israel". Beliau menjelaskan, "import dan iklan produk-produk Rezim Zionis Israel tidak diperbolehkan kepada setiap muslim karena bahayanya kepada Islam dan umat Islam".


Sayyid Ali Khamenei juga menegaskan agar umat Islam tidak mengimpor produk-produk yang produksi dan penjualannya menguntungkan Zionis Israel dan menambahkan, "Setiap muslim wajib tidak membeli dan memanfaatkan produk-produk yang manfaatnya kembali pada Zionis Israel".


Begitu juga mengenai travel-travel di negara-negara Islam yang punya program pelancongan ke Rezim Zionis Israel, Rahbar mengharamkannya karena bahayanya terhadap Islam dan umat Islam. Sayyid Ali Khamenei mengharamkan setiap muslim yang melakukan perbuatan melanggar boikot umat Islam terhadap Zionis Israel.


Pemimpin Besar Revolusi Islam Iran mengharamkan pembelian produk-produk dari perusahaan-perusahaan Yahudi, Amerika atau Kanada bila itu menyebabkan semakin kuatnya Zionis Israel atau akan dimanfaatkan untuk memusuhi Islam dan umat Islam.


Sekaitan dengan jual beli produk-produk Amerika dan seluruh negara-negara Barat Ayatullah Sayyid Ali Khamenei menjelaskan, "Bila pembelian produk-produk impor dari negara-negara bukan Islam dan memanfaatkannya berakibat pada semakin kuatnya negara-negara kolonialisme, para musuh Islam dan atau memperkuat kekuatan finansial mereka untuk menyerang daerah-daerah Islam atau muslimin di seluruh dunia, wajib hukumnya bagi umat Islam untuk tidak membeli dan memanfaatkannya. Hukum ini tidak khusus bagi rakyat Iran yang muslim".
(Sumber: IRIB dan Bakar Haq a.k.a Penarik Beca)

Thursday, January 8, 2009

Free Palestine


Maafkan kami Gaza

Hanya lihat
dan pasang mata

Hanya marah
dan merah mata

Hanya sedih
dan air mata

Hanya doa
dan merah mata

Hanya pekik
dan sorot mata

Hanya malu
dan tutup mata

Hanya suara
dan kata

Hanya simpati
dan cinta

Maafkan kami, Gaza

Bocah-bocah Gaza!
jangan adukan Kami kepada Muhammad

Kami di Indonesia,
jauh dari Gaza


Muhsin Labib
Indonesia

aku tambah sikit...

Bocah-bocah Gaza!
Jangan adukan Kami kepada Muhammad

Kami di Malaysia,
jauh dari Gaza

Saturday, January 3, 2009

Demo anti Israel di Jakarta 2 Januari 2009

Jumpa gambar ini dalam internet. Jumaat lepas (2 Januari 2009), di Jakarta ada demo anti Israel. Jalanraya sesak dengan jutaan manusia. Aduh di KL tak seramai ini.

Bolehkah cakap Anwar dipegang?


Oleh: Ahmad Lutfi Othman


Agak ramai juga yang berkata, Anwar tidak boleh dipegang dengan kata-katanya. Anwar pandai berbelit dan bermain dengan kata-kata. Bagi pihak penyokong Abdullah Badawi pula merasakan selemah-lemah Pak Lah, beliau tidak begitu suka memberi janji-janji kosong dan jaminan tidak berasas, hanya untuk mendapat publisiti. Tuduhan terhadap Anwar ini tentulah tidak patut. Tidak boleh dipegang dengan kata-kata seolah-olah bermaksud menuduh Anwar selalu berbohong.


Kalau seseorang itu tidak boleh dipegang dengan kata-katanya, apa lagi yang boleh mengikatnya. Manusia bukannya ada ekor yang boleh ditarik ekornya. Lainlah dengan kuda, itu pun tidak boleh ditarik ekornya sesuka hati, nanti ditendang buruk padahnya.


Bagaimanapun agak menarik kalau kita perhatikan terjemahan bebas wawancara khas Malaysian Business bersama Anwar Ibrahim selepas beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan :


Apa perasaan saudara mengenai perlantikan baru yang boleh dikatakan sebagai satu bayangan konotasi politik dalam jawatan Menteri Pendidikan ini ?


Ia hanya pertukaran tugas. Mengenai konotasi politik, sebenarnya saya tidak tahu-menahu mengenai hal itu. Terdapat orang yang berjaya dari pendidikan tetapi terdapat juga orang yang gagal. Tapi ia satu pertukaran yang menyenangkan. Saya sedang belajar dengan cepat dan saya ingin membuat beberapa perubahan terutamanya dengan mendengar dan bercakap. Saya tidak fikir perancangan dan polisi pendidikan semestinya diputuskan bulat-bulat oleh Kementerian Pendidikan. Ia sepatutnya disepakati oleh para pendidik, ahli akademik dan profesional serta disokong oleh kementerian.


Jadi, saya banyak menghabiskan masa untuk mendengar... dan terdapat banyak isu. Mereka bercakap mengenai kemerosotan mutu akademik, kemerosotan disiplin di sekolah, polisi sistem pendidikan yang lebih liberal, dan ada juga yang bercakap mengenai pendemokrasian di institusi-institusi pengajian tinggi.... la memberi lebih faedah kepada saya secara peribadi.


Seorang tokoh akademik berkata bahawa "sebab utama Akta Universiti (AUKU)diwujudkan ialah kerana adanya orang seperti Anwar Ibrahim". Apa komen saudara ?


Saya tidak fikir itu benar kerana Akta itu diperkenalkan pada tahun 1971 dan dipinda pada 1975. Pada 1971, saya menjadi pemimpin pelajar, 1975 saya dalam tahanan.


Malahan sebelum itu, terdapat beberapa peruntukan ... saya masih ingat lagi dengan jelas...perkara-perkara seperti kelulusan yang bersesuaian, yang mengawal kebebasan akademik : bagaimanapun itu semua tidaklah begitu muktamad seperti perubahan pada tahun 1975. Sekarang ada beberapa hal yang saya tidak setuju.


Terdapat ahli akademik dan pelajar yang menggunakan akta itu untuk menutup kegagalan mereka sendiri. Orang ramai bercakap mengenai kemerosotan mutu akademik, kekurangan penyelidikan, kemerosotan pencapaian pelajar... saya tidak fikir akta itu boleh digunakan untuk mengukur perkara-perkara ini.


Tetapi saya boleh katakan akta itu perlu disemak semula, ia sepatutnya lebih liberal, ahli akademik perlu dibiarkan sendiri untuk menumpukan terhadap penyelidikan dan membuat kenyataan mereka sendiri agar mereka berasa lebih rileks untuk mengeluarkan pandangan mereka dalam isu-isu akademik dan kebangsaan. Begitu juga pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar memang secara semulajadi begitu kritikal terhadap pembangunan.


Kita sepatutnya bersikap liberal untuk bertoleransi dan saya tidak fikir kita perlukan peraturan-peraturan yang ketat seperti pindaan 1975. Malahan sekarang pun, saya telah mengarahkan semua Naib Canselor supaya bersikap lebih liberal dalam tafsiran mereka terhadap akta itu sementara satu kajian yang menyeluruh mengenai implikasi semakan itu... peruntukan apa yang perlu dipinda. Saya fikir itu adil.


Orang ramai cenderung untuk melabel saudara sebagai antipembangunan sebelum ini. Bagaimana sekarang?


Lebih baik saya katakan saya seorang yang kritikal terhadap isu-isu kemiskinan, pentadbiran yang lemah dan pecah amanah. Saya tetap seperti dahulu.


Dahulu saudara seorang pengkiritik. Sekarang saudara di pihak kerajaan. Bolehkan saudara menerima dengan lebih baik kedudukan pengkritik dalam masyarakat?


Ya, perlu saling menerima. Pengkritik patut menerima halangan-halangan dan masalah-masalah praktikal, realiti dan tanggungjawab mereka yang berada dalam kerajaan.


Adalah perlu wujud perasaan saling menghormati antara mereka di dalam masyarakat. Bagi diri saya, saya yakin perlu diadakan dialog antara kedua-dua pihak dan saya pernah melakukannya. Contohnya, dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Mereka membuat persediaan rapi dan kami berbincang sepanjang hari mengenai beberapa isu berkaitan. Atau ABIM dan ramai ahli akademik dari universiti. Atau isu-isu seperti kemiskinan dan pemulihan tanah.


Saya telah berbincang dengan ramai orang antaranya... Husin Ali, Jomo, Tengku Shamsul, David Gibons dan dua minggu lepas (sehingga waktu wawancara diadakan) saya telah berbincang dengan ramai profesor..... termasuk yang mengkritik kerajaan. Bagaimanapun sesetengah orang lebih kritikal. Apa yang anda harapkan? Apakah mereka fikir saya mengubah semuanya yang mereka rasa menekan di dalam akta itu?


la adalah kerana saudara begitu kritikal terhadapnya sebelum ini... Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), contohnya?


Saya tidak fikir begitu. Saya memang menentang perbuatan itu, saya begitu prihatin terhadap cara perlaksanaannya. Saya rasa terdapat penganiayaan ... pemimpin pelajar ... orang ditangkap kerana perbezaan politik. Tetapi, anda tahu, terdapat beberapa masalah yang kami hadapi. Pertamanya, militan komunis yang kita hadapi.


Kemudian mungkin kamu ingin tahu mengapa kami menangkap pemimpin tertentu PAS di bawah ISA?


Ini kerana mereka secara terbuka menggalakkan rusuhan, mereka memanggil kami kafir.


Kritik dari para elit yang liberal menyebut, "bawa mereka ke mahkamah terbuka supaya pengadilan dapat dilakukan". Tetapi bagaimana boleh membawa mereka dibicarakan di mahkamah terbuka dengan beribu-ribu orang berteriak "Allahu Akbar" di luarnya?


Mungkin saudara ingin menerangkan dengan lebih lanjut hubungan antara PAS dan UMNO.


Saya telah bercakap dengan mereka. Mereka takut untuk berbincang dengan kami kerana takut penyokong-penyokong mereka tidak akan menerimanya. Itulah yang terjadi dalam dialog atau muzakarah antara Mahathir dan Yusof Rawa. Mereka tidak boleh menerangkan kepada penyokong-penyokong mereka.


Saya ke Pulau Pinang untuk mengatur perjumpaan terakhir, kesemuanya mesti secara diam-diam, secara rahsia. Kenapa? Kerana mereka tidak boleh menerangkan perkara ini kepada penyokong-penyokong mereka.


Kenapa mereka perlu begitu takut untuk berjumpa kami? Kit Siang boleh datang dan berjumpa kami bila-bila masa ... walaupun hakikatnya beliau memang penentang kuat kerajaan. Tetapi mereka tidak boleh, kerana mereka telah memberitahu penyokong-penyokong mereka bahawa kami kafir, kami membelakangkan Islam. Mereka seolah-olah akan bergaduh.


Adakah saudara dianggap boleh diterima oleh PAS?


(Terhenti sebentar) ... Saya tidak fikir begitu. Saya bertolak ansur dengan mereka. Saya kata... anda boleh berbincang dengan saya, anda boleh tidak bersetuju dengan saya... tidak mengapa ... cuma jangan berbunuh sesama sendiri. Itulah keseluruhan idea, intipati utama dialog itu.


Bagaimana dengan status UMNO sekarang, perpecahan antara Dr Mahathir dan Datuk Musa?


Iya, ini memang amat malang, ia sesuatu yang tragis. Saya tidak mahu membuat sebarang andaian mengenainya ... tetapi saya mengekalkan hubungan baik dengan kedua-duanya.


Bagaimana dengan krisis Sabah dan PBS?


Ia suatu situasi yang sukar. Dalam pilihan raya yang baru berlangsung, masyarakat bukan Melayu secara umumnya menyokong PBS tetapi orang Melayu berasa tidak patut menyokong PBS pada saat Islam sedang berkembang di Sabah ... kerana tiada wakil Islam yang mencukupi dalam PBS ketika itu. Bagaimanapun, kita terperangkap. Jadi, adalah bagus ... biarkan rakyat membuat keputusan ... dengan meyakinkan mereka mendapat dua pertiga majoriti bersama wakil Islam.


Jadi, pada senario sekarang ini, tiada siapa boleh berkata, dengan membenarkan PBS memasuki Barisan, kita telah mengabaikan orang Islam di Sabah. Itulah dilema kita. Apabila anda berada di dalam kerajaan, anda kena mengambil berat kedua-duanya.


Terdapat persepsi meluas mungkin oleh akhbar luar, bahawa pentadbiran kerajaan ini telah mendapat kritikan dalam pelbagai isu seperti rasuah dan ketidakcekapan pentadbiran, perkara yang sama pernah saudara kritik sebelum ini. Apa komen saudara?


Anda perlu lebih khusus. Saya tidak nafikan terdapat rasuah. Tetapi terdapat banyak tuduhan yang tidak tepat. Ahli perniagaan yang gagal mendapat tender atau kontrak biasanya akan menuduh mereka yang mendapatnya melakukan rasuah. Dalam keadaan ini, adalah sukar untuk mengira bagaimana rasuah itu berlaku.


Bagaimanapun, saya percaya kempen-kempen menentang rasuah perlu dipertingkatkan. Saya percaya Badan Pencegah Rasuah perlu diperkuatkan. Ini tidak bermaksud kami begitu bertolak ansur atau rileks terhadap perbuatan rasuah. Apa yang pihak media luar negara cuba ambil tahu, situasinya agak kompleks.


Memang Dr Mahathir seorang yang kritikal, beliau telah menunjukkan sikap tidak setuju terhadap banyak polisi Barat.


Apabila mereka mengkritik penerapan nilai-nilai Islam, beliau mengingatkan mereka tentang Spanish Inquisition .... Apabila tiba hal perdagangan, beliau meminta mereka untuk bertanggungjawab terhadap perlindungan kepada perusahaan dalam negeri.


Terdapat banyak kritikan, yang kebanyakannya telah membangkitkan perasaan bermusuhan dengan media luar negara yang kemudian mereka menjadi begitu mahir terhadap apa yang berlaku di Malaysia. Tetapi saya rasa media perlu bersikap lebih liberal. Kerajaan perlu bersikap lebih bertolak ansur.


Encik Anwar, secara jujur, adakah saudara percaya bahawa sesetengah rencana oleh Asia Wall Street Journal baru-baru ini adalah sebahagian daripada kempen yang dibuat untuk menjatuhkan kerajaan?


Sengaja dibuat, saya tidak pasti tetapi perasaan untuk menentang kerajaan sudah tentu ada ... terhadap beberapa rancangan. Pertama, kita adalah kerajaan yang kuat di antara negara-negara Dunia Ketiga dengan satu reputasi pencapaian kemajuan.


Pada masa yang sama kita mengambil pendirian untuk berdikari dari Barat. Dan kita telah mengambil beberapa rancangan yang tidak menyerupai ciri-ciri Barat.


Salah satu daripadanya ialah Rancangan Penerapan Nilai-nilai Islam. Oleh itu, pada pendapat mereka rancangan itu mestilah kasar dan menekan ... kerana mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku. Mereka melabelkan kesemuanya Islamik .... Saya telah membaca banyak majalah dan surat khabar - dari Amerika Syarikat hingga ke Australia -dan akan dapat dilihat kebencian mereka ... bagaimana mereka telah menerima maklumat yang salah.


la sama ada kita tidak bertolak ansur atau fanatik atau membuat perkara-perkara ini untuk meredakan kebangkitan Islam di negara ini. Mereka tidak boleh memahami kedudukan sebenar apa yang kita buat di sini... yang sebenarnya tidak langsung menafikan kedudukan bukan Islam di negara ini.


Ambil kes BMF sebagai contoh. Saya menyifatkannya sebagai satu peristiwa yang tragik ... satu daripada skandal membabitkan wang dalam jumlah terbesar pernah berlaku dalam abad ini di negara ini. Tetapi kami tidak duduk diam. Satu siasatan menyeluruh dijalankan dan laporannya diumumkan kepada masyarakat.


Boleh anda namakan negara-negara Dunia Ketiga yang lain yang bersedia untuk melakukannya? Sudah tentu ada sebilangan yang tidak berpuas hati. Mengapa? Kerana mereka ingin melihat Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan yang lain untuk terlibat sama ... kerana mereka telah mempunyai kedudukan politik dan itulah yang berlaku ... beberapa pemimpin terlibat dalam rasuah dan mereka perlu dilibatkan sama walaupun mereka tidak mempunyai sebarang bukti untuk menyokong pendirian atau tuduhan mereka itu.


Saya tidak berminat dengan kedudukan politik. Saya lebih berminat dengan kebenaran dan mereka yang bertanggungjawab dihukum. Saya tidak peduli jika beberapa individu atau golongan tertentu pergi sama ada secara berpuas hati atau tidak.


Tetapi bagaimana pula layanan terhadap Tan Sri Ahmad Noordin? Ramai orang rasa beliau telah difitnah.


Kita memang berterima kasih kepadanya. Saya secara personal berterima kasih kepada Tan Sri Ahmad Noordin ... beliau telah melakukan kerja yang cemerlang. Tetapi terdapat juga masalah ... orang ramai menjadi begitu emosional dengan isu itu. Dokumen itu bukan satu hukuman, ia hanya satu laporan. Mengapa orang ramai tidak boleh menerima keadaan itu?


Sama ada Ahmad Noordin atau penyokong-penyokongnya atau para pengkritik tidak patut memikirkan laporan itu sebagai begitu sempurna. Ini tidak bermakna semua tuduhan itu benar. Ia hanya laporan akauntan. Terdapat beberapa kenyataan tidak tepat dari beberapa menteri. Tetapi adakah ini bermakna kerajaan secara moralnya telah merosot atau bercakap tanpa prinsip?


Anda perlu memberi penghargaan pada tempatnya... kami menunaikan janji kami... kami menerbitkan laporan itu. Tetapi kami mengambil masa, kami perlu pastikan bahawa ia adalah sahih dan betul terhadap semua tuduhan yang dilemparkan. Dan tiada siapa dapat menafikan bahawa ... ramai orang yang tidak bersalah tetapi menerima akibat yang tidak baik.


Sama juga keadaannya kerajaan yang ingin menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melindungi mereka yang tidak bersalah. Ia dilakukan bukanlah sekadar atas desakan ramai atau tekanan dari pihak tertentu.


Encik Anwar, soalan yang terakhir. Sekarang ini, seolah-olah wujud perasaan meragui kerajaan secara umum. Mengapa?


Mungkin ahli-ahli perniagaan. Mereka seolah-olah meragui kerajaan sekarang, tetapi tiga tahun lalu, mereka adalah orang suruhan kepada kebanyakan ahli politik. Mereka tidak bercakap mengenai prinsip-prinsip, tiada soal moral terbabit. Apa yang penting ialah apa yang mereka dapat, bila tidak dapat, mereka mengutuk.


Saya bukannya ingin membela mana-mana individu atau sikap melampau yang mereka lakukan, tetapi saya rasa seseorang perlu diberi peluang yang adil untuk menerangkan kedudukan sebenar. la bukan sekadar apa yang masyarakat rasakan secara umum, tetapi satu kebenaran. Siapa mereka ini dan apakah yang mereka perkatakan?


Apa yang mereka perkatakan adalah mengenai tender atau mutu kontrak, kalau mereka mendapat tanah atau sesuatu yang mereka perolehi dari seseorang, lalu mereka menyokong orang itu.


Perkara-perkara seperti itu adalah dahsyat. Saya sendiri susah hati. Anda tahu apa sebabnya? Saya tiada kaitan langsung dengan kontrak atau tender. Saya menolak untuk dikaitkan dengan itu semua, dalam Kementerian Pertanian dan sekarang. Orang datang berjumpa saya untuk mendapat kontrak .... Saya kata, pergi jumpa pegawai yang berkaitan.


Kalau mereka merayu, saya akan beri perhatian dengan bertanya jawatankuasa yang berkaitan, lembaga berkaitan tender. Jika mereka tuduh terdapat rasuah, saya kaji dan jika benar berlaku, saya serahkan kepada pihak BPR untuk membuat keputusan. Sekarang tersebar luas soal meragui kerajaan datang dari siapa?


Saya pergi banyak tempat dan saya tidak fikir ia datang dari kampung-kampung. Sudah tentu terdapat pengaruh PAS, tetapi kebanyakan pembangkang di bandar. Kemudian, mungkin golongan elit yang liberal. Mereka memang sentiasa mengkritik: Ketika saya di kampus, saya pernah bersama mereka dalam keadaan tertentu. Beritahu saya, akta mana yang mereka pernah setujui, beritahu kami rancangan mana yang popular, beritahu kami Perdana Menteri mana yang mereka sukai atau sokong? Tetapi mereka lebih lantang sekarang. Kerana Dr. Mahathir bersikap liberal. Jadi, orang berasa lebih bebas untuk mengeluarkan pendapat mereka.


Sekarang, golongan yang lebih kritikal selain dari golongan ini ialah ahli-ahli perniagaan, ataupun mereka yang bermasalah dan kebanyakannya dibuat sendiri. Lihat senarai pinjaman mereka dengan beberapa bank. Mereka menyusahkan diri mereka sendiri dan meminta kerajaan untuk menjamin mereka. Saya tidak berkata semua tuduhan itu tidak adil. Terdapat sungutan yang berasas, tetapi secara keseluruhan, ini adalah kerana mereka tidak mendapat kontrak. Apa yang kami lakukan? Kami tidak mempunyai banyak kontrak lagi sekarang.


Nota : Rencana ini ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman dalam buku "Anwar lawan Ghafar ?", Penerbitan Pemuda, 1993. Sekarang beliau merupakan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah.

Bagaimana Anwar agihkan kekayaan negara?


Oleh: Ahmad Lutfi Othman


Apabila Anwar dilantik menjadi Menteri Kewangan, golongan yang pernah bersamanya dalam ABIM dahulu tidak terlalu mengharapkan Anwar dapat mengemukakan projek pembangunan dan kewangan yang Islamik secara menyeluruh. Apa yang mereka rasakan, paling kurang Anwar dapat mengawal, mengurang dan seterusnya menghapuskan aktiviti perjudian yang sepenuhnya di bawah Kementerian Kewangan.


Subky Latif pernah mengulas hal ini, Harakah, 18 Mac 1991: “Mungkin dulu sebagai budak sekolah dan sebagai tokoh Pemuda Umno, maka mudah bercakap untuk mengharamkan judi dan memansuhkan riba. Tetapi sebagai Menteri Kewangan tidaklah boleh bercakap sebagai budak sekolah dan sebagai Ketua Pemuda. Setakat ini tidak ramai yang percaya Anwar akan mengaharamkan judi. Bukan dia tidak mahu tetapi tidak terdaya untuk melaksanakannya kerana Umno tidak berpendirian begitu. Jika lesen judi diteruskan juga maka samalah dia dengan saudagar judi dan kaki judi.”


Timbalan Yang Dipertua PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang membangkitkan isu judi ini pada Disember 1992 dan meminta Anwar menyatakan jenis-jenis perjudian yang diberi lesen oleh Kerajaan Pusat untuk menjalankan oiperasinya mengikut pecahan negeri. Hal ehwal perjudian sepenuhnya terletak di bawah Kementerian Kewangan.


Wakil Anwar iaitu Timbalan Menteri menjawab sebanyak lapan jenis judi telah dikeluarkan kepada semua negeri, kecuali Kelantan. Antara lesen-lesen judi yang telah diberikan lesen oleh Kerajaan Pusat ialah Lesen Pertaruhan Empat Nombor Ekor, Lesen Pertaruhan Ramalan 3D, 1-3D dan Loteri Sweepstakes, Lesen Pengendalian Mesin Slot kepada Kelab-kelab Syarikat dan Kelab-kelab Persatuan, Lesen Kasino di Genting Highland, Lesen Pertaruhan Nombor Ramalan 4D, 3D dan Lotto dan Lesen Pertaruhan Nombor Kuda.


Menurut Ustaz Abdul Hadi, apa yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan itu memperjelaskan lagi sikap kerajaan yang menolak syariat Islam walaupun mereka bercakap mahu kepada Islam, sebaliknya mengambil kira kepentingan dari sudut ekonomi yang sempit. “Jelaslah di sini Kelantan yang dikuasai Barisan Nasional judi terus berleluasa,” tegas Ustaz Abdul Hadi.


Semasa membentangkan ucapan dasar selaku Presiden ABIM, pada Ogos 1980, Anwar menegaskan: “Sebarang percubaan untuk meletakkan Islam kepada suatu sistem yang masih membenarkan riba dan arak, pemerasan dan perjudian adalah suatu penghinaan terhadap Islam.”


Bagi ahli-ahli Parlimen PAS tentunya prihatin dengan sikap yang langsung tidak menunjukkan keazamannya untuk menghapuskan judi tetapi lebih menarik ahli-ahli Parlimen DAP turut terkejut dengan sikap Anwar itu.


Ketika membahaskan Belanjawan 1993, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Wee Choo Keong menegaskan: “Apa yang patut dibuat oleh kerajaan ialah mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas PERJUDIAN untuk syarikat-syarikat seperti Magnum, Sport Toto, Big Sweep dan lain-lain yang sentiasa memperolehi keuntungan besar dengan senangnya. Akan tetapi selama dua tahun berturut-turut di bawah YB Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan, perjudian telah dikecualikan daripada sebarang penambahan cukai.


Perkara ini seandai menggambarkan dengan jelas bahawa YB Dato Seri Anwar Ibrahim amat menyokong perjudian. Dakwaan yang beliau adalah seorang pemimpin Islam hanyalah topeng untuk memperbodohkan rakyat jelata sahaja.”


Dalam kenyataan seterusnya Wee percaya, “bahawa semua rakyat mengetahui bahawa PERJUDIAN mendatangkan bencana untuk masyarakat dan sebenarnya telah memecahbelahkan banyak keluarga. Dalam hal ini Kerajaan Barisan Nasional sepatutnya mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi untuk perjudian bagi mencegah aktiviti-aktiviti ini dalam negara kita. Sebaliknya, jelas hari ini sehingga ini, Kerajaan BN sedang menggalakkan industri perjudian untuk berkembang. Kita semua tahu kenapa Kerajaan BN tidak menaikkan kadar cukai ke atas PERJUDIAN.


Saya pasti semua rakyat mengetahui tentang hubungan di antara YB Dato Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan dan YAB Dato Seri Dr Mahathir, Perdana Menteri dengan Tan Sri Vincent Tan dan Encik Ananda Krishnan. Kita juga tahu bahawa baru-baru ini YB Dato Seri Anwar Ibrahim pergi ke Johor Baharu dengan helikopter untuk perasmian persidangan Umno Baru Johor.


Saya percaya bahawa Tan Sri Vincent Tan telah menyewakan helikopter tersebut untuk beliau. Saya telah diberitahu oleh sumber yang boleh layak dipercayai bahawa Tan Sri Vincent Tan telah dikurniakan tanah konsesi yang sangat besar di Pulau Redang dan Pulau Tioman dengan harga yang murah. Saya juga telah dimaklumkan bahawa selepas itu Tan Sri Vincent Tan telah menjualkan tanah-tanah konsesi di dua pulau ini kepada Berjaya Group of Companes dengan harga beberapa ratus juta ringggit. Daripada kenyataan di atas, kami dapat melihat dengan jelasnya kenapa kerajaan tetap enggan untuk mengenakan kadar cukai yang tinggi untuk industri PERJUDIAN walaupun kebanyakan rakyat membenci perjudian.”


Wee seterusnya menyifatkan Wawasan 2020 hanyalah slogan bankrap seperti slogan-slogan kosong BERSIH, CEKAP DAN AMANAH dan TRADISI MEMBELA RAKYAT: “Apabila slogan-slogan tersebut telah diumumkan oleh YAB Dato Seri Dr Mahathir pada masa itu, Rasuah, Penyalahgunaan Kuasa dan Nepotisme terus berkembang dan digalakkan.


Contohnya ialah skandal BMF RM2.5 bilion, EPF Makuwasa, Projek UEM Lebuhraya Utara Selata, skandal sepuluh juta saham Telekom dihijack oleh Presiden MIC, jualan beratus-ratus ekar tanah yang berharga di Bukit Kiara kepada Tan Sri Vincent Tan dan sebuah syarikat di Singapura yang bernama Lum Chang Holdings Ltd untuk lebih kurang satu juta ringgit seekar.”


Beliau kemudiannya merujuk kepada kenyataan Anwar semasa membentangkan belanjawan itu. Anwar berkata: “Kita juga perlu lebih peka dan waspada terhadap perebutan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kerajaan mempunyai tanggungjawab menjaga kewibawaan dan melindungi imej bersihnya dan tidak akan membiarkan seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit.”


Wee menegaskan: “Kenyataan itu kedengarannya seperti semasa beliau menjadi pemimpin ABIM. Ramai orang mengetahui bahawa YB Dato Seri Anwar Ibrahim telah tidak percaya kepada prinsip yang diucapkan itu. Ia sekadar “melepaskan batuk di tangga” sahaja dan untuk memperbodohkan rakyat. Biarkan saya menasihatkan beliau bahawa dengan izin “you can fool some of the people some of the time but not all the people all the time”.


Wee Choo Keong seterusnya mempersoalkan Anwar: “Jika YB Menteri Kewangan menganggap beliau bersih, saya harap beliau dapat jawab perkara-perkara berikut:


1. JUALAN TANAH YANG UTAMA DI BUKIT KIARA DENGAN HARGA “GIVE AWAY”


Lebih daripada 500 ekar tanah yang utama telah dijual kepada pelabur-pelabur swasta dengan harga “Jualan Murah”. Saya telah dimaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjual lebih kurang 270 ekar tanah di Bukit Kiara kepada Bukit Kiara Equestrian Club, dengan harga kurang daripada RM30 ribu seekar sedangkan harga pasaran tanah tersebut adalah lebih kurang RM1 juta seekar. Tanah yang utama ini telah dijualkan oleh DBKL kepada Tan Sri Vincent Tan tanpa terlebih dahulu mendapat laporan penilaian dan tawaran terbuka. Kenapa YB Dato Seri Anwar Ibrahim membenarkan jualan tanah tersebut di Bukit Kiara dengan harga yang begitu rendah? Dalam lain perkataan ia seolah-olahnya diberikan percuma. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah Pengerusi bagi Jawatankuasa Anti Penyelewengan. Kenapa beliau mebutakan matanya dalam kes jualan tanah ini sedangkan ia menjejaskan kepentingan orang ramai? Kenapa beliau tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyiasat skandal jualan tanah tersebut? Tindakan untuk menyiasat skandal jualan tanah tersebut? Adakah kerana beliau telah diberikan keahlian dengan percuma untuk Bukit Kiara Equestrian Club? Atau beliau telah diberi konsesi yang istimewa untuk menunggang kuda di kelab tersebut. Adalah menjadi rahsia terbuka bahawa YB Dato Seri Anwar Ibrahim dan YAB Dato Seri Dr Mahathir Mohamad adalah ahli-ahli yang kerap mengunjungi kelab tersebut dan menunggang kuda di kelab tersebut.


Bahkan, semua orang tahu bahawa YB Dato Seri Anwar Ibrahim pernah mendapat kecederaan leher apabila beliau jatuh dilempar daripada kuda di kelab tersebut? Agaknya kuda pun tahu skandal ini dan ingin mengajar Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Anti Penyelewengan yang tidak menjalankan tanggungjawab? Dalam belanjawan ini, duti untuk alat-alt bagi menunggang kuda telah dihapuskan. Adakah orang-orang kampung atau penaja di bandar yang miskin dapat manfaat daripada dasar ini? Maka jelas, YB Menteri Kewangan hanya berminat menggunakan kedudukannya untuk kepentingan dirinya sahaja.


2. JUALAN LEBIH KURANG 365 EKAR TANAH YANG UTAMA DI BUKIT KIARA KEPADA SEBUAH SYARIKAT SUBSIDIARI YANG DIASASKAN DI SINGAPURA.


365 ekar tanah di Bukit Kiara telah diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan dengan harga yang sangat murah untuk tujuan tunggal bagi “National Cemetery”. Kemudiannya kerajaan telah menjualkan tanah tersebut kepada DBKL dengan harga RM59, 725.00. Pada 6 Jun 1991 DBKL telah menandatangani satu perjanjian pajakan selama 96 tahun untuk 365 ekar tanah yang berharga di Bukit Kiara kepada Kuala Lumpur Golf and Cuntry Club Sdn Bhd (KLGCC) dengan harga RM59, 725.00 seekar untuk tanah tersebut, tepat dengan harga yang sama seperti kerajaan menjualkan kepada DBKL bertahun-tahun yang lalu. Mestilah diambil perhatian bahawa DBKL telah menjual tanah tersebut dengan harga RM 59,725 seekar tanpa terlebih dahulu mengadakan tawaran terbuka atau laporan penilaian. Perjanjian tersebut telah dibuat secara rahsia tanpa mendapatkan nasihat undang-undang daripada Peguam Negara.


99 peratus KLGCC adalah dimiliki oleh sebuah syarikat yang dipanggil Solarvest Sdn Bhd (Solaverst). Solaverst adalah sebahagian daripada Lum Chang Holdings Ltd (Lum Chang), sebuah syarikat Singapura. Pengarah Urusan KLGCC dan Solarvest ialah Encik David Lim Kok Seng yang beralamat di 20, Cherry Anenue, Singapura 1027. Beliau juga adalah Pengarah Pengurus Lum Chang di Singapura. Dengan izin, “issued and paid up capital” KLGCC adalah hanya RM10 juta dari Solarvest adalah hanya RM2 juta. Oleh yang demikian jumlah wang yang dilaburkan oleh Lum Chang, Singapura ialah RM12 juta sahaja. Pada 26 Februari 1992, KLGCC/Lum Chang Singapura telah mengutip wang berjumlah RM48.86 juta.


Yuran keahlian untuk kumpulan kedua adalah RM 100 ribu setiap orang dan ia hanya ditawarkan dibuka untuk 300 orang pemohon-pemohon, Ini bermakna bahawa Lum Chang Singapura akan mengutip wang berjumlah RM30 juta lagi. Dengan mengambil lebih banyak ahli-ahli, Lum Chang Singapura tidak perlu sebarang modal untuk membina kelab golf tersebut, Lum Chang Singapura tentu mendapat keuntungan beratus-ratus juta ringgit.


Lum Chang Singapura juga telah memohon kepada DBKL untuk membina 901 unit Resort Suites Condominium di atas 365 ekar tanah tersebut di Bukit Kiara. Pada 7 Mac 1992, DBKL masih belum meluluskan pembinaan 901 unit Resort Suites Condominium.


Berdasarkan Perjanjian Pajakan dan Perjanjian Tambahan Pajakan kedua-duanya bertarikh 6 Jun dan Perjanjian Tambahan Pajakan kedua-duanya bertarikh 6 Jun 1991, tiada peruntukan untuk membina sebarang Resort Suites di atas 365 ekar tanah tersebut. Saya tidak faham bagaimanakah Lum Chang dapat memohon untuk membina 901 Resort Suite, sedangkan perjanjian pajakan hanya memperuntukkan pembinaan padang golf? Jualan tanah tersebut adalah penuh dengan desas- desus (Scandalous) dan adalah sangat jelas bahawa ada seseorang yang mendapat jumlah wang rasuah (kick – back) berjuta-juta ringgit yang ditanggung dalam perbelanjaan negara ini.


Sebagai seorang warganegara Malaysia, saya berasa amat sedih dan malu kerana Kerajaan Persekutuan sanggup untuk membenarkan tanah utama kita dijualkan kepada orang asing dengan harga kos tanpa mengambil kira kos pegangan; lain-lain kos dan harga pasaran. Lebih teruk lagi apabila kita mendapat tahu yang rakyat asinglah paling banyak mengaut keuntungan daripada penyelewengan ini.


Mestilah diambil perhatian bahawa harga pasaran tanah tersebut pada masa itu adalah dalam lingkungan RM1 juta seekar. Oleh yang demikian, kerajaan dan negara kita mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM300 juta dengan satu ‘gerakan pen” pada 6 Jun 1991 iaitu hari di mana perjanjian pajakan ditandatangani.


Ingin saya bertanya kepada YB Dato Seri Anwar Ibrahim, bagaimanakah beliau tidur dengan nyenyak pada malam hari,sedangkan pada siang hari beliau menyebutkan kata-kata seperti “kerajaan mempunyai tanggungjawab menjaga kewibawaan dan melindungi imej bersihnya dan tidak akan membiarkan seekor kerbau membawa lumpur hampir semua terpalit”?


Bukankah kerbau yang membawa lumpur itu beliau sendiri yang membenarkan orang asing merompak tanah berharga negara kita dengan terang-terang di depan mata beliau? Biarkan saya memberitahu YB Menteri Kewangan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Anti Penyelewengan bahawa “jika beliau tidak dapat memberhentikan dengan izin scandalous land transactions ini, beliau lebih baik lupakan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri kerana beliaulah yang sepatutnya disiasat atas hubungannya dengan pelbagai penyelewengan yang berlaku.”


Saya juga ingin bertanya YB Menteri Kewangan kenapakah sistem mass transit di Kuala Lumpur diberikan kepada Lum Chang tanpa tawaran terbuka? Sama ada Kerajan BN atau Menteri Kewangan sendiri ada kepentingan dalam syarikat asing, Lum Chang oleh kerana kerajaan menjualkan tanah utama di Bukit Kiara dengan harga yang paling rendah dan juga menawarkan kontrak sistem mass transit berharga RM6 bilion?


3. SKANDAL TAN SRI MUHAMMAD MUHD TAIB – JUALAN TANAH SELUAS 400 EKAR


Pejabat Tanah Daerah Petaling, Selangor telah diarahkan untuk menjual sekeping tanah pada 13 Mac 1992 seluas 161.874 hektar (400 ekar) di Bukit Cerakah, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling. Tanah ini dijual kepada sebuah syarikat dengan harga RM1 ribu sehektar. Ini bermakna tanah tersebut hanyalah lebih kurang 10sen sekaki persegi. Hari ini sebatang rokok pun tidak boleh dibeli dengan harga 10 sen, apatah lagi sekaki persegi tanah. Alangkah lucunya bila kita mendengar sebuah kerajaan negeri menjual tanah bernilai 10 sen sekaki persegi. Bukankah ini suatu jualan murah yang termurah di dekad ini? Bukankah ini satu contoh rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan?


Tanah ini sedang ditawarkan untuk dijual kepada banyak syarikat. Harganya telah meningkat iaitu RM4 sekaki persegi. Ini bermakna keuntungan sebanyak RM60 juta akan dibuat dengan satu “leretan pen” sahaja. Jelas yang untung bukannya kerajaan negeri atau rakyat jelata tetapi orang tertentu yang menyalahgunakan kuasanya. Saya dimaklumkan yang Tan Sri Muhammad Muhd Taib telah meluluskan tanah ini untuk dijualbeli. Keuntungan penjualan ini dikatakan akan dikaut oleh dirinya sendiri bagi tujuan kempen pilihanraya Umno baru tahun depan. Ini adalah satu lagi kes yang amat terang tentang salah laku dan penyelewengan yang menjadi amalan biasa Kerajaan Barisan Nasional. Jangan mimpi Wawasan 2020 akan berjaya kerana slogan Bersih, Cekap dan Amanah telah lama dipijak-pijak oleh pemimpin –pemimpin Barisan Nasional sendiri.”


Segala persoalan yang dibangkitkan oleh Wee ini tidak pernah dijawab secara menyeluruh oleh Anwar. Ia tentu membangkitkan banyak lagi persoalan mengenai kewibawaan Anwar mengendalikan khazanah kekayaan negara. Apakah Anwar yang sudah mula berkawan rapat dengan tokoh-tokoh korporat lupa nasib rakyat terbanyak yang memerlukan pembelaan? Apakah amaran yang pernah diberikan oleh ABIM di bawah pimpinan Anwar dulu kini boleh digemakan kembali kepada Anwar? Cubalah saudara pembaca sendiri mangkaji dan merenung amaran dan penegasan ABIM itu:


“Di bidang ekonomi kita juga menyaksikan keadaan yang tidak kurang ngerinya. Segolongan manusia gagah memeras golongan manusia-manusia kerdil. Kelopok kecil orang-orang gagah inilah sahaja yang sebenarnya telah dapat menikmati kehidupan mewah, sedang jutaan rakyat buruh, petani dan nelayan hanya menerima debu-debu kemakmuran, upah murah dan pendapatan rendah. Mereka terbelenggu dalam sistem ekonomi riba yang berganda-ganda, dicekik oleh orang tengah, inflasi, banjir dan kemarau.


“Pembangunan ala kapitalis yang bersifat urban bias telah mengabaikan majoriti rakyat di perdesaan kerana pembangunannya terlalu menumpu ke bandar. Namun begitu kehebatan pembangunan kota rupa-rupanya tidak juga untuk semua. Sebaliknya hanya untuk segelintir manusia sedang jutaan yang lain tersudut di kawasan-kawasan sesak dengan “rumah-rumah haramnya” yang sentiasa cemas diancam raksasa bernama buldozer bandaraya. “Kehidupan kota” dengan segala rempah ratusnya menampilkan gambaran yang penuh dengan jurang pertentangan yang mewah dan yang melarat, yang gagah dan yang lemah dan seterusnya yang semuanya menandakan matinya nilai keadilan. Kehidupan desa pula menampilkan gambaran yang serba lesu dan sayu, terlantar dan terbiar.”


Tidak cukup dengan itu atau mungkin Anwar ketawa sahaja membaca pendirian ABIM yang sudah lapuk itu, bagaimana kalau Anwar menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah antara tokoh yang bertanggungjawab membawanya masuk menyertai Umno. Anwar atau orang-orangnya mungkin dengan mudah menolak hujah Tengku Razaleigh dengan kembali menyindir program dan tindakan Tengku Razaleigh sendiri semasa mengetuai Kementerian Kewangan dahulu. Tapi saya rasa sebagai pemimpin yang bercita-cita besar menjadi PM, Anwar wajar mendengar semua kritikan terhadapnya.


“Kita patut bertanya syarikat manakah yang memiliki sebahagian besar daripada hartanah yang paling mahal di ibu kota? Siapakah yang akan mendapat kontrak membina sistem pembentungan najis yang bernilai enam ribu juta ringgit? Siapakah yang mendapat keuntungan daripada pembangunan Pulau Langkawi, Pulau Redang dan Pulau Layang-layang? Siapakah taukeh besar pusat rekreasi Bukit Kiara di ibu kota? Siapakah yang menjadi broker kepada kepada memorandum persefahaman membeli senjata moden yang bernilai beribu-ribu juta ringgit? Syarikat milik siapakah yang paling banyak disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur? Siapa yang akan memiliki kekayaan hartanah di kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara apabila ia kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara apabila ia dirobohkan kelak? Syarikat swasta manakah yang paling beruntung daripada krisis tenaga hari ini? Apakah penoreh getah yang mendapatmya? Adakah kaum nelayan dan peneroka Felda yang memiliki saham dalam syarikat-syarikat tadi? Kenapa di saat negara ketiadaan wang untuk membayar bonus dan menyediakan skim perumahan kepada kakitangannya serta menambahkan peruntukan untuk pembangunan luar bandar, mereka bercakap tentang melipatgandakan projek mewah di dalam bandar? Untuk apa projek-projek itu? Untuk rakyat terbanyakkah atau untuk komisyen orang tertentu,” tegas Tengku Razaleigh.


Sekali lagi kita hujahkan suasana pembahagian kekayaan negara dengan komen ABIM di zaman Anwar dahulu: “Suatu keadaan yang amat menjolok dalam masyarakat kita sekarang ialah wujudnya segolongan orang yang hidup mewah berpoya-poya di tengah-tengah ratap tangis derita rakyat miskin yang tertindas. Ini amat mencemaskan sekali kerana mengikut hukum Sunnatullah keadaan demikian adalah merupakan gejala kehancuran masyarakat. Apa sesebuah masyarakat itu sudah dikuasai oleh golongan “luxury loving people” –golongan yang mencintai kemewahan dan kemoncahan hidup duniawi – maka itulah tandanya masyarakat tersebut sedang mendekati ajal kehancurannya.


Firman Allah (Al-Isra’: 16) bermaksud: “Dan jika kami hendak membinasakan suatu negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”


Kenyataan rasmi ABIM zaman Anwar itu mendedahkan lagi: “Kecenderungan ke arah “luxurious life” adalah punca berbagai penyakit sosial. Kegilaan dalam gaya hidup moncah dengan mudah boleh menyebabkan seseorang itu pecah amanah, menipu, mementingkan diri, tidak bertanggungjawab, kehilangan dedikasi, tidak tahan lasak dan serba lemah.


Dalam hubungan ini Ibnu Khaldun pernah menyatakan bahawa kehidupan moncahlah yang merupakan faktor terpenting berleluasanya amalan rasuah. Kalau kita menelaah catatan-catatan sejarah jatuh bangunnya umat Islam, nanti kita akan ketemu dengan satu kesimpulan bahawa antara faktor terpenting kegagahan dan keunggulan umat Islam dahulu ialah “kesederhanaan’ dalam kehidupan. Apabila umat Islam mulai terjerumus dalam kancah kehidupan moncah, maka bermulalah zaman kelemahan dan kejatuhan mereka kerana perhatian mereka sudah beralih dari amal dan jihad kepada kemewahan dan kemoncahan.”


Nota : Rencana di atas ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, dalam bukunya "Memo Buat Bakal PM", Penerbitan Pemuda, 1993. Ahmad Lufti sekarang adalah Ketua Pengarang Kumpulan Harakah