Saturday, June 12, 2010

Entahlah....

Lama betul tak update blog. Last aku update blog malam raya tahun lepas, masa tu aku masih lagi di Harakah tapi sekarang aku sudah pun bekerja di Astro Awani. Mungkin lepas ni aku akan update banyak lagi.
Sekarang sudah tiba musim World Cup. Cakap pasal World Cup teringat lesen judi bola. Aku masih tak faham kenapa lesen judi boleh perlu dikeluarkan. Judi secara 'halal' atau haram ianya akan memberi kesan buruk kepada masyarakat. Mereka yang berjudi jika kalah tidak mustahil akan berjudi lagi untuk memastikan kemenangan dapat dicapai. Tidak mustahil akan berlaku pula kejadian berhutang dengan along. Dan ini akan menambah beban.
Lagi satu ada menteri lidah kontot berkata lesen judi dikeluarkan kepada syarikat Ascott kerana mahu mengelakkan masalah judi haram. Maka kata si lidah kontot yang menerajui satu kementerian penting ini, judi halal perlu diwujudkan. Sejak bila pula ada judi halal? Ada lesen atau tiada, judi tetap haram. Malang bagi Umno kerana mempunyai pemimpin seperti si lidah kontot ini.
Selain itu timbul keraguan kerana Perdana Menteri mengatakan lesen judi masih belum diluluskan tapi kerajaan mahu menunggu maklum balas rakyat terlebih dahulu. Tetapi, pemilik Ascott, Encik Vincent Tan dalam satu kenyataan kepada BSKL berkata lesen perjudian sukan kepada syarikat milik beliau telah diluluskan sejak Mei lalu. Mana satu betul? Encik Perdana Menteri cakap bohong atau encik Vincent Tan yang berterus terang?
Entah lah apa nak jadi, semua benda umum lepas tu cakap belum diputuskan untuk dapat maklum balas rakyat dahulu.
Entahlah...

Saturday, September 19, 2009

Salam Eidul Fitri

Salam lebaran. Lama betul tak update blog. Sibuk dicampur lagi dengan malas maka dah lebih dua bulan blog ni tak diupdate.

Aku update blog kali ni di malam raya. Tak balik kampung lalu apa lagi nak buat. Kenapa setiap kali raya mesti balik kampung? Tak boleh ke kalau semua yang tinggal kat kl ni raya je di sini?

Satu lagi yang agak klise bila ada yang cakap.. "raya sekarang dah tak best... tak meriah macam dulu,". Kalau dah tak best kenapa balik kampung? Sebenarnya bukan raya dah tak best... cuba tanya budak-budak, best tak raya? Mesti diaorang akan cakap... best. Kita rasa tak best sebab faktor umur yang dah meningkat, jadi semangat nak raya tak sama macam zaman kita budak-budak. Ye lah kalau budak-budak, ada rasa tak sabar nak pakai baju baru, nak dapat duit raya dan nak main mercun. Tak kan yang dah besar panjang macam kita ni - sesetengah tu dah ada anak, mungkin dah nak dapat menantu atau cucu - masih lagi tak sabar nak pakai baju baru. Nak harap dapat duit raya, rasanya tak dapat dah... nak kena hulur lagi adalah, nak main mercun boleh lagi tapi tak lah meriah macam zaman budak-budak. Jadi sebenarnya, raya bukan dah tak best, tapi umur kita yang meningkat membuatkan kita sering bernostalgia kemeriahan raya ketika zaman kanak-kanak.

Macam juga kita dengar lagu, kita tak dapat nak masuk dengan muzik budak-budak zaman sekarang, jadi kita kata lagu sekarang dah tak best. Yang sebenarnya, umur kita yang meningkat itu menyebabkan kita bernostalgia ketika kita remaja atau muda-muda. Jadi bila bernostalgia, kita akan ingat semua benda yang indah termasuk lagu... lagu zaman kita, kita enjoy lagu zaman kita jadi kita rasa lagu zaman tu lagi best dari lagu sekarang. Sama macam zaman kita remaja, mak ayah kita kata lagu yang kita dengar entah apa-apa dan mereka kata lagu zaman mereka muda-muda lagi best.

Jadi, kesimpulannya, best ke tak best raya ke apa ke, terpulang kepada kita.

Tuesday, June 9, 2009

Doa

Rabb,

Segala puji-pujian aku tujukan kepada Mu
Hidup dan mati ku hanyalah untuk Mu
Aku hamba Mu mohon keampunan dari Mu
Aku hamba Mu mohon bicara bahasa duka

Rabb,

Aku benar-benar keliru
Aku benar-benar buntu
Untuk apa pertemuan itu?
Untuk apa penyatuan itu?

Rabb,

Aku hamba Mu yang kerdil
Aku hamba Mu yang lemah
Aku mohon pertolonganMu
Aku mohon bantuanMu

Rabb,

Tenangkanlah jiwaku
Terangkanlah hatiku
Agar dapat aku memahami dan mengerti
Segala yang sedang berlaku

Rabb,

Kepada Mu aku serahkan segalanya

Amin

Suatu masa di tahun 1981

Berikut adalah petikan daripada ucapan Haji Hadi Awang di Banggol Peradong, Kuala Terengganu 7 April 1981.

Saudara-saudara sekalian,

Percayalah, kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno,
Kita menentang Barisan Nasional, bukan kerana nama dia Barisan Nasional,
Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah,
Mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliyyah.
Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka.

Percayalah saudara,
Perjuangan kita adalah jihad,
Ucapan kita adalah jihad,
Ucapan kita adalah jihad,
Derma kita adalah jihad,
Dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini,
Kalau kita mati kerana berlawan ini,
Mati kita adalah mati syahid,
Mati kita adalah mati Islam,

Kita tidak payah masuk Yahudi,
Kita tidak payah masuk Kristian,
Kita tidak payah masuk Hindu,
Kita tidak payah masuk Buddha,
Tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku

Friday, June 5, 2009

Altantuya

Sajak dibawah merupakan ciptaan sepenuhnya pemimpin rakyat Haji Mohamad Sabu dan dibacakan ketika Malam Kebudayaan sempena Muktamar PAS ke 55 di Shah Alam.

Aku Insan Ajnabi,
Aku Berasal Dari Tanah Tinggi
Bangsaku menjelajah dunia
Bangsaku pernah menguasai dunia
Kecantikanku menawan sesiapa sahaja
Lemah gemalaiku melembutkan lelaki perkasa
Kecerdikanku, kecantikanku boleh diperniaga

Aku wanita Ajnabi merantau kemana-mana
Mencari rezeki merata dunia
Kuala Lumpur, Paris, Hong Kong aku merata
Pembesar negara kuasai ku
Ku kuasai pembesar negara
Sebut sahaja apa berniaga aku tetap disana
Kepercayaan dan akidah sama sahaja
Sekejap muslimah sekejap insaniah
Aku tetap manusia beragama

Manisku dijilat, manisku disedut
Aku rela kerana berniaga
Aku berakidah aku insaniah
Ku tahu siapa yang menyedutku
Manisku masih banyak
Manusia rakus menghirupku
kadang menggilir kadang digilir
Aku berniaga tak kira siapa

Zuriatku ada
Ku tahu siapa bapanya
Masakan tidak, disarangku dia bertelur
Manisku belum habis dihisap
Sepahku dibuang merata
Badanku dihancur luluhT
ubuhku berkecai rapuh
C4 dipanggil untuk memusnahku

Rohku tetap menjalar
Rohku tetap merayau
Setiap dada media ku buka cerita
Ku tahu siapa pemusnahku
Rohku berulang alik
Entah di Mongolia, entah di Paris
Entah di Shah Alam, entah di Putrajaya
Rohku menjalar terus menjalar
Roh suciku diawang-awangan
Menghinggap siapa sahaja
Tak kira pangkat atau kedudukan
Pemusnahku akan musnah

Saturday, May 23, 2009

Krisis politik Perak: Serahkan saja kepada rakyat

Keputusan Mahkamah Rayuan yang mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah tidak menamatkan krisis politik di negeri tersebut.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak - sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.

Yang elok dan lebih sahih untuk membuat keputusan bagi mengatasi kemelut politik Perak bukan ketiga-tiga hakim itu sebaliknya krisis ini sewajarnya dirujuk kepada Mahkamah Rakyat yang mana warga Perak yang layak mengundi (dan mendaftar sebagai pengundi di negeri itu)akan bertindak sebagai hakim yang memutuskan kerajaan mana berhak untuk mentadbir dan memerintah negeri kesayangan mereka.

Belum pernah dalam sejarah, sesebuah kerajaan tertubuh atau terbentuk dengan keputusan yang dibuat di mahkamah.

Sebaiknya restu dan kuasa rakyat diminta untuk menubuh atau membentuk sesebuah kerajaan kerana rakyat merupakan hakim yang sah dalam sistem demokrasi.

Untuk itu, penyelesaian terbaik bagi krisis politik Perak adalah membubarkan segera Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

Serahkan kuasa menentukan kerajaan kepada rakyat. Utamakanlah rakyat dan hormatilah prinsip demokrasi. Jangan dibunuh roh dan semangat demokrasi semata-mata kerana mahu kekal berkuasa.

Sekali lagi; Bubarkan segera Dun Perak dan serahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Wednesday, May 13, 2009

Mat Sabu wakafkan diri kepada PAS

"AKU kena tangkap" jerit Naib Presiden PAS Mohamad Sabu kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob dan seorang ahli PAS, Ali Maidin yang ketika itu sedang minum disebuah restoran di Jalan Pahang Barat.

Kejadian jam 3.10 petang Rabu 6 Mei lalu berlaku dalam sekelip mata. 10 anggota Polis berpakaian biasa seberapa segera ingin menyelesaikan misi 'menculik' Mohamad Sabu.

Sebelum 'diculik' dan 'dilarikan' ke destinasi yang entah dimana, Mohamad sedang mimum bersama Salahuddin Ayob dan Ali Maidin disebuah restoran di belakang Hospital Tawakkal.
Mohamad kemudiannya meninggalkan Salahuddin dan Ali untuk bertemu Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali di pejabat pengurusan Harakah.

Baru beberapa langkah meninggalkan restoran tersebut, beliau dihampiri tiga orang polis berpakaian biasa -dua lelaki,satu wanita- dan terus menarik Mohamad ke kereta yang menunggu diseberang jalan.

Tanpa menunjukkan kad kuasa dan tidak juga menunjukkan waran, ketiga anggota polis itu menarik Mohamad untuk dilarikan. Ketika itulah beliau menjerit kepada Salahuddin dan Ali.
Salahuddin dan Ali kemudiaannya bergegas menuju ke arah Mohamad dan berusaha untuk menyelamatkan pemimpin kanan PAS tu dari dilarikan.

Keduanya berjaya menarik Mohamad untuk dibawa ke pejabat Ali yang berada diatas restoran tempat mereka minum sebelumnya tetapi baru separuh jalan, enam anggota polis berpakaian biasa yang lain menarik Salahuddin dan Ali hingga menyebabkan Ali terjatuh.

Mohamad sekali lagi cuba dilarikan. Beberapa ahli PAS yang berada disitu cuba membantu melepaskan Mohamad. Berlaku pergelutan seketika.

Sejak awal, ketika mula dihampiri polis, Mohamad sudah meminta mereka menunjukkan kad kuasa dan juga waran tangkap. Tetapi polis tidak menghiraukan permintaan tersebut.
Mohamad akhirnya berjaya disumbat ke dalam kereta dan dilarikan ke destinasi yang tidak diketahui.

Kejadian itu membuktikan polis Malaysia memang cekap dan hebat. Cekap kerana dalam masa beberapa minit sahaja, mereka berjaya 'menculik' dan 'melarikan' Mohamad Sabu serta hebat kerana tidak perlu menunjukkan kad kuasa dan waran tangkap.

Pembantu Mohamad bernama Halim berusaha menjejaki ke mana pejuang rakyat itu dilarikan. Mulanya Mohamad dikatakan 'dilarikan' ke Balai polis Sentul tapi setelah ke sana, ternyata beliau tidak berada disitu.

Lewat petang baru diketahui Mohamad 'dilarikan' ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Sebelah malamnya pula beliau dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kemudian subuh esoknya (7 Mei) beliau dibawa ke Tanjung Malim.

Esoknya, 7 Mei, isteri beliau, Normah Alwi dan Halim serta salah seorang anak mereka ke Bukit Aman untuk menemui Mohamad. Setelah lebih sejam menunggu, mereka diberitahu Mohamad telah dibawa ke Tanjung Malim untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tanjung Malim pukul 2.00 petang hari yang sama. Ketiga mereka bergegas ke Tanjung Malim.

Sikap polis amat dikesali Normah. Biarpun sudah menjangka suaminya akan ditahan tetapi cara penahanan amat dikesali.

"Mereka 'menculik' suami saya dan dibawa entah kemana. Apakah mereka ingin lakukan suami saya seperti Altantuya, 'dihilangkan' begitu sahaja?" soal beliau sebaik keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Hari itu, jalan menuju ke Mahkamah Majistret Tanjung Malim ditutup dari kedua-dua arah. Empat buah trak FRU dan sebuah trak water canon siap sedia di hadapan mahkamah.
Biarpun hanya 20 orang ahli PAS yang berada di kawasan sekitar mahkamah tersebut tetapi persiapan pasukan FRU seolah-olah akan berlaku rusuhan di pekan Tanjung Malin jika Mohamad terus ditahan reman.

Dianggarkan hampir 200 anggota FRU berada di kawasan berdekatan Mahkamah Majistret Tanjung Malim. Satu jumlah yang besar bagi seorang yang bernama Mohamad Sabu.
Lebih kurang pukul 2.45 petang, mahkamah memutuskan perintah tahanan reman polis ditolak kerana alasan-alasan yang diberikan oleh pegawai penyiasat meragukan.

Hujah pegawai penyiasat, Mohamad dituduh menghasut orang ramai supaya mengagalkan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang berlangsung sebelah paginya.

Pasukan peguam Mohamad menyanggah hujah tersebut kerana Mohamad hanya menyeru orang ramai supaya hadir ke program solat hajat, doa munajat dan solat subuh di masjid Al-Ittihadiyah, Manjoi, Ipoh.

Program tersebut diadakan bagi memohon ke hadrat Ilahi supaya dijaga keamanan negeri Perak bukan untuk menghuru-harakan negeri tersebut.

selepas mahkamah memutuskan menolak perintah tahanan reman ke atas Mohamad, barulah pegawai penyiasat mahu mengambil keterangan daripada beliau. Semasa berada di Pulapol Jalan Semarak dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, tiada sebarang keterangan diambil.

Hanya kerana menganjurkan solat hajat dan mengajak rakyat yang beragama Islam ke masjid untuk bermunajat bersama, Mohamad ditahan polis dibawah akta hasutan.

Mohamad yang telah bersama PAS sejak 33 tahun yang lalu merupakan seorang pejuang yang gigih. Beliau sangup meninggalkan kerja yang menawarkan pendapatan yang lumayan semata-mata kerana mahu berjuang menegakkan Islam.

Beliau seorang yang berprinsip dan tidak termakan dengan pujukan atau tawaran daripada pihak-pihak yang mampu memberikan kemewahan.

Apa yang penting bagi beliau perjuangan PAS untuk membentuk kerajaan dan menjatuhkan Barisan Nasional (BN) perlu diperkukuhkan. Sebarang usaha untuk mengadaikan perjuangan parti akan ditentang habis-habisan.

Mohamad amat disenangi oleh ahli-ahli PAS dan juga rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Ke mana sahaja beliau pergi sambutan daripada rakyat membuktikan beliau merupakan pemimpin harapan rakyat.

Kerana itu, tidak hairan setiap kali Mohamad berceramah, jumlah yang hadir tidak kurang dari 5,000 orang.

Namun begitu, keupayaan Mohamad mengerakkan rakyat dan keakraban beliau dengan masyarakt berbilang bangsa amat tidak disenangi oleh musuh-musuhnya.

Isteri beliau turut hairan dengan sikap musuh-musuh Mohamad yang terlalu cemburu dengan suaminya itu sedangkan lelaki kelahiran Pulau Pinang itu sangat ikhlas berjuang untuk mengukuhkan PAS.

Sudah beberapa kali Mohamad terpaksa bermalam dilokap dan pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang tahun 1987.

Begitulah pengalaman yang harus ditempuh oleh seorang pemimpin dan pejuang rakyat yang ikhlas berjuang demi menegakkan kebenaran Islam dibumi tercinta ini.

Sebaik sahaja menyertai PAS, Mohamad telah mewakafkan dirinya kepada PAS demi untuk menegakkan Islam.