Monday, December 31, 2007

2007 pergi 2008 datang

Ketika aku mula menulis posting ini hanya tinggal lebih kurang empat jam setengah saja lagi tahun 2007 akan melabuhkan tirainya dan tahun 2008 pula akan membuka tirai.

2007 banyak kenangan pahit dan manis. Dan tentunya yang paling manis adalah tanggal 14 Disember 2007 aku bergelar suami kepada Munirah Hayati. Terima kasih atas doa-doa dari teman-teman untuk kebahagiaan kami berdua.

Aku dan isteri kini sudah berada di Kelantan. Esok kami berdua akan mula bekerja di Global Media Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan. 

Aku dan isteri juga akan sering ke KL untuk bertemu teman-teman. Sudah lama berkelana di KL, kami berdua masih cuba menyesuaikan diri dengan suasana di Kelantan.

Hmmm... cukup dulu. Ada salah silap harap maafkan. Selamat tinggal 2007 dan selamat datang 2008.

Friday, December 28, 2007

Berakhir hari ini

Hari ini, 28 Disember 2007, tugas aku sebagai editor di Suara Keadilan berakhir. Banyak kenangan pahit manis sepanjang berada di sini. Terima kasih kepada sahabat aku, Amin Iskandar @ Black yang rekomenkan aku kerja di sini enam bulan lepas.

Dan kerana Black juga, aku mengenali Munirah yang kini sudah sah menjadi isteri aku. Sekali lagi terima kasih sepanjang hayat kepada Black kerana dengan ayatnya, "Ini pun orang Kelantan. Buleh kecek Kelate la ni," pada petang 1 Ogos 2007 bertempat di restoren Mydin, Bangsar.

Kepada teman-teman di Suara Keadilan, Syafiq, Azwa, Hafiizzh, Ebrahim, Syukree (moga segera sembuh), Bayu (Affifuddin), Wanti, Jasmine, Zunar, Hj Abdul Rahman dan big boss Tian Chua, terima kasih juga.

Kepada Syafiq, Azwa, Hafiizh, Ebrahim akan ada masanya nanti kita akan ketemu lagi bila aku turun ke KL.

Kepada yang lain, sahabat aku Im, Aidit, Ad, Opie kulat-kulat dan lain-lain (banyak sangat nama nak aku tulis) kita pasti akan jumpa lagi.

Jumpa lagi.

Thursday, December 27, 2007

Resah

Aku sedang resah, risau dan susah hati. Isteri aku demam sejak beberapa hari yang lalu. Aku jadi resah, risau dan susah hati.

Tuhan, nama aku Irwan. Kepada Mu aku memohon agar disegerakan sembuh isteri aku dari demamnya agar dia kembali sihat dan ceria. Amin.

Monday, December 24, 2007

Letak jawatan

Sudah hantar notis letak jawatan. Akan mula kerja di tempat baru di Kelantan bersama isteri tercinta pada 1 Januari 2008.

Akan sentiasa juga turun ke K.L nanti.

Tuesday, December 18, 2007

Hari acara











Usai akad nikah tanggal 14 Disember, kenduri kesyukuran diadakan pada 15 Disember. Antara yang hadir ialah bapak angkat aku Pak Habib (S.H Alattas) dan yang menjadi pengiring aku adalah exco Kerajaan Negeri Kelantan Y.B Husam Musa.

Saturday, December 15, 2007

Bergelar suami

Tanggal 14 Disember, tepat jam 3.20 sudah sah aku bergelar suami kepada wanita idamanku, Munirah Hayati.

Mula episod baru dalam hidup.

Sunday, December 9, 2007

Gila...

Hari ini, 9 Disember 2007, ada 3 perkara gila dilakukan oleh kerajaan Islam Hadhari yang semakin gila ini.

Gila 1:
Tindakan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang enggan memberikan ikat jamin kepada dua orang ahli PAS, iaitu Suwandi Ab Ghani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21 yang dituduh dengan pelbagai tuduhan berikutan Perisitwa Hitam Batu Burok, Kuala Terengganu, 8 September, 2007 lalu.

Keenganan memberikan ikat jamin kepada kedua-dua ahli PAS ini sangat luar biasa sedangkan semua kes yang dituduh terhadap mereka dibenarkan ikat jamin. Menurut rekod kedua-dua mereka adalah mangsa yang ditembak dengan peluru hidup oleh pihak polis dalam kejadian tersebut.

Gila 2:
Penangkapan terhadap lima orang peguam dan tiga aktivis yang sedang meraikan hari Hak Asasi Sedunia di Kuala Lumpur anjuran Majlis Peguam Malaysia pagi tadi. Turut ditahan adalah seorang ahli Majlis Peguam kerana menghalang pihak DBKL dari menurunkan sepanduk perayaan tersebut.

Tindakan pihak polis melakukan penangkapan dalam majlis aman dan memperingati "Hari Hak Asasi Sedunia" seumpama ini sudah pasti mencacatkan lagi rekod hak asasi negara yang telah sedia tempang dan tercemar.

Gila 3:
Waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Naib Presiden PAS, Hj Muhammad Sabu di Ipoh, ketika beliau sedang membawa rombongan perkahwinan anak perempuan beliau di sana. Beliau ditahan kononnya kerana menyertai perhimpunan haram.

Apa punya gila kerajaan Islam Hadhari ni.

Friday, December 7, 2007

Cuti

Mula esok, untuk tempoh 16 hari, aku tinggalkan sementara ofis di Jalan Padang Belia, Brickfield kerana urusan peribadi. 14 Disember nanti aku akan menikah dengan wanita pujaan aku Munirah.

Masuk hari ini sudah seminggu aku tidak jumpa Munirah. Rindunya hanya Tuhan yang tahu.

Dan untuk tempoh 16 hari aku tak perlu melayan karenah boss aku. Leganya rasa kerana aku dapat siapkan semua kerja yang diberi sebelum pukul lima petang tadi. Aku tak tahu kenapa dia macam sengaja bagi aku kerja yang banyak biarpun dia tahu aku akan cuti untuk menikah. Aku bukan cuti untuk pergi rehat-rehat tapi aku cuti kerana mahu menunaikan syariat Allah.

Tapi tak mengapa, 16 hari aku boleh lupakan ofis. hehe...

Thursday, December 6, 2007

Rindu

Selalunya, pada waktu-waktu begini, aku sudah lama dibuai mimpi. Tapi malam ini aku tak dapat lelapkan mata.

Kenapa?

Aku rindukan Munirah.

Tuesday, December 4, 2007

Mana satu betul?

Mana satu laporan yang betul?

Satu:

Utusan Malaysia - Pendidikan tinggi kritikal -- Bank Dunia saran sistem itu mempunyai fokus, strategi pembaharuan.


Sistem pendidikan tinggi di Malaysia berada pada tahap kritikal dan semakin ketinggalan berbanding negara jiran.

Ekoran itu menurut laporan Bank Dunia, sistem pendidikan tinggi di negara ini perlu mempunyai fokus dan strategi pembaharuan yang jelas jika mahu bersaing di peringkat antarabangsa.

Dua:

Berita Harian - Bank Dunia kagum IPT Malaysia

Bank Dunia mengakui institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia mampu berkembang dan menjadi pusat pendidikan tinggi bertaraf dunia hasil perhatian serius kerajaan, termasuk menyediakan peruntukan besar memajukannya.

Dalam laporan bersama dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, bertajuk 'Malaysia And The Knowledge Economy: Building And World Class Higher Education System' yang siap Mac lalu, badan dunia itu turut mengakui universiti negara ini mempunyai kepemimpinan berkaliber, sekali gus mampu berkembang lebih luas pada peringkat dunia.






Monday, December 3, 2007

garismaut

Hari ini deadline... tutup semua page sebelum hantar kilang print. Tapi banyak hal jadi hari ni. Dua orang tak muncul. Satu cuma part time dan satu lagi pula dah diberikan surat amaran sebelum ini. Apa nak jadi aku pun tak tahu. Tunggu khamis saje la.

Dan aku juga tunggu pyanhabib update blog dia. hehe...

Sunday, December 2, 2007

Sakit

Ramai yang sakit. Syukree sakit hingga masud wad dan kini dibawa balik ke kampung. Cuba berubat secara tradisional.

Syafiq juga turut sakit. Hari ini, deadline, dia sms aku katanya demam teruk. Tak dapat ke pejabat lalu tenaga kerja makin berkurang.

Boss aku juga sakit. Aku dapat tahu dari teman-teman sepejabat, dia dah lama sakit. Pernah ambulan datang ke pejabat untuk membawa dia ke hospital.

Aku... kembali demam, batuk dan pening kepala yang makin serius. Ntah bila akan sembuh.

Saturday, December 1, 2007

Boikot Pilihanraya

Lapan tahun lalu, seorang manusia bernama Hishamuddin Rais telah menulis rencana bertajuk Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya. Lapan tahun lalu, Isham telah mengajak pemimpin Barisan Alternatif sama-sama menjadikan jalan raya sebagai medan untuk mengambil alih pemerintahan yang dikuasai oleh BN. Lapan tahun lalu, pemimpin Barisan Alternatif tidak mempedulikan cadangan Isham itu.

Kini, setelah lapan tahun berlalu, pemimpin Barisan Alternatif mula sedar bahawa Pilihanraya bukan lagi medan untuk mengambil alih pemerintahan BN yang terlalu banyak menipu itu. Kini, setelah lapan tahun berlalu, pemimpin Barisan Alternatif mula menggunakan cadangan Isham agar membuat Pilihan Jalan Raya. Kini, setelah lapan tahun berlalu, cadangan Isham itu sudah terlambat untuk dilaksanakan.

Selepas lapan tahun berpegang dengan idea Pilihan Jalan Raya, kini Isham mencadangkan agar Pilihanraya diboikot.

Apa pula reaksi pemimpin Barisan Alternatif kali ini? Apakah mereka akan menunggu lapan tahun lagi baru mahu memboikot Pilihanraya?

Kita tunggu dan lihat.