Tuesday, December 30, 2008

Mana pemimpin PKR?

Tadi siang ada demo dan serahan memorandum di kedutaan Amerika tentang serangan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.

Pemimpin PAS yang hadir Mohammad Sabu, Salahuddin Ayob, Dr Hatta Ramli, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali dan beberapa yang lain.

Pemimpin NGO Islam seperti JIM dan juga pemimpin mahasiswa juga turut serta berarak dari perkarangan Tabung Haji ke depan bangunan kedutaan Amerika.

Selepas serah memo, Mohammad Sabu dan Dr Syed Azman sempat buat sidang media ringkas di bawah terik panas matahari penghujung 2008.

Selepas itu, Mohammad Sabu yang sering ke Lubnan diangkat oleh beberapa penyokong dan sampaikan ceramah ringkas tapi sarat dengan semangat.

Tapi, mana pergi pemimpin PKR? Seorang pun tak ada. Sibuk nak ambil alih kerajaan kot?

Monday, December 15, 2008

Pilihanraya kecil Kuala Terengganu


Graf di sebelah kanan menunjukkan keputusan pilihanraya umum ke 12 yang lalu di Parlimen Kuala Terengganu dan Dun dalam parlimen tersebut. Dalam pilihanraya umum yang lalu Mohamad Sabu yang mewakili PAS memperolehi undi sebanyak 31,934 manakala Alahyarham Razali Ismail dari Umno memperolehi 32,562 undi dan calon bebas, nenek Maimun Yusuf memperolehi 685 undi. Ikut kiraan Mohamad Sabu tewas dengan majoriti 628 undi.
Tetapi jumlah undi yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat (Barisan Alternatif ketika pilihanraya umum itu) di Dun Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang dan Batu Buruk ialah 33,729. Ini bermakna 1,110 pengundi (setelah ditolak undi yang diperolehi nenek Maimun Yusuf) pembangkang tidak memilih Mohamad Sabu di parlimen.
Kenapa 1,110 pengundi ini tidak memilih Mohamad Sabu? Adakah mereka menolak calon luar atau mereka 'diarahkan' agar tidak memilih Mohamad Sabu dengan alasan calon luar?

Wednesday, November 19, 2008

Sabda Baginda

Rasulullah s.a.w bersabda :

"Ambillah hikmah yang kamu dengar daripada sesiapa sahaja kerana terkadang ianya diucapkan oleh orang yang bukan bijak. Bukankah ada lemparan yang mengenai sasaran tanpa disengaja?"

(HR Al-Askari)

Monday, November 17, 2008

Minyak turun lagi


Harga runcit untuk petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen seliter kepada RM2.00 seliter daripada RM2.15 seliter mulai tengah malam ini.
Awal bulan ini, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Sebelum ini, harga petrol RON97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol RON92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20. Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.
Graf yang dicopy and paste dari Malaysiakini menunjukkan kenaikan dan penurunan harga minyak sejak Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan memperolehi kemenangan besar dalam pilihanraya umum ke 11 tahun 2004.
Berita penurunan harga minyak boleh dibaca di sini dan di sini.

Sunday, November 16, 2008

Menarik

Blog budak ini bagus bagi aku. Kalau ada yang rasa tak bagus terpulang lah. Dan kalau ada yang rasa dia lebih bagus dari budak ini pun terpulang lah.

Friday, November 7, 2008

Catatan boss aku yang sedang sakit

Jika mengetahui penghujung usia kita

Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Apa perasaan anda jika tiba-tiba diberitahu menghidap penyakit kronik, yang selalunya -
berdasarkan pengalaman pesakit serupa - tidak mempunyai peluang untuk hidup lebih lama?
Atau mungkin anda dapat terus menghirup udara segar, namun sudah tidak berupaya bebas bergerak, segalanya perlu dipapah dan bantu, dan hanya terlantar menanti keajaiban untuk sembuh. Allah Maha Mengetahui akhiran hidup kita.

Perhatikan sekeliling kita. Tidak perlu pergi jauh untuk mencari contoh. Berapa ramai
anggota keluarga dan kenalan rapat pergi buat selamanya tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal. Ada teman baik yang nampak sihat, segar bugar, tiba-tiba kita mendapat khabar meninggal dunia ketika tidur. Ada saudara-mara yang baru bertemu pada hari lebaran lalu, di hening malam kita dikejutkan panggilan telefon memaklumkan diserang angin ahmar, terus koma hingga dijemput Ilahi.

Ada rakan sekerja, belum pun mencecah usia 30 tahun, berpotensi hebat dalam kerjaya, hanya mengadu sakit sekitar matanya, bila diperiksa doktor, masya-Allah, rupanya tanpa disedari sudah lama kanser bersarang. Tidak sampai dua minggu selepas itu, ajalnya tiba. Itu belum dihitung kes-kes kemalangan maut yang menyambar tanpa sebarang amaran awal.

Sememangnya kita dituntut agar sentiasa bersedia, membuat persiapan secukupnya, bagi
menghadapi maut. "Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa; dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal." (maksud al-Baqarah: 197)

Saidina Ali r.a. ketika ditanya tentang takwa menjawab: "Taqwa adalah takut kepada Allah
Yang Maha Agung, melaksanakan segala perintah yang diturunkan, reda dengan nikmat yang ada meskipun sedikit dan sentiasa dalam keadaan siap sedia menghadapi maut sebelum kedatangannya."

Soalnya, berapa ramai yang mengambil pengajaran dan iktibar daripada terkaman maut, kecuali dalam tempoh masa yang begitu singkat, untuk kemudiannya melupakan, hinggalah dikejutkan kembali dengan tragedi seterusnya. Ya, sesungguhnya, insan memang mudah alpa dan banyak pula dalehnya.
Benar, sakit merupakan nikmat, mengingatkan yang lupa, menyedarkan yang leka, dan juga satu "cara" untuk meningkatkan martabat seseorang jika setulusnya reda dengan ujian Tuhan itu. Berapa ramai orang yang disuntik kesedaran mendalam, keinsafan seikhlasnya, hanya setelah melalui sakit dan derita berpanjangan. Tidak kurang yang mengucap syukur kerana nyawa tidak direntap dengan tiba-tiba, tetapi didahului peringatan sakit, membuatkan kita sempat bertaubat, sehingga mampu merencana hidup baru dengan usia yang berbaki.

Dengan begitu banyak peristiwa yang hadir di kiri kanan, mengapa terlalu sukar untuk rasa insaf merubah gaya hidup kita? Mengapa hati ini terlalu keras untuk memerhatikan kejadian dan gerak alam untuk kita mengambil manfaat daripadanya, sebelum segalanya sudah terlambat apabila roh tercabut dari jasad?

Perhatikan jejak usia yang ditinggalkan. Memang pantas sekali ia beredar. 45 tahun berlalu
seolah-olah baru semalam dilepaskan. Masih terbayang-bayang zaman kanak-kanak di kampung. Lintasan ingatan kian segar di bangku sekolah, guru-guru yang mendidik, kawan-kawan sepermainan, ibu ayah yang menyayangi, nenek dan datuk yang mengambil berat. Satu demi satu adegan kehidupan pahit-manis bersilih ganti. Dan kerdilnya diri mengenangkan dosa dan maksiat, sambil membilang sekelumit jasa yang ditinggalkan, ya ... alangkah kecilnya.

Menginjak dewasa, kesibukan berkeluarga dan berkerjaya sering menjadi hambatan. Banyak yang dikejar umpama fatamorgana, dan kegelisahan menggapai cita-cita sukar diredakan. Segalanya seperti tidak mencukupi. Dalam keadaan itu, jika kita dapat berhenti sejenak, dan sempat bermuhasabah tentang erti hidup yang makin hilang, mungkin ia seperti satu kurniaan nikmat yang begitu hebat.

Ramai yang bergelut hanya mencari kehidupan untuk diri sendiri. Amat kecil sumbangan untuk orang lain. Walhal sebahagian kebahagiaan adalah apabila kita dapat membahagiakan orang lain, apatah lagi mereka yang memusuhi kita.

Ingatlah, janji dengan Allah masih banyak belum tertunai. Dosa dengan makhlukNya tidak tertebus. Sedang malaikat maut mungkin sedang mengintai di jendela. Lalu, apa jawab nurani anda jika mengetahui derap langkah kita di dunia ini menghadapi penghujungnya.

"Cepat-cepatlah tulis autobiografi," gurau seorang kawan bila mendapat tahu saya sering sakit. Saya tidak pula mengambil berat saranannya kerana ... apalah sangat yang mahu dikongsi pengalaman hidup yang mendatar-kelabu ini, dan benarkah sudah singkat benar baki usiaku!

Tuesday, November 4, 2008

Interview bersama Mahfuz Omar untuk Harakah isu 1388

Pembebasan Razak Baginda dari tuduhan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Pembelian 12 buah Eurocopter dan perlantikan Tan Sri Zaki sebagai ketua hakim negara yang baru merupakan isu hangat yang menjadi perbincangan dari kedai-kedai kopi hingga ke cafe-cafe mewah. Kesemua kes-kes ini dikaitkan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak yang bakal dilantik menjadi Perdana Menteri dan yang telah mengesahkan jawatan beliau sebagai Presiden Umno bila mendapat pencalonan daripada 133 bahagian Umno.

Untuk berbincang perkara ini dengan lebih lanjut, wartawan Harakah, IRWAN MUHAMMAD ZAIN telah menemubual Ketua Penerangan PAS Pusat, MAHFUZ OMAR yang juga ahli parlimen Pokok Sena baru-baru ini. Ikuti temubual yang diadakan pada 3 November yang lalu.

HARAKAH:Mahkamah telah memutuskan Razak Baginda dibebaskan dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Apakah pembebasan Razak Baginda ini boleh dikaitkan dengan kemenangan tanpa bertanding Najib sebagai presiden Umno yang akan menjadikan beliau Perdana Menteri keenam Mac nanti?

MAHFUZ: Satu perkara yang tidak boleh ditolak kalau berasaskan kepada sms Najib kepada Shafie yang yang telah tersebar luas sebelum itu menunjukkan bahawa bagaimana plan-plan yang dibuat oleh Najib untuk memastikan beliau tidak dikaitkan dalam kes pembunuhan Altantuya ini sebab itu ia memberikan keyakinan kepada Shafie bahawa pendakwaan dan penahanan terhadap Razak Baginda ini bersifat sementara dan akhirnya akan dibebaskan. Sebab itu saya melihat pertama sekali keputusan mahkamah itu sendiri seolah-olah selari dengan kandungan sms Najib kepada Shafie. Keduanya, saya lebih melihat bahawa bukan selepas keputusan mahkamah itu yang mendorong untuk perwakilan atau Umno bahagian memberikan pencalonan kepada Najib tetapi planing sebelum itu kita lihat bagaimana secara terancangnya saya lihat bagaimana Najib menyusun strategi untuk mendapat pencalonan daripada Umno bahagian melalui penguasaan Najib melalui MT dan Umno Bahagian ini.

Saya tak nampak isu moral itu tidak menjadi satu kepentingan bagi perwakilan Umno bahagian atau perwakilan kerana mereka melihat Najib merupakan tempat untuk mereka menyandarkan harapan untuk mendapat habuan menerusi pelobi-pelobi politik yang telah disusun oleh Najib sendiri untuk mendapat pencalonan supaya beliau tidak ditentang.

Pembebasan Razak Baginda ini juga dilihat sebagai satu lagi malapetaka kepada sistem kehakiman negara. Bermula dari tahun 1988 dengan kes pemecatan Tun Salleh Abbas, kemudiannya kes Dato' Seri Anwar Ibrahim dan kini 2008, Razak Baginda dibebaskan dalam satu kes berprofil tinggi. Apa komen saudara dalam hal ini?

Seperti yang saya katakan tadi, pembebasan Razak Baginda ini kelihatan selari dengan sms Najib tadi. Sms itu merupakan point yang sangat penting dalam kita hendak melihat proses kehakiman, proses pembicaraan kes ini dan proses pembebasan Razak Baginda. Apabila sms itu wujud dan sms dari orang yang mempunyai kedudukan tinggi, ini bermakna bahawa badan kehakiman kita masih lagi dipengaruhi oleh badan esekutif, sebarang keputusan yang hendak dibuat masih dipengaruhi oleh badan esekutif yang sangat kuat, jadi akhirnya lahirlah keputusan seperti ini. Jadi saya lihat keputusan mahkamah dalam kes ini tidak membantu usaha untuk memulihkan imej badan kehakiman negara ini. Persepsi orang ramai, persepsi pelabur-pelabur luar melihat institusi kehakiman kita masih dipengaruhi oleh badan esekutif yang sangat kuat dan ini menjatuhkan imej negara dimata orang luar. Persepsi ini timbul bila keputusan itu dilihat bila ianya selari dengan kandungan sms Najib kepada Shafie yang didedahkan di internet.

Bila bercakap tentang badan kehakiman, tidak dapat tidak kita akan memperkatakan tentang refomasi badan kehakiman yang disebut oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi bila Tan Sri Zaki dilantik menjadi ketua hakim negara, ia seolah-olah tidak mempunyai apa-apa makna terhadap reformasi yang dikatakan tadi. Apa komen saudara?

Perlantikan Tan Sri Zaki, tidak menjamin akan berlaku sebarang reformasi dalam institusi kehakiman. Sebelum pilihanraya lagi Abdullah sudah bercakap tentang reformasi kehakiman dan selepas pilihanraya umum yang lalu, beliau kelihatan cuba untuk melakukan reformasi dengan melantik Zaid Ibrahim sebagai menteri yang menjaga undang-undang dan cuba mengembalikan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman dengan cara membuat pembayaran ex-gratia kepada hakim-hakim yang telah dikenakan tindakan satu masa dahulu tetapi sepatutnya bila beliau bercakap tentang reformasi kehakiman, ketika proses kekosongan jawatan ketua hakim, atau ketika ketua hakim sudah kita tahu tarikh tamat tempohnya, satu senarai calon-calon ketua hakim dihantar kepada suruhanjaya kehakiman yang mahu dibentuk. Sepatutnya sudah ada satu pelan tindakan untuk membuat tapisan terhadap nama-nama yang dicadangkan untuk menjadi ketua hakim. Nampaknya Abdullah cuba melengah-lengahkan usaha reformasi ini. Saya tidak tahu apa agenda Abdullah melengah-lengahkan proses reformasi ini hingga terlantiknya Zaki. Persepsi orang ramai adalah perlantikan Zaki ini tidak akan membantu proses reformasi kehakiman dan ianya juga dilihat seolah-olah kerajaan atau Abdullah sendiri mempunyai agenda tersembunyi.

Jadi kalau selepas ini ditubuhkan suruhanjaya pun, kesangsian masih lagi wujud sebab ketua hakim yang telah dilantik ini kemungkinan akan mengetuai suruhanjaya tersebut. Jadi bila ketua hakim yang diragui ini mengetuai suruhanjaya tersebut, ia tentu akan menghasilkan keputusan yang menimbulkan banyak persoalan dan keraguan. Suruhanjaya itu juga dilihat sebagai satu suruhanjaya yang tidak mampu untuk berfungsi dengan baik.

Sepatutnya dalam usaha Abdullah mahu melakukan reformasi dalam institusi kehakiman dalam negara kita, dalam usaha untuk melahirkan hakim-hakim yang mempunyai integriti, sepatutnya perkara-perkara berbangkit ini, perkara-perkara yang menimbulkan keraguan rakyat serta pelabur tidak lagi berlaku. Jadi saya tidak nampak sejauh mana kesungguhan Abdullah untuk melakukan reformasi kehakiman. Mungkin ia hanya satu bentuk kata-kata untuk menarik perhatian rakyat setelah mengalami prestasi buruk dalam pilihanraya yang lalu.

Hakim Borneo, Ian Chin pernah mendedahkan bahawa terdapat 'kisah tersembunyi' disebalik setiap keputusan yang dibuat oleh hakim. Beliau mendedahkan terdapat hakim-hakim yang diugut agar menyebelahi kerajaan. Apa komen saudara tentang pendedahan beliau ini?

Satu benda yang tidak mustahil kalau kita lihat dari kes Tun Salleh Abbas dan kes Anwar Ibrahim kita lihat ada kes-kes seperti yang dikatakan oleh Ian Chin itu. Saya lebih berharap agar setiap hakim itu kalau hendak mendedahkan mesti dedahkan ketika seseorang itu masih berkuasa, seperti contohnya Ian Chin ini, beliau dedahkan selepas Mahathir sudah bersara. Sepatutnya pendedahan perlu dibuat ketika Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri atau kalau ada mana-mana hakim yang tidak puashati dengan cara pengedalian kes-kes mahkamah ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri, mereka sepatutnya dedahkan ketika Abdullah masih lagi menjadi Perdana Menteri bukan selepas beliau bersara. Tetapi, pendedahan ini tetap saya sokong dan saya berharap akan lahir lebih ramai lagi hakim yang berani seperti Ian Chin ini.

Professor Aziz Bari mencadangkan agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan Ian Chin itu. Adakah saudara bersetuju dengan cadangan tersebut atau saudara mempunyai cadangan lain?

Satu benda yang sewajarnya. Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk membuat siasatan terhadap dakwaan Ian Chin kerana sudah tentu banyak pendedahan akan dibongkarkan. Tetapi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja ini bukan hanya menumpukan terhadap dakwaan Ian Chin dizaman Mahathir itu sahaja tetapi juga perlu ditubuhkan untuk menyiasat kes Altantuya ini kerana bila wujudnya pendedahan sms antara Najib dan Shafie ia telah menimbulkan satu keraguan dikalangan orang ramai lebih-lebih lagi bila Razak Baginda dibebaskan, ia telah menimbulkan persepsi bahawa sistem kehakiman atau badan kehakiman kita berat sebelah dan berlakunya rasuah. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana badan kehakiman itu tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Ini saya rasa semua orang sudah maklum tetapi kerana bila keputusan pembebasan Razak Baginda diumumkan, orang ramai sudah dapat membaca, keputusan itu dibuat kerana hakim ini perlu membuat keputusan begitu disebabkan ada campurtangan orang tertentu. Jadi untuk memastikan bahawa keputusan ini benar -benar tidak dipengaruhi oleh sesiapa atau tiada kaitan dengan sms Najib kepada Shafie, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dianggotai oleh mereka yang berkaliber dan berintegriti, yang tidak diragui kreadibilitinya perlu segera ditubuhkan untuk menyiasat bukan hanya keputusan pembebasan Razak Baginda tetapi juga kandungan sms Najib itu.

Berbanding Mahathir dan Abdullah, Najib sebelum menjadi Perdana Menteri sudah banyak dikaitkan dengan pelbagai skandal seperti komisyen kapal selam, tangkap khalwat dengan seorang artis ternama dan kes Altantuya serta terbaru skandal eurocopter. Tetapi beliau tidak pernah didakwa. Adakah perkara ini berlaku kerana tidak mempunyai bukti atau ini merupakan satu lagi permainan badan kehakiman untuk melindungi orang tertentu?

Pertama, saya tidak menafikan bahawa Najib mempunyai imej yang buruk berbanding ketika Mahathir atau Abdullah ketika mula-mula menjadi Perdana Menteri. Mahathir dilihat sebagai ultra-malay manakala Abdullah pula dengan imej Mr Clean. Tapi Najib dari awal lagi, persepsi orang ramai, persepsi ahli Umno yang tidak mempunyai kepentingan melihat Najib sebagai seorang yang tidak bersih. Mahkamah tidak pernah membuat apa-apa tindakan untuk membersihkan imej Najib ini biarpun mahkamah tidak boleh membuat sebarang keputusan atau tindakan jika tidak ada pendakwaan tetapi Najib harus sedar bahawa beliau tidak pernah dibersihkan oleh mana-mana mahkamah. Beliau tidak pernah dibersihkan melalui apa-apa pembelaan. Tidak ada satu tuduhan yang dibuat terhadap Najib boleh dibuktikan bahawa ianya tidak benar. Contoh kes yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara tahun lepas mengenai bot laju milik TLDM, polis atau BPR tidak pernah tampil membuktikan bahawa pendedahan itu tidak benar. Dan Najib pula adakah beliau bersedia untuk didakwa di Mahkamah? Apakah Peguam Negara berani untuk membuat dakwaan terhadap Najib? Atau kemungkinan juga Peguam Negara mempunyai permainan politik untuk menjatuhkan Najib sebelum Mac nanti. Itu cuma satu kemungkinan. Tetapi yang lebih penting, Najib dan pihak-pihak yang berkenaan perlu membersihkan segala tuduhan ini melalui satu proses penyiasatan yang adil dan perlu melalui proses di mahkamah kerana negara memerlukan seorang Perdana Menteri yang bukan hanya bersih tetapi perlu juga dilihat bersih.

Tindakan pertukaran portfolio antara Abdullah dan Najib. Adakah ini merupakan satu muslihat Abdullah untuk menjatuhkan Najib?

Satu perkara yang tidak boleh ditolak. Tetapi keupayaan Abdullah untuk menjatuhkan Najib saya tak nampak tetapi keupayaan beliau untuk membuat pendedahan keburukan Najib atau merosakkan imej Najib sebelum Mac nanti itu ada. Bila ini berlaku, peluang Najib untuk menjadi Perdana Menteri mungkin sukar. Dan saya rasa itu saja keupayaan Abdullah setakat ini iaitu keupayaan merosakkan lagi imej Najib sebelum pemilihan, dan ini sedang berlaku sekarang. Bagi saya pendedahan skandal Najib ini merupakan satu bentuk tindakan yang dibuat oleh Abdullah untuk mendidik perwakilan agar melihat pencalonan Najib atau memilih Najib sebagai Presiden Umno merupakan satu kesilapan dan dengan cara ini beliau harap perwakilan akan bangkit melakukan protes. Sama ada perkara ini akan berlaku atau tidak sukar untuk saya jangkakan.

Kenapa saudara mengatakan Abdullah tidak berupaya untuk menjatuhkan Najib?

Saya melihat beliau tidak berupaya kerana beliau tidak berjaya membentuk pasukannya sendiri. Kalau lihat hari ini, semua hulubalang yang beliau miliki satu masa dahulu telah melarikan diri. Kalau sebelum ini secara tidak sengaja beliau mempunyai pasukan sendiri dan ada hulubalang yang sanggup mempertahakan Abdullah bila diserang oleh Mahathir tetapi situasi itu tidak berlaku hari ini. Lebih buruk lagi bila segala kesalahan atau semua masalah negara dihumban atau diletakkan dibahu Abdullah. Dan hari ini bila Mahathir menyerang, hulubalangnya sudah tiada untuk tampil mempertahakan beliau sebaliknya Abdullah perlu membela dirinya sendiri. Berbeza dengan Mahathir yang mampu membina imej yang mana orang takut atau hormat kepada beliau sehingga beliau bersara.

Yang kedua, bila saya kata beliau tidak berupaya ialah bila Pakatan Rakyat mengatakan akan ada berlaku penghijrahan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional. Terutama bila ahli-ahli parlimen BN dari Sabah dan Sarawak yang dilihat ada potensi untuk berhijrah, pemimpin Umno mula mengambil keputusan, adalah lebih elok jika Abdullah dikorbankan berbanding mengorbankan Umno. Ini yang menyebabkan Muhyiddin yang satu ketika dilihat sebagai orang Abdullah tetapi selepas pilihanraya umum 8 Mac, beliau lah yang paling lantang mendesak agar Abdullah berundur.

Padangan saudara kenapa Najib begitu tergesa-gesa meluluskan pembelian 12 helikopter Eurocopter?

Yang jelas dalam tempoh dua hari sebelum berpindah kementerian itu membuktikan bahawa tuduhan sebelum ini, penglibatan beliau untuk mendapat keuntungan dalam pembelian senjata, kapal terbang, kapal selam atau apa saja yang berkaitan dengan kementerian pertahanan satu benda yang tidak boleh ditolak. Sampai sekarang kerajaan tidak boleh menjawab persoalan ini. Hanya Menteri Pertahana yang baru saja mampu membersihkan perkara ini kerana orang melihat Abdullah yang melakukan perkara ini sedangkan keputusan untuk membeli helikopter ini dibuat oleh Najib. Jadi Abdullah perlu segera membersihkan perkara ini.

Harga Eurocopter juga telah menjadi satu isu kerana bila dibuat perbandingan, Malaysia membayar RM2.3 bilion untuk membeli 12 buah helikopter sedangkan Brazil membayar harga yang sama untuk hampir 50 buah helikopter. Pandangan saudara, adakah Najib atau Abdullah tidak tahu tentang harga ini atau isu harga ini juga merupakan satu muslihat dari Abdullah untuk mengenakan Najib?

Bila menyebut tentang harga ini, jelas sekali bahawa terdapat satu penyelewengan dalam pembelian Eurocopter ini kerana seperti yang didedahkan, Brazil membeli hampir 50 buah Eurocopter dengan harga yang sama. Tetapi baru-baru ini, Abdullah ketika mengumumkan penangguhan pembelian tersebut menegaskan bahawa harga yang dipersetujui oleh kerajaan bukanlah RM 2.3 bilion tetapi RM 1.6 bilion. Biarpun Abdullah cuba menurunkan harga pembelian Eurocopter ini tetapi ia masih belum menjawab persoalan kepana Najib memluluskan pembelian dengan harga tersebut dalam keadaan tergesa-gesa ketika seluruh dunia sedang mengalami krisis ekonomi. Abdullah juga mengumumkan penangguhan pembelian tersebut hingga 2010 bukan membatalkan terus. Selepas ini bila Abdullah tidak lagi menjadi Perdana Menteri, apa jaminan yang boleh beliau berikan yang pembelian ini tidak akan diteruskan bila Najib mengambil alih jawatan? Dan kalau pun ditangguh hingga 2010, tentulah harganya akan lebih meningkat lagi.

Satu perkara lagi yang saya ingin dedahkan, ketika mengumumkan penangguhan pembelian Eurocopter itu, Abdullah menjelaskan Malaysia membayar lebih mahal dari Brazil kerana kita membeli helikopter yang mempunyai spefikasi yang lebih berbanding apa yang Brazil beli. Ini adalah satu pembohongan. Eurocopter ini ada dua iaitu Cougar 225 dan Cougar 725. Cougar 225 ini merupakan helikopter yang biasa iaitu untuk kegunaan biasa sepertimana Nuri sekarang ini. Tetapi kalau Cougar 725, ia adalah helikopter untuk kegunaan ketenteraan. Tidak ada sebarang penambahan apa-apa spefisikasi dalam pembelian tersebut kerana apa yang Brazil beli, itulah juga yang kita beli dan ianya datang dari syarikat yang sama. Kenapa Abdullah mahu menipu rakyat? Tinggal lebih kurang lima bulan sahaja lagi masa untuk beliau menjadi Perdana Menteri tetapi masih lagi berbohong. Imej Mr Clean yang beliau miliki sudah tercemar teruk, kenapa masih nak buruk kan lagi?

Abdullah akhirnya menangguhkan pembelian Eurocopter. Apakah penangguhan ini juga merupakan satu muslihat yang dibuat oleh Abdullah agar imej Najib dilihat lebih buruk menjelang Mac 2009?

Itu satu perkara yang boleh dibuat telahan. Tetapi yang lebih penting, perwakilan perlu faham bahawa penangguhan yang dibuat oleh Abdullah itu adalah satu isyarat supaya tidak mancalonkan Najib tetapi penangguhan dan pendedahan ini dibuat sudah agak lewat kerana Najib sudah mendapat cukup pencalonan hingga sudah mampu menang tanpa bertanding. Tetapi bagi saya, itu yang sepatutnya difahami oleh semua orang bahawa bakal Perdana Menteri yang bakal ambil alih ini adalah seorang yang terlibat dengan satu unsur rasuah yang amat besar.

Najib setakat ini bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Pandangan saudara, bila Najib mengambil alih jawatan dari Abdullah, kemana Malaysia hendak dibawa?

Saya cukup bimbang, bukan persoalan Najib atau siapa tetapi bagi saya jika Umno masih lagi menerajui penguasaan politik negara dari segi kerajaan, meneraju kerajaan, saya tidak tahu apa akan berlaku kepada negara ini selepas itu berdasarkan apa yang telah diperlihatkan waktu sekarang ini kerana saya sendiri tidak nampak bagaimana perubahan dari sudut integriti dalam kepimpinan kerajaan akan berlaku. Ini mengambarkan bahawa negara ini akan dipimpin oleh mereka yang hanya berkepentingan diri bukan untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara. Segala sumber kekayaan negara akan terus dirompak. Bila sudah banyak wang dilabur dalam pemilihan sudah tentu akan berlaku lebih banyak penyelewengan dan rasuah. Jadi saya berharap, kalau tidak dalam tempoh yang terdekat ini, setidak-tidaknya dalam pilihanraya umum yang akan datang, sesuatu perlu diusahakan agar penguasaan Umno, rompakan terhadap khazanah milik rakyat tidak akan terus menerus dilakukan dan negara ini mampu diselamatkan dari Umno dan BN.

Monday, November 3, 2008

Apakah akan ada perubahan?

Esok, 4 November 2008, rakyat Amerika Syarikat akan membuat pilihan samada Obama atau McCain akan dilantik menjadi presiden baru negara tersebut.

Warga dunia yang lain turut sama menanti dengan penuh debar, siapa akan ke rumah putih.

Tuesday, October 28, 2008

Monday, October 20, 2008

Shamsiah Fakeh telah tiada

Tokoh pejuang wanita tersohor, Shamsiah Fakeh meninggal dunia akibat sakit tua jam 9 pagi tadi.

Alahyarham, 84 yang aktif bersama Parti Komunis Malaya (PKM) menghembuskan nafas terakhir di kediaman anak lelakinya selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia minggu lepas.

Jenazah alahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur selepas Asar.

Shamsiah Fakeh adalah pemimpin pergerakan Kemerdekaan dari kalangan wanita Melayu yang berjuang dengan gigih hingga ke belantara Malaya.

Beliau adalah Ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang berganding bahu dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) bagi mengibarkan panji-panji perjuangan menuntut Kemerdekaan dari tangan penjajah British. Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua API telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah.

Shamsiah menyertai Rejimen Ke-10 iaitu sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM). Kehidupannya penuh ranjau berduri. Beberapa kali beliau sesat di hutan ketika melanjutkan perjuangan bersenjata ke arah menuntut Kemerdekaan.

Perjuangannya tidak mengira tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa. Beliau bersama suaminya Ibrahim, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan.

Shamsiah mengorbankan jiwa dan raga untuk memerdekakan Malaya mengikut caranya yang tersendiri.

Setelah kemerdekaan Negara pada tahun 1957 PKM terus mengangkat senjata menentang kerajaan Malaya merdeka. Ini dilakukan menurut Shamsiah kerana:

"Perang rakyat Malaya yang pada mulanya melawan penjajah British telah berubah menjadi perang dalam negeri sesudah merdeka. Ini adalah perang saudara iaitu perang rakyat Malaya melawan rakyat Malaya. Disinilah letak persoalannya. Tentera Pembebasan Nasional Malaya diubah menjadi Tentera Rakyat Malaya,"

Seterusnya dari hutan pada tahun 1956 Shamsiah berhijrah dengan suaminya Ibrahim Mohamad ke China, dihantar oleh PKM untuk belajar. Pasangan ini terus berada di sana dan memegang berbagai peranan termasuklah bertugas bagi siaran Melayu Radio Beijing antarabangsa.

Pada tahun 1965 mereka ditugaskan ke Indonesia yang ketika itu mengamalkan NASAKOM iaitu Nasionalisma, Sosialisma dan Komunisma sebagai ideologi kebangsaan di bawah Soekarno. Kehadiran Shmasiah adalah untuk kemudiannya menubuhkan pejabat perwakilan Liga Pembebasan Nasional Malaya di Indonesia.

Mereka bebas beroperasi sehinggalah tercetusnya ketegangan di Jakarta apabila berlaku rampasan kuasa tentera dan Suharto mengambil-alih kuasa pemerintahan.

Beliau dan rakan-rakannya ditangkap oleh penguasa Indonesia pada tahun 1965 sehinggalah dibebaskan pada tahun 1967 dengan bantuan kedutaan Vietnam. Dan dari sana beliau diterbangkan ke Vietnam dan kemudian kembali ke China.

Shamsiah kemudiannya menghadapi situasi pergolakan dalam PKM sehinggalah beliau dan suaminya dipecat dari parti yang mereka anggotai itu lalu menjadi rakyat biasa di China sehinggalah berjaya pulang ke tanahair pada tahun 1994 atas keizinan kerajaan Malaysia.
Kepulangannya menjadi mungkin ekoran perjanjian perdamaian antara kerajaan Malaysia dan PKM pada tahun 1989 yang bagi beliau menandakan tamatnya permusuhan 41 tahun kedua-dua pihak.

Namun sebagai seorang pejuang tulin bagi Shamsiah perjanjian itu bukan bermakna pihak kerajaan telah menang di medan perang.

Ianya lebih merupakan kejayaan kedua-dua pihak di meja perundingan yang sebelum ini tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan sejak perjumpaan di Baling gagal.

Bagi Shamsiah beliau adalah pejuang kemerdekaan Negara walaupun tidak diiktiraf demikian oleh kerajaan. Sumbangan beliau dan rakan-rakannya akan tetap berada di lipatan sejarah walaupun cuba dinafikan oleh pihak-pihak tertentu. Seperti yang beliau tulis dalam memoirnya:

"Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Kominis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita".

Sesungguhnya Memoir ini telah Shamsiah gunakan sebaik mungkin untuk membersihkan segala persepsi jahat terhadap beliau. Malah beliau merakamkan:

"Sebenarnya anggota Polis dan tentera memang tak perlu berdendan dengan aku kerana sepucuk pistol dan sebutir bom tangan yang aku pakai dalam hutan dahulu itu tidak pernah meletup dan tak sebutir peluru pun yang membunuh polis atau tentera kerajaan. Sebaliknya akulah yang terkena hujan peluru mereka".

Novel

Selepas manuskrip novel 'Opera Kuala Lumpur' yang aku siapkan pada tahun 2002 hilang entah ke mana, aku masih gagal untuk menulis novel.

Tapi, aku dapat tahu anak sedara aku, Alia kini sudah mula menulis novel. Hmmm... bangga juga aku bila anak sedara aku yang ini ada bakat dalam seni.

Alia ada bakat dalam lukisan, fotografi, masak dan yang terbaru aku tahu menulis. Teruskan Alia. Ayah Su doakan Alia berjaya.

Tuesday, October 14, 2008

Sime Darby rugi RM80 juta?

Sime Darby kerugian RM80 juta... rugi lagi. Kerugian disebabkan urusan penjualan minyak sawit antara Sime Darby Plantation Sdn Bhd dan sebuah syarikat di China. Syarikat tersebut sudah tidak membuat pembayaran sejak Mac lagi.

Haih... macam mana dah tak bayar nak hantar juga?

Dalam urusan antara Sime Darby Plantation Sdn Bhd dan syarikat di China itu muncul satu nama, Cindy wanita warganegara China.

Awek siapa pulak ni?

Saturday, October 11, 2008

Keperitan krisis ekonomi makin dirasai

Krisis ekonomi semakin hebat melanda dunia. Suka atau tidak semua orang akan atau sedang merasai keperitan akibat daripada kegawatan ini. Keadaan inflasi semakin meruncing dalam keghairahan kita menonton sayembara politik tanahair.

Paling menakutkan bila kadar inflasi semakin tinggi dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang rendah. Ini boleh membawa kepada ekonomi mengucup tetapi inflasi melonjak.

Pemerintah seperti selalunya mendakwa segalanya masih terkawal dan tempias kegawatan ekonomi di Amerika tidak akan sampai ke negara ini. Pembangkang pula akan terus menuduh kerajaan lemah, rasuah dan tidak mampu menguruskan negara dengan baik. Pakar ekonomi dan penganalisis pula akan berhujah dengan pelbagai teori.

Keyakinan terhadap ekonomi negara semakin meruncing dalam keadaan kenaikan kos pengeluaran dan harga pengguna.

Yang pasti, rakyat terus menderita dek kerana kos hidup yang semakin melangit. Sedang pemimpin pula lebih sibuk berbicara tentang jawatan yang mahu dikekalkan semata-mata kerana mahu terus kekal berkuasa atau mahu merampas kuasa.

Tidak ada pilihan bagi rakyat selain terus berusaha sebaik yang mungkin untuk mengekalkan produktiviti dan mata pencarian serta berjimat cermat.

Dalam masa yang sama rakyat juga mengharapkan agar segera muncul pemimpin baru yang boleh menyelamatkan mereka dari terus dilanda derita. Tidak kira dari parti mana dan siapa orangnya, yang penting pemimpin yang dinobatkan itu mampu sekurang-kurangnya meringankan beban mereka.

Apa yang berlaku ini akan membawa rakyat kembali kepada kepemimpinan politik. Tidak dapat tidak rakyat mahukan sebuah kerajaan yang mampu menguruskan krisis ekonomi dan menjana keyakinan pelabur serta pengguna. Kemampuan menguruskan ekonomi dan negara dengan baik bukan hanya dapat melegakan rakyat tetapi juga dapat meyakinkan pemodal.

Kerajaan dan kepimpinan yang ada pada hari ini sangat memalukan rakyat. Kepimpinan yang ada pada hari ini menjadi bahan sindiran dan kutukan kerana kegagalan mereka menguruskan negara dengan baik tetapi masih menganggap mereka kuat dan relevan.

Dari sudut persepsi atau realiti, kerajaan yang ada dilihat rendah moral, berpecah belah, korup dan paling menyedihkan dianggap lemah dari segi pemikiran. Perkara ini tidak hanya terkena kepada pemimpin sahaja tetapi pentadbiran awam turut terkena tempiasnya.

Hari demi hari imej negara dipentas antarabangsa semakin buruk. Ini semua disebabkan oleh kepimpinan yang lemah lalu gagal mempertahankan imej dan integriti negara.

Kelemahan kepimpinan yang ada pada hari ini tidak hanya dipersendakan tetapi turut dijadikan alasan oleh pemodal tempatan untuk membawa keluar modal atau membekukan pelaburan. Sekali lagi rakyat yang terus menderita.

Dalam keadaan politik dan ekonomi yang tidak menentu ini, orang Melayu yang paling terancam kerana kuasa ekonomi mereka lemah berbanding kaum-kaum lain.

Kaum-kaum lain masih mengharapkan agar Malaysia terus stabil dan maju dibawah kuasa majoriti Melayu.

Soalnya, dalam suasana yang penuh dengan pelbagai cabaran, siapakah yang akan menangani ancaman besar yang sedang dihadapi oleh negara ini?

Thursday, October 9, 2008

Abdullah berundur: Pengorbanan atau dikorbankan?

Tanggal 8 Oktober lalu, dengan rasminya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan tidak akan mempertahankan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti tersebut pada Mac 2009.

Pengumuman tersebut menjawab segala teka-teki sejak mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi Umno penghujung bulan September yang lepas. Biarpun ramai penyokong Abdullah yang meminta beliau terus kekal untusatu penggal lagi tetapi Presiden Umno itu membuat keputusan untuk mengundurkan diri.

Rata-rata pemimpin Umno memuji langkah yang diambil oleh Abdullah itu dan menyifatkan apa yang dilakukan itu merupakan satu pengorbanan besar kepada harus dihormati oleh semua pemimpin dan ahli Umno.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan yang dibuat Abdullah itu menunjukkan beliau lebih mementingkan parti daripada diri sendiri.

Beliau menyifatkan keputusan Abdullah merupakan pengorbanan yang cukup besar kerana tindakan melepaskan kepimpinan bukan sesuatu yang mudah.

"Saya kira beliau mengambil kira semua sudut iaitu mengambil kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi," kata Muhyiddin mengenai keputusan Abdullah itu.

Ketua Penerangan Umno Johor, Dato' Mohd Puad Zarkashi pula berpendapat keputusan Abdullah itu dibuat untuk memastikan Umno terus relevan.

Mohd Puad juga menyifatkan Presiden Umno sebagai seorang negarawan yang bertanggungjawab kerana tidak mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan akan datang.

Keputusan itu, katanya adalah kerana perdana menteri lebih mengutamakan parti dan rakyat.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid, berkata, keputusan Abdullah tidak mempertahankan jawatan sebagai presiden adalah satu pengorbanan yang cukup besar.

Tindakan itu, katanya, datang dari orang yang berjiwa besar dan ikhlas serta beliau berminat hendak melihat Umno bersatu.

Namun keputusan Abdullah menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Timbalannya, Dato' Seri Najib Razak enam bulan akan datang dan tidak bertanding jawatan presiden Umno menimbulkan persoalan sama ada beliau ikhlas mahu berundur atau terpaksa berbuat demikian atas desakan beberapa pihak lain?

Bagi pemimpin pembangkang pula, keputusan Abdullah itu memberi gambaran seolah-olah Presiden Umno itu dipaksa untuk tidak bertanding dan bukannya dibuat kerana beliau seorang yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan medianya berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat.

Beliau juga berharap agar dalam tempuh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melakasanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahaknnya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Di samping itu, beliau berkata inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara dan tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

Bagi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pula pengumuman Abdullah itu membayangkan ada sesuatu yang tidak kena apabila Abdullah enggan mempertahankan jawatannya secara tiba-tiba.

"Kalau beliau yakin tak bersalah kenapa nak letak jawatan. Sebaliknya dari awal lagi kena letak jawatan jika rasa bersalah, ini baru dinamakan bertanggungjawab," kata Nik Aziz.

Beliau berpendapat mandat yang diserahkan oleh rakyat kepada Abdullah sepatutnya dipertanggungjawabkan dan bukannya mengikut cakap beberapa kerat pemimpin Umno sahaja.
Abdullah, kata Nik Aziz tidak wajar berbuat demikian semata-mata menyahut desakan beberapa ahli dalam Majlis tertinggi Umno jika berkeyakinan dapat menguruskan pentadbiran negara dengan baik.

"Tentunya ada sesuatu yang tidak kena apabila Perdana Menteri melepaskan jawatan hanya kira-kira setahun selepas pilihan raya umum ke-12," kata beliau lagi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata Perdana Menteri dipaksa melepaskan jawatan tanpa kerelaannya, dan mengikut jangka masa yang bukan menjadi pilihannya.
Bernama memetik beliau sebagai berkata, pengunduran secara tiba-tiba dan tidak sopan itu merupakan gambaran muram kedudukan politiknya yang lemah, yang mengakibatkan beliau kehilangan penghormatan oleh parti.

"Berbeza daripada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah dipaksa berundur," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ironinya, orang ramai lebih menghormati Abdullah berbanding parti Umno, kerana beliau dilihat sebagai "orang yang memiliki hasrat yang baik, yang mungkin seorang daripada beberapa kerat pemimpin bersih yang masih tinggal dalam Umno".

"Abdullah sepatutnya meninggalkan legasi dalam memerangi rasuah dengan mewujudkan tender terbuka dan mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) dan Umno yang menyalahguna kuasa," tambahnya.

Bagi ketua Umno bahagian Bukit Mertajam, Dato' Musa Sheikh Fadzir keputusan Abdullah itu dibuat kerana didesak oleh pemimpin utama parti supaya tidak mempertahankan jawatan presiden Umno Mac depan.

Keputusan Abdullah untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri dan tidak mempertahakan jawatan Presiden Umno dalam pemilihan Mac depan bukanlah merupakan satu pengorbanan besar sebaliknya beliau telah dikorbankan oleh segelintir pemimpin Umno yang lebih mementingkan kepentingan peribadi berbanding rakyat.

Wednesday, October 8, 2008

Antara Anwar dan Rosmah, siapa akan ke Sri Perdana?

Akhirnya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mac 2009 dan juga tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Presiden Umno dalam pemilihan akan datang.

Keputusan perdana menteri itu diumumkan dalam taklimat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di PWTC petang tadi.

Abdullah pada awalnya, dijadual melepaskan jawatan tertinggi Umno dan jawatan Perdana Menteri pada pertengahan 2010.

Namun akibat dari prestasi buruk BN dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu, beliau telah didesak agar segera meletak jawatan.

Keputusan Abdullah ini membolehkan Datin Seri Rosmah Mansor menjejakkan kaki ke Sri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri enam bulan akan datang.

Mendiami Sri Perdana tentunya merupakan antara yang dimimpikan oleh Rosmah sejak lama dahulu. Dan hasrat itu makin membara tentunya bila Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa.

Pelan peralihan kuasa yang kini dipercepatkan ke Mac 2009, membolehkan suami Rosmah memegang jawatan Presiden Umno seterusnya diberikan jawatan Perdana Menteri Malaysia ke tujuh.

Mimpi Rosmah ini akan menjadi kenyataan dalam tempoh enam bulan akan datang. Itu pun jika tiada berlaku sebarang halangan dalam tempoh enam bulan ini.

Tempoh enam bulan akan datang tentunya amat mendebarkan Rosmah kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh tersebut untuk menghalang beliau dari mendiami kediaman rasmi Perdana Menteri.

Yang boleh menyekat mimpi Rosmah dari menjadi nyata adalah jika kerusi Presiden Umno dimenangi oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang berhasrat bertanding jawatan tersebut pada Mac nanti.

Selain faktor kemenangan Ku Li, faktor pembentukan kerajaan baru oleh Pakatan Rakyat juga mampu membuatkan impian Rosmah terhalang.

Jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan, bukan hanya impian mendiami Sri Perdana akan terkubur tetapi kemungkinan pelbagai lagi malapetaka akan menimpa bukan hanya Rosmah tetapi banyak lagi pemimpin Umno yang lain.

Pembentukan kerajaan baru ini amat tidak disenangi oleh pemimpin Umno biarpun ia merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia yang sudah bosan dengan pemerintahan Umno-BN selama 51 tahun.

Biarpun pembentukan kerajaan baru tidak berlaku pada 16 September lalu - tarikh asal yang diumumkan oleh Anwar - tetapi bukan sedikit rakyat Malaysia yang berharap agar BN segera ditumbangkan.

Rakyat Malaysia yang tidak mampu berbelanja sebanyak RM7 juta untuk membeli 14 utas jam tangan di Hong Kong menunggu dengan penuh sabar Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan.
Selain Rosmah, Anwar juga pasti berhasrat untuk berpindah ke kediaman bernilai ratusan juta ringgit itu. Jika tidak mendiami Sri Perdana sekalipun, Ketua umum Pakatan Rakyat itu sememangnya berhajat untuk memiliki pejabat di Putrajaya.

Biarpun ramai yang mengatakan hasrat Anwar dan Pakatan Rakyat mahu menubuh kerajaan baru sebagai sesuatu yang mustahil tetapi ahli parlimen Permatang Pauh tetap yakin BN akan tumbang dalam tempoh terdekat.

Keyakinan Anwar itu membuatkan ramai yang menunggu beliau membuktikan bahawa hasratnya itu bukanlah omongan kosong semata-mata.

Monday, October 6, 2008

Aduhai Abdullah...

Ketika dalam perjalanan pulang dari Shah Alam, aku mendengar berita dari Bernama Radio yang dipasang oleh jurugambar Harakah, Wan Zahari.

Antara yang termuat dalam berita itu adalah kenyataan Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau kecewa bila hanya seorang penyokong Hindraf bersalam dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada beliau ketika mereka datang ke rumah terbuka beliau dan jemaah menteri di PWTC baru-baru ini.

Abdullah juga berkata yang lain-lain semua menjerit "Hapuskan ISA" dan "Bebaskan Hindraf".

Dan Abdullah juga berkata, "Itu saja yang mereka dok cakap bagi saya dengaq'". Seterusnya Abdullah terus berkata, "Mereka (penyokong Hindraf) tidak memahami konsep aidilfitri dan tidak tahu untuk sama berhari raya dan bergembira,"

Aduhai Abdullah... tidakkah kamu tahu bahawa yang dijeritkan oleh penyokong Hindraf itu, "Hapuskan ISA" dan "Bebaskan Hindraf" itu adalah yang hendak mereka sampaikan. Mereka pergi ke rumah terbuka itu semata-mata kerana mahu mesej mereka sampai kepada kamu dan itulah mesej mereka.

Dan tidakkah kamu tahu duhai Abdullah bahawa tahanan-tahanan ISA dan keluarga mereka sedang menderita ketika kamu bergembira di PWTC.

Tahukah kamu duhai Abdullah bahawa ada antara anak-anak tahanan ISA yang tidak ke sekolah kerana mereka - anak-anak tahanan ISA itu - takut jika ke sekolah atau ibu mereka keluar bekerja maknanya ibu mereka tidak sayangkan mereka lagi seperti bapa mereka yang pergi meninggalkan mereka selama lebih dari dua tahun.

Tahukan kamu duhai Abdullah mereka - anak-anak tahanan ISA dan isteri tahanan ISA - tidak dapat bergembira di Hari Raya sepertimana kamu bergembira bersama jemaah menteri kamu yang korup di PWTC kerana mereka rindukan bapa mereka yang telah ditahan lebih dari dua tahun hingga ada yang mencecah tujuh tahun.

Tahukah kamu duhai Abdullah bahawa bapa atau suami mereka ditahan tanpa dibicarakan dan tiada bukti yang memsabitkan mereka dengan kesalahan yang kerajaan kamu kaitkan dengan tahanan-tahanan tersebut.

Aduhai Abdullah...

Tuesday, September 30, 2008

Salam aidil fitri

Salam aidilfitri dari saya dan isteri...

Saturday, September 27, 2008

Enam bulan dari sekarang

Enam bulan dari sekarang, apa akan terjadi bila krisis ekonomi yang sedang melanda Amerika semakin parah dan mula merebak ke Asia Tenggara termasuk Malaysia?

Sekarang, kebanyakan kilang yang ada di Malaysia masih lagi mengeksport barangan mereka ke Amerika kerana permintaan awal tahun masih berjalan. Tetapi selepas ini macam mana? Amerika masih lagi rakan dagangan utama Malaysia.

Jika kilang ditutup, akan ramai lagi yang kehilangan kerja. Dan itu juga tandanya ekonomi sedang teruk. Bila ekonomi mengalami kemerosotan makanya tidak dapat tidak kadar jenayah akan turut meningkat.

Pemimpin kerajaan terutama Umno hanya tahu menasihatkan rakyat supaya berjimat sedang mereka sendiri boros. Lihat saja mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Umno, apa yang mereka bincangkan?

Mereka hanya berbincang tentang kuasa. Perihal siapa yang harus letak jawatan dan siapa yang harus memegang jawatan. Mesyuarat itu hanya berbincang tentang kuasa yang harus dibahagi-bahagikan sesama mereka. Mereka hanya berbincang untuk menjaga kepentingan mereka sahaja.

Mereka bukan memanggil mesyuarat tergempar untuk membincangkan apa yang harus dibuat dari sekarang untuk menjaga kepentingan rakyat. Rakyat Malaysia bukan hanya pemimpin Umno dan anak beranak mereka sahaja.

Ekonomi Malaysia sebenarnya jika diuruskan dengan baik mampu untuk menjaga kepentingan rakyat. Tetapi kerana kerajaan yang ada sekarang merupakan sebuah kerajaan kapitalis maka hak rakyat diabaikan. Tiada pendidikan percuma, tiada perubatan percuma dan banyak lagi yang boleh menguntungkan rakyat.

Dasar kapitalis selama-lamanya akan hanya menguntungkan kerajaan sahaja kerana kerajaan harus melindungi pemodal.

Yang terbaik adalah sistem ekonomi Islam yang lebih menjaga kebajikan rakyat berbanding kebajikan pemimpinnya.

Kerajaan baru yang diuar-uarkan akan mengambil alih pemerintahan juga merupakan sebuah kerajaan kapitalis. Jika berlaku pertukaran pun ianya hanyalah perubahan dari sebuah kerajaan kapitalis lama kepada sebuah kerajaan kapitalis baru.

Sebab itu kerajaan baru yang mahu mengambil alih pemerintahan perlu meletakkan Islam sebagai dasar dan asas pemerintahan mereka.

Ini hanyalah sekadar persoalan yang bermain dalam minda sahaja. Mungkin ianya terjadi atau tidak akan terjadi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Dan kepada Allah jua lah kita berdoa agar negara ini terselamat dari segala malapetaka yang boleh membinasakan.

Friday, September 26, 2008

Hari al-Quds - hari pembaharuan kehidupan Islam

Hari ini hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan. Almarhum Imam Khomeini telah mengisytiharkan hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan sebagai 'Hari AL Quds' iaitu hari pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa.

Tapi malangnya dikebanyakan negara Sunni, hari al-Quds tak langsung diingati hanya kerana Imam Khomeini berfahaman Syiah.

Apa salahnya kita lupakan perbezaan fahaman ini dan kita sama-sama mengingati hari al-Quds. Apa ada pada perbezaan ini. Lupakan lah soal Syiah, Sunni atau Wahabi, kita semua akan menuju ke satu tempat abadi. Semua jalan yang dipilih ini akan menuju ke satu arah dan satu tujuan.

Ayuh... sama-sama kita ingati hari al-Quds.

Wednesday, September 24, 2008

Merindu kepastian

Andai kau menjadi pelangi,
Biar aku jadi awannya,
Agar kita selalu bersama…

Andai kau menjadi sang duyung,
Biar aku jadi karangnya,
Agar kita sentiasa bersua…

Andai kau menjadi merpati,
Biar aku jadi sang bayu,
Agar kita sering bertemu…

Andai kau menjadi puisi,
Biar aku jadi melodi,
Bersama kita bernyanyi…

Andai aku menjadi rembulan,
Sudikah engkau menjadi kejora,
Hingga pagi nanti…

Andai esok aku menjadi tanah,
Sudikah engkau menjadi bunga,
Menghiasi dadaku…

lagu/lirik: art fazil

Perubahan sejak jadi wakil rakyat

Kau nampak tak apa yang aku nampak
Perubahan mendadak sahabat kita sedari kecil sama main baling kotak
Kini dia berpolitik tidak lagi main lastik
Tapi yang nyatanya rumahnya besar
Tapi yang nyatanya keretanya besar
Semenjak dia menjadi wakil rakyat

Tuesday, September 23, 2008

Monday, September 22, 2008

NOW SHOWING

Saksikan di pawagam yang berhampiran dengan anda...

Menanti demi menanti

Ramai yang ternanti-nanti bilakah agaknya kerajaan kapitalis baru akan tertubuh. Atau adakah kemungkinan teori R.A.H.M.A.N akan tetap menjadi milik Najib? Ini hanya teori yang tak semestinya menjadi kenyataan.

Selepas 16 Sptember, kini tarikh 9 Oktober pula menjadi perhatian dan membuatkan ramai ternanti-nanti. Apakah pada 9 Oktober ini Abdullah Ahmada Badawi akan melepaskan jawatannya atau masih ingin terus kekal di tampuk kuasa.

Sama seperti 16 September, 9 Oktober juga membuatkan ramai yang menanti demi menanti.

Thursday, September 18, 2008

Bebaskan Sheih

Semalam selepas berbuka puasa, terima sms dari isteriku Munirah bahawa Syed Azidi atau Sheih ditahan polis.

Difahamkan Sheih ditahan dibawah Akta Hasutan oleh tiga orang polis berpakaian preman tanpa membawa sebarang waran.

Aku pernah bekerja selama lima bulan dibawah Sheih di Global Media Channel Sdn Bhd.

Malam ini, insya-Allah aku akan cuba hadir di luar bangunan Jenayah Komersial sebagai solidariti untuk membebaskan Sheih.

Bebaskan Sheih!

Tuesday, September 16, 2008

Selamat Ulangtahun ke 45 Malaysia

Hari ini, 16 September, genap 45 tahun usia Malaysia. Tadi malam puluhan ribu warga Malaysia berkumpul di Stadium Kelana Jaya bagi merayakan sambutan ulangtahun ke 45 Malaysia. Aku tidak ke sana kerana terikat dengan tugas.

Hari ini, ramai yang menunggu apakah akan terbentuk kerajaan baru setelah dihebahkan mengenainya selepas Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu. Tiada pembentukan kerajaan baru hari ini tetapi segalanya masih dalam perancangan.

Hari ini, jam 2 petang akan diadakan sidang media oleh Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim di ibu pejabat KeADILan Kelana Jaya. Aku akan ke sana bersama rakan setugas, Wan Nordin Wan Yaacob.

Monday, September 15, 2008

Apa jadi Mustafa Ali?

Mustafa Ali pernah berkata bahawa abangnya tidak ’sihat’ ketika menyertai Umno sebelum Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu. Abangnya pernah menyeru ahli PAS untuk memasuki Umno jika benar memperjuangkan Islam.

Kini mungkin Mustafa Ali juga sudah tidak sihat kerana beria-ia benar membantu mempertahankan Umno dari tenggelam. Apakah kerana tawaran akan dilantik menjadi Senator serta bakal menjadi Menteri kalau berjaya mencantumkan Umno dan PAS membuatkan Mustafa Ali hilang kewarasan. Atau juga dia memang tidak waras.

RAKYAT TERENGGANU SALAH PILIH PESURUHJAYA

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh : 11 Ramadhan 1429
11 September 2008.

Friday, September 12, 2008

Apakah Mustafa Ali faham perlembagaan Malaysia?

Sesuatu yang karut bila ada makhluk ciptaan Allah mengatakan usaha Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baru pada 16 September ini adalah mustahil.

Rujuk Perlembagaan Malaysia mengikut Artikel 40a, Kurungan (2), sub-kurungan (a), kuasa melantik seorang perdana menteri itu adalah semata-mata di atas perkenan dan budi bicara Duli Yang Maha Mulia DiPertuan Agong.

Article 40a.

(2) The Yang di-Pertuan Agong may act in his discretion in the performance of the following functions, that is to say –
(a) the appointment of a Prime Minister;


Seterusnya kriteria yang ditetapkan oleh Perlembagaan bagi DYMM Agong memilih seorang Perdana Menteri bukanlah takluk kepada hari apa, atau musim mana, sebaliknya tertakluk kepada kausa yang beri oleh Artikel 43, Kurungan (2), sub-kurungan (a) yang berbunyi.

Article 43
(2) The Cabinet shall be appointed as follows, that is to say -

(a) the Yang di-Pertuan Agong shall first appoint as Perdana Menteri (Prime Minister) to preside over the
Cabinet a member of the House of Representative who in his judgment is likely to command the
confidence of the majority of the members of that House; and

Daripada Artikel 40(a) dan 43 jelas sekali adalah: DYMM Agung boleh lantik ahli parlimen mana yang Tuanku berkenan, yang dalam pertimbangan Tuanku individu itu mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Jadi mudahnya, kalau ikut Artikel 40(a) dan 43: DYMM Agong boleh melantik Anwar Ibrahim atau individu lain sebagai Perdana Menteri Malaysia pada bila-bila masa jika Tuanku dapati Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Rasanya elok Mustafa Ali membaca dan memahami Perlembagaan Malaysia sebaik-baiknya kalau teringin sangat nak join Umno dan nak jadi Senator serta dilantik jadi menteri tanpa portfolio.

Kalau perlembagaan negara sendiri pun tak faham maka bertambahlah seorang lagi menteri bodoh dalam kabinet Abdullah Ahmad Badawi.

Tapi kalau dia cerdik tak mungkin dia bermuzakarrah dengan Umno kerana sudah jelas lagi nyata rakyat tolak Umno.

Tulisan jawi dan Teresa Kok

Apabila Teresa Kok mengugurkan tulisan jawi di papan tanda jalan, ada yang marah dan ada yang tak kisah.

Aku juga turut tertanya-tanya kenapa digugurkan tulisan jawai itu kalau pun mahu meletakkan tulisan Cina dan Tamil. Apa salahnya kalau ada empat tulisan kalau boleh ada tiga tulisan.

Tapi bila ditanya kepada Shaari Sungib, katanya itu bukan isu. Pulak.

Wednesday, September 10, 2008

Lagi cubaan halang penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat

Aku bukan penyanjung Anwar Ibrahim. Confirm.

Tapi aku cuma ada dua pilihan:

1 - Memilih untuk menyokong usaha Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

2 - Memilih untuk tidak menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Kalau aku memilih yang pertama maknanya aku menyokong usaha untuk menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang rakus merompak dan menyamun khazanah negara dan hak rakyat.

Kalau aku memilih yang kedua maknanya aku menyokong tindakan penyamun-penyamun dari BN terus menerus memegang kuasa dan membiarkan khazanah negara serta harta rakyat terus dirompak dan disamun.

Lalu aku memilih yang pertama demi untuk melihat negara ini diurus tadbir dengan lebih berkesan. Insya-Allah.

Tapi hari ini ada usaha dari pihak Kerajaan Tiga Beranak untuk menyekat usaha membawa perubahan di negara ini berjalan lancar.

Hari ini satu perintah ditandatangani oleh Peguam Negara, Abdul Gani Patail supaya kes liwat Anwar Ibrahim dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Notis perintah ini ditandantangani oleh Abdul Gani pagi tadi kerana sehingga malam tadi pasukan peguam Anwar tidak diberitahu akan ada notis perintah ini.

Campurtangan Abdul Gani Patail ini jelas tidak menghormati keputusan 'Saya Perdana Menteri' Abdullah Ahmad Bodowi yang telah menyatakan Abdul Gani dan Musa Hassan tidak akan dibenarkan campur tangan dalam kes liwat Anwar.

Abdul Gani yang sedang disiasat ekoran laporan polis terhadap beliau dan Musa Hassan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim berhubung terdapat bukti kedua individu ini telah menyediakan bukti palsu ketika kes Anwar pada tahun 1998.

Jika usaha Abdul Gani dan Kerajaan Tiga Beranak pagi tadi untuk memindahkan kes liwat Anwar dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi berjaya bermakna ada kemungkinan Anwar akan sekali lagi ke penjara.

Jika kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, hakim akan bertukar dan ada kemungkinan ikat jamin akan ditarik balik lalu terhumbanlah Anwar ke penjara.

Jika Anwar sekali lagi terhumban ke penjara, maka beliau tidak dapat untuk membahaskan bajet 2009 oktober nanti.

Jika Anwar sekali lagi terhumban ke penjara, maka usaha Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan akan gagal kerana wakil rakyat yang berhasrat untuk menyeberang akan membatalkan niat itu kerana sosok utama sudah tiada.

Jika Anwar sekali lagi terhumban ke penjara, maka pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh akan diadakan sekali lagi kerana sesiapa yang disabitkan dengan kes jenayah akan digugurkan jawatan sebagai wakil rakyat.

lalu aku cuma mampu untuk berdoa agar 16 atau 20 September ini sejarah baru akan tercipta. Insya-Allah.

Tuesday, September 9, 2008

Tujuh hari lagi...

Tujuh hari lagi menjelang 16 September. Apakah projek 16 September, salah satu P dari Projek 3P (Permatang Pauh, Parlimen, Putrajaya) akan berjaya?

Anwar tetap yakin ianya akan berjaya biarpun Barisan Nasional (BN) jelas takut lalu membawa 49 ahli parlimen ke Taiwan. Alasan yang diberikan adalah 'Lawatan Sambil Belajar'. Mereka dikatakan akan mempelajari secara dekat program pertanian yang dilaksanakan di Taiwan.

Kalau nak belajar cara pertanian kenapa tak pergi saja ke Thailand? Di sana pun teknologinya jauh lebih baik dari Malaysia. Dan kalau hanya ke Thailand kosnya lebih murah. Boleh naik bas ke Rantau Panjang atau ke Perlis. Dari rantau Panjang boleh ke Golok dan naik keretapi ke mana-mana destinasi pertanian di Thailand. Sama juga kalau masuk melalui Padang Besar.

Kenapa nak bazirkan duit rakyat untuk mengelakkan dari 16 September? Bak kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz, tarikh 16 September itu hanya soal teknikal, tak dapat 16 September tambah lagi dua hari 18 September pun boleh.

Thursday, September 4, 2008

16 September

Tinggal 12 hari lagi untuk ke 16 September. Tarikh ini ditunggu oleh semua orang. Jadi atau tidak.
Kalau tak jadi, rakyat akan marah, kecewa dan menuduh Pakatan Rakyat terutama Anwar Ibrahim menipu. Andainya ada mana-mana pilihanraya kecil di mana-mana tempat, modal ini akan digunakan sebagai bahan kempen BN.
Hanya satu peristiwa besar yang boleh mengakibatkan projek 16 September ini gagal dan rakyat akan melupakannya. Apa peristiwa tersebut tak tahu pulak tapi mungkin ada apa-apa yang akan berlaku dan telah dirancang.
Kalau 16 September kerajaan Pakatan Rakyat dibentuk, maka pada 17 September harga minyak akan menjadi RM2.05 seliter.
16 September sama dengan tarikh pembentukan Malaysia, pengabungan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.
Tunggu saja lah... harap-harap jadi.

Monday, September 1, 2008

Harakah

Sudah lebih seminggu kerja di Harakah...

Saturday, August 2, 2008

Kenyataan media Dato Husam Musa Berhubung Pengosongan Kerusi Parlimen Permatang Pauh

Pengosongan kerusi oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada hari ini membolehkan Pakatan Rakyat mewujudkan perpaduan. Segala serangan media oleh Barisan Nasional di dalam masa dua minggu kebelakangan ini terkubur dengan sekelip mata. PAS InsyaAllah akan memberi sokongan dan bantuan sebaiknya.

Oleh itu jika ditakdirkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding diatas kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan itu menang, ini bermakna di dalam tempoh dua bulan dari sekarang Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menjadi ahli Dewan Rakyat. Kemenangan itu akan mewujudkan tekanan baru kepada kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Niatnya untuk berpaut kepada PAS bagi melanjutkan penerimaan kepimpinannya di dalam UMNO akan berhadapan dengan situasi baru. Pilihanraya Kecil ini akan berlangsung lebih awal daripada Pemilihan Pucuk Pimpinan UMNO pada bulan Disember ini. Samada ahli UMNO masih menganggap kepimpinan Abdullah diperlukan atau releven, sedikit sebanyak akan ditentukan oleh keputusan pilihanraya kecil tersebut.

Kemasukkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke dalam Dewan Rakyat adalah perlu pada waktu ekonomi negara dijangka lebih merudum. Agenda reformasi yang didokong bersama oleh Pakatan Rakyat bagi kesejahteraan Malaysia keseluruhannya memerlukan beliau di Parlimen.

Dato’ Haji Husam Bin Hj. Musa
Naib Presiden PAS
31 Julai 2008
Bersamaan 28 Rejab 1429 H

Thursday, July 31, 2008

Wan Azizah letak jawatan....

Selepas berbincang dengan keluarga saya, kepimpinan Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya dengan ini secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kepada YB Tan Sri Speaker Dewan Rakyat Datuk Pandikar Amin Bin Hj. Mulia hari ini, memberi laluan kepada suami saya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil secepat mungkin.

Ini adalah konsisten dengan matlamat kami untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan baru dalam tahun ini.

Keputusan ini adalah yang terbaik buat Malaysia.

Negara ini sedang berhadapan dengan cabaran yang paling getir semenjak mencapai kemerdekaan.

Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO terbukti telah gagal mengurus ekonomi negara ini dan membawa negara ini menuju kehancuran. Kerajaan ini telah menyebabkan integriti sistem keadilan hancur ke tahap yang memalukan. Ia membiarkan api perkauman semakin bernyala-nyala dan membuatkan etnik Melayu, Cina dan India saling tidak mempercayai satu samalain di samping sengaja mengabaikan keperluan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.

Anwar Ibrahim telah mengungkapkan visi untuk Malaysia yang telah pun membenihkan harapan buat rakyat. Beliau mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan untuk membangunkan kembali ekonomi negara ini, juga karisma dan integriti untuk menyatukan rakyat Malaysia serta mengembalikan kewibawaan institusi-institusi kenegaraan.

Saya akan terus berkhidmat sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat dan pengurusi Yayasan Aman.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penyokong saya di Permatang Pauh yang selama ini sentiasa teguh di belakang saya di dalam melalui saat-saat sukar semenjak dari September 1998 dan saat-saat manis kemenangan 8 Mac 2008. Masa depan negara kita bergantung kepada dedikasi dan komitmen terhadap keadilan dan kebebasan yang saya lalui selaku wakil anda semua di Parlimen dan saya akan sentiasa berkhidmat untuk anda pada masa depan seikhlas mungkin.

DATO' SERI WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden Parti Keadilan Rakyat

Wednesday, July 23, 2008

Jangan biarkan PAS dikuasai si bodoh

"Sesiapa juga yang datang kepada kami untuk menawarkan jawatan ataupun menawarkan kedudukan yang menggiurkan, kita tidak akan terima. Kita ada prinsip, harga diri. Pimpinan PAS bukan boleh ditawarkan jawatan sedemikian," kata ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub. - Malaysiakini 23 Julai 2008

Di atas ada kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Tapi cuba tanya Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa apa yang akan dia jawab?

Huh... kenapa dalam senarai kepimpinan PAS, ada si tolol dan bangang memegang jawatan tertinggi hingga sanggup cuba-cuba nak bincang-bincang dengan Umno? Nak sangat jawatan menteri sampai lupa susah payah perjuangan sebelum ni.

Apakah selama ini PAS bersusah payah hanya untuk berbincang dan seterusnya bekerjasama dengan Umno?

Lupakah lama dulu, bekas Mufti Selangor, Allahyarham Ishak Baharom dipecat oleh kerajaan Umno/BN kerana pertahankan Islam?

Lupakah tindakan kerajaan Umno/BN yang bersungguh-sungguh menutup dan merampas sekolah agama rakyat (SAR)?

Lupakah sebelum ini kerajaan Umno/BN halang penceramah PAS masuk masjid hingga guna polis seperti kejadian di sebuah surau di Kota Damansara tahun lepas?

Lupakah sebelum PRU12 lalu, kerajaan Umno/BN bersungguh-sungguh melanyak dan menghina PAS yang memerintah Kelantan?

Tak kan lah bertanding di Bachok pun lupa dengan serangan demi serangan yang Umno/BN lakukan terhadap PAS di Kelantan.

Tak kan lah kerana nak sangat jawatan menteri sampai lupa segala-gala yang telah Umno/BN buat sebelum ini yang banyak menghiris hati ahli-ahli PAS.

Wednesday, July 16, 2008

Janji Anwar

"Hari ni bentuk kerajaan, besok minyak turun 50 sen," itu kata Anwar Ibrahim ketika berdebat dengan Shaberry 'Venezuela' Chik dalam debat anjuran Agendadaily.com .

Perdebatan tersebut yang bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak' berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.Ia bermula jam 9 malam dan berakhir selama sejam.

Orang ramai menonton secara langsung perdebatan tersebut TV9, Astro Awani dan Bernama TV.Perdebatan tersebut bermula dengan Anwar dan Shabery, masing-masing diberi masa empat minit sebagai pembuka bicara.

Ia diikuti dengan soalan dari moderator, Datuk Johan Jaafar yang juga pengerusi DBP. Kemudiannya dua ahli panel yang masing-masing mewakili Shabery dan Anwar bertanya soalan kepada kedua-duanyanya.

Mereka ialah Editor Siasah, Zulkifli Sulong dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Nordin Kardi.

Anwar berkata kerajaan boleh menjimatkan sekurang-kurang RM2 bilion sekiranya ia mengurangkan tahap simpanan tenaga negara dari 40 peratus sekarang, kepada 20 peratus dan dimanfaatkan untuk menurun harga minyak bagi mengurangkan beban rakyat. Dengan itu, katanya, kerajaan dapat mengurangkan bayaran yang tinggi kepada syarikat penjana kuasa bebas (IPP) dan mengelak Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada terus menanggung kerugiaan.

Di samping itu, katanya, lebih banyak lagi dapat diselamatkan jika dapat dikurangkan kebocoran yang berlaku, termasuk RM700 juta akibat kebocoran dan penyelewengan dalam pembekalan diesel.Menurutnya, kerajaan juga boleh memperuntukan RM1 bilion daripada RM63 bilion sumbangan Petronas tahun ini untuk tujuan mengurangkan kadar harga minyak.Berdasarkan cadangan tersebut, katanya, harga petrol boleh diturunkan sebanyak 50 sen kepada RM2.20 selitar.

"Saya minta dengan baik dan ikhlas, betulkan ini, kita boleh jimat ini," katanya.

Dalam ucapan pembukaannya, Anwar menegaskan melalui pengurusan ekonomi yang baik dan pembasmian rasuah, penjimatan kos membolehkan harga petrol dikurangkan sebanyak 50 sen, bagi meringan beban rakyat akibat kenaikan kenaikan mendakwa harga bahan bakar tersebut.

Menurutnya, pengurangan pembayaran kepada IPP serta keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas yang hampir mencecah RM100 juta membolehkan kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk diagihkan kepada rakyat melalui pengurangan harga minyak.

Monday, July 7, 2008

Semak

Hari-hari makin semak. Jiwa kacau. Nafas sesak. Berserabut. Semuanya bercampur-campur jadi satu dan haru biru. Semuanya kerana kerakusan beberapa kerat manusia yang bergelar ahli politik yang tamak kuasa.
Aku tak mahu fikir tentang ini semua tapi cakap saja tak mahu, sebelum tidur atau bila saja buka mata aku tetap fikir. Arghhh... apa nak buat dah lagu tu nak lagu mana lagi.
Hmmmm... minggu lepas pergi interview di pejabat Siasah... tak dapat kot. Rezeki Allah cukup untuk satu dunia (ni saja cara untuk aku sedapkan hati sedangkan aku benar-benar mahukan satu kerja tetap yang mendapat gaji tetap bagi aku menyara hidup bersama isteri tercinta) Mungkin satu hari Allah akan buka kan pintu rezeki yang lebih luas untuk aku.
Aku amat bernasib baik kerana isteri aku memahami. Terima kasih sayang.
Novel... bila entah akan aku tulis novel... novel satira... selagi kepala semak, nak tulis pun susah... nak tulis skrip drama pun payah. Aduh... semak.

Sunday, June 22, 2008

Kerana Dia

Khabarnya Pakatan Rakyat di Selangor bermasalah. Entah betul entah tidak, tapi itulah yang aku dengar dari pembawa berita yang merasa jijik melihat kerakusan MB Selangor menjadi Pengerusi 100 buah syarikat milik Kerajaan Selangor.
Ini cerita yang aku dengar dari pembawa berita yang jijik melihat kerakusan MB Selangor. Kalau ianya salah, maka pembawa berita yang jijik melihat kerakusan MB Selangor itu tentunya telah menabur fitnah jahat terhadap MB Selangor yang mewakil Pakatan Rakyat.
Tapi jika cerita ini adalah benar, maka wajar bagi pembawa berita yang jijik melihat kerakusan MB Selangor untuk merasa jijik dengan tabiat tamak itu. Kalaulah berita yang dikhabarkan oleh pembawa berita yang jijik melihat kerakusan MB Selangor ini benar, maka apa bezanya PKR dan Umno? Atau MB Selangor ini membawa budaya Umno ke dalam pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Entah lah.
Maka disini, tiada yang lebih baik dari sebuah pemerintahan yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis, yang mana pemimpinnya hanya bersederhana dari segala segi baik kediaman atau pakaian, kuat amal ibadatnya dan paling senang nak jadikan contoh kalau kat Malaysia ini adalah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz b Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi b Awang.
Selain dari dua pemimpin ini, Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru, Lim Guan Eng juga seorang yang sederhana. Dan tambah menarik beliau menjadikan pemerintahan Sayidina Umar Abdul Aziz sebagai contoh pentadbiran beliau.
Kenapa pemimpin PKR tidak membuat kenyataan mahu menjadikan corak pemerintahan Khalifah sebagai contoh pentadbiran yang harus diikuti? Kalau setakat bercakap kerana mahu menunjukkan mampu menghafal nama-nama penulis besar, belum cukup untuk menjadi pemimpin sejati, banyak lagi yang harus dipelajari.
Ke mana agaknya Malaysia ini hendak dibawa? Rakyat semakin hari semakin resah dengan desakan hidup yang tak menentu. Kos hidup semakin melangit kerana kerajaan lebih peka kepada nasib beberapa kerat korporat keparat berbanding nasib rakyat yang terpaksa bekerja hingga lewat malam atau melakukan dua tiga kerja dalam satu hari untuk menampung hidup hingga tiada lagi banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga. Jenayah makin meningkat dan ini tandanya ekonomi semakin menjunam ke bawah.
Hanya Allah yang Maha Mengetahui tentang apa yang akan berlaku kerana Dia pemilik bumi dan langit. Tidak akan berlaku sesuatu itu kalau tidak kerana dengan satu kerana... kerana Dia.

Wednesday, June 11, 2008

Jom demo

Jom!... Ayuh!...

Kita ramai-ramai turun demo... kita ramai-ramai tukar kerajaan melalui jalanraya... kita demo untuk kepentingan kita...

Jom!... Ayuh!...

Kita ramai-ramai tolong diri kita... Kita ramai-ramai demo protes minyak naik... jom!... ayuh!...

Jom!... Ayuh!... kita join demo protes 12 Julai 2008 untuk tuntut KERA-jaan turunkan harga minyak...

Wednesday, May 28, 2008

Sekitar petang tadi

i.

"Alhamdulillah... dia sudah insaf," bisik seorang tokoh korporat setelah membaca kiriman sms yang baru saja dia terima. Beliau bersandar di kerusi kereta mewah yang baru dibelinya tiga bulan yang lalu hasil dari pembayaran keseluruhan sebuah projek menyiapkan tandas sekolah yang telah berjaya beliau siapkan dua bulan sebelum membeli kereta tersebut.

Dalam kedinginan penghawa dingin kereta mewah buatan Jerman itu, tokoh korporat yang baru saja keluar dari sebuah hotel selepas menikmati makan tengah hari bersama seorang Letua Pengarah di sebuah kementerian yang baru saja meluluskan sebuah lagi projek baru kepada syarikat milik tokoh korporat itu. Projek membekalkan makanan kepada pengusaha penternakan katak itu diperolehi setelah dia berjaya menyakinkan Ketua Pengarah tersebut bersama Timbalan Menteri dan Menteri Kementerian berkenaan bahawa hanya beliau sahaja bumiputera yang menceburi bidang pembekalan makanan katak di negara ini.

Dia terus tersenyum dan tersenyum sambil melihat keluar tingkap. Dia langsung tidak mempedulikan pemandunya yang memandu dalam keadaan hati resah mengenang nasib lima anak yang sedang membesar sedangkan gajinya hanya cukup-cukup makan sahaja.

Apabila melintasi sebuah kawasan setinggan dalam perjalanan menuju ke pejabatnya, tokoh korporat itu semakin tersenyum lebar. Dia kini sudah mendapat ilham baru.

"Kamu tahu apa nama kawasan tadi Maniam?" tanya tokoh korporat itu kepada pemandunya.

"Itu Kampung Tenggelam boss," kata Maniam kepada tokoh korporat itu.

"Kamu ni semua tempat tahu ya," kata tokoh korporat itu lagi sambil terus tersenyum.

"Itu tempat saya punya isteri punya father juga tinggal boss," kata Maniam lagi.

Tokoh korporat itu mengangguk dan terus tersenyum.


ii.

"Astaghafirullah... kenapa jadi macam ni?" kata seorang ustaz muda setelah membaca kiriman sms yang baru saja dia terima. Dia termenung seketika namun kemudiannya dia kembali seperti biasa setelah beristhigfar dua tiga kali.

Dia terus melihat gambar tokoh politik yang amat dia kagumi. Gambar yang tergantung di biliknya itu sentiasa menjadi tatapannya untuk menambahkan semangat bagi terus berjuang dalam bidang politik. Parti pimpinan tokoh itu adalah merupakan pilihan ustaz tersebut sebagai wadah perjuangannya.

Dia melihat sekeping cek yang berada di atas mejanya itu. Cek yang berjumlah lebih sepuluh ribu ringgit itu diterimanya dari seorang tauke besi kira-kira tiga hari yang lalu.

"Boss... ini saya kasi cek boss," kata tauke besi itu.

"Cek apa ni?" soal ustaz muda itu kemudian.

"Ini saya kasi boss sebab kasi saya bikin itu projek," kata tauke besi itu.

"Kenapa mau kasi saya ini? Ini salah... rasuah ni" soal ustaz muda itu lagi.

"Boss... ini bukan rasuah... ini... apa itu... sedekah... haaa... sedekah, bukan rasuah," kata tauke besi itu lagi.

Ustaz itu hanya mengangguk dan menerima cek tersebut. Hingga ke hari ini dia masih belum memasukkan cek tersebut ke dalam akaunnya. Hatinya masih berbelah bagi.


NOTA: Dua segmen di atas adalah merupakan dua reaksi setelah Ezam memilih untuk kembali menyertai Umno. Ada satu lagi tapi tak sempat nak tulis.

Tujuh perkara

Tujuh perkara tentang aku:

1. Aku ini anak bongsu daripada tiga beradik dan aku merupakan anak kesayangan gemulah ayah aku.

2. Aku ini juga merupakan cucu kesayangan gemulah Baba (datuk) aku (sebelah mak aku) kerana ketika aku baru lahir, gemulah Baba dalam wajah yang ceria berkata begini, "Macam anak dari negeri (merujuk negeri kelahirannya, Pakistan). Cerita ini dirawikan oleh gemulah Bih (nenek aku).

3. Aku ini ketika kecil amat takut melihat sami buddha. Aku akan jadi pening kepala bila melihat mereka terutama ketika balik ke kampung mak aku, Sungei Padi, Thailand. Tempat paling selamat aku rasa bila balik ke sana adalah di masjid tempat gemulah datuk aku melepak. Masjid yang terletak diseberang jalan rumah gemulah Baba dan Bih.

4. Aku ini biarpun terlibat dalam membuat berita dan menulis artikel tentang politik tetapi sehingga hari ini aku tetap menganggap politician sebagai orang yang tak boleh dipercayai. Kata-kata ini amat relevan pada pendapat aku, Di mana-mana saja politician tetap sama, mereka berjanji akan membina jambatan biarpun tidak ada sungai.

5. Aku ini amat menyanjungi Muhammad bin Abdullah, Rasulullah s.aw. Pada aku hanya dia sahaja tokoh yang aku puja. Dan aku percaya ramai yang seperti aku terutama isteri aku.

6. Aku ini sehingga hari ini amat kecewa, marah dan geram bila kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Dr Mahathir a/l Iskandar Kutty mengharamkan pertubuhan Al-Arqam kerana aku berpendapat Al-Arqam telah berjaya membian satu empayar perniagaan Islam yang berjaya di zaman moden. Akan ada ulasan lain nanti.

7. Aku ini amat menyanyangi dan mencintai isteri aku. Setiap hari sebelum tidur dan selepas terjaga aku lihat dia semakin hari semakin cantik dan menawan. Setiap hari rasa kasih, sayang dan cinta aku kepada isteri aku semakin menebal dan mendalam. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t kerana menganugerahkan aku seorang seorang wanita yang baik untuk menjadi isteri.

Itulah tujuh perkara tentang aku. Kenapa tujuh? Mungkin kerana tujuh hari tujuh malam, tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Mungkin.

Letak jawatan

Aku sudah pun meletakkan jawatan sebagai editor bahagian berita di Global Media Channel Sn Bhd semalam. Aku ucapkan ribuan terima kasih kepada semua terutama boss aku, Sheih kerana beri kepercayaan kepada aku.

Aku akan kembali mencari rezeki di kota hutan batu, Kuala Lumpur. Aku mahu bina keluarga aku bersama isteri tercinta dengan sebaik mungkin, Insya-Allah.

Tuesday, May 27, 2008

Mahathir Sanggup Buat Apa Saja Untuk Puaskan Hati Sendiri

PENGUMUMAN yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 19 Mei lalu masih meniti dibibir setiap rakyat Malaysia. Ramai yang terkejut bila pengasas parti yang ditubuhkan pada tahun 1988 membuat keputusan tersebut tetapi bukan sedikit yang sudah menjangkakan bahawa Mahathir akan keluar dari Umno(Baru).

Sejak mula beliau menyerang Umno(Baru) dan Presiden parti tersebut Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2006, ramai yang menunggu beliau mengumumkan keluar dari parti yang diasaskannya sendiri.

Umum mengetahui bahawa Umno(Baru) yang ada pada hari ini adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir pada tahun 1988 apabila Umno yang ditubuhkan pada tahun 1946 telah diharamkan oleh Mahkamah.

Pengharaman Umno(lama) berpunca dari tindakan Mahathir yang tamak kuasa dan takut akan menerima kekalahan bila dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah (KuLi) dalam pertandingan merebut jawatan presiden Umno pada tahun 1987.

Kerana mempunyai beberapa bahagian yang tidak didaftarkan, mahkamah memutuskan bahawa Umno sebuah pertubuhan yang haram dan ianya perlu dibubarkan. Maka Umno yang ditubuhkan pada tahun 1946 berkubur dan diganti dengan Umno yang didaftarkan pada tahun 1988 dengan penambahan perkataan ‘Baru’ dibelakangnya.

Selepas itu, perkataaan ‘Baru’ itu tidak lagi disebut dan Umno yang ada itu dianggap Umno yang sama dengan Umno yang ditubuhkan pada tahun 1946. Malah pada 11 Mei yang lalu, pemimpin dan ahli Umno merayakan sambutan ulangtahun ke 62 tahun Umno sedangkan Umno yang ada pada hari ini baru berusia sekitar 20 tahun.

Umno(Baru) yang ditubuhkan pada tahun 1988 ini jauh berbeza dengan Umno (Lama) yang lahir pada tahun 1946. Umno(Baru) adalah milik Dr Mahathir kerana beliau adalah pengasas Umno(Baru) ini.

Umno(Baru) tidak lagi berjuang untuk kepentingan orang Melayu sepertimana tujuan asal penubuhan Umno pada tahun 1946. Umno(Baru) hanya berjuang untuk orang Melayu ketika menghadapi pilihanraya Umum atau ketika mengadakan persidangan tahunan mereka.

Ketika itulah pemimpin-pemimpin Umno(Baru) akan menggunakan pentas untuk memukau seluruh rakyat Malaysia terutama ahli Umno(Baru) bahawa merekalah satu-satunya parti yang ikhlas berjuang untuk menjaga kepentingan orang Melayu.

Sedangkan yang mereka perjuangkan adalah kepentingan anak, isteri dan kroni. Kepentingan orang Melayu langsung tidak ada dalam agenda politik pemimpin-pemimpin Umno(Baru). Ahli Umno(Baru) dan orang Melayu terus menerus ditipu oleh pemimpin-pemimpin Umno(Baru).

Inilah bezanya Umno(Baru) dan Umno yang ditubuhkan pada tahun 1946. Biarpun Umno yang ditubuhkan pada tahun 1946 itu mendapat tajaan British dan merupakan satu projek British untuk menutup kegiatan mereka yang merompak khazanah milik rakyat negara ini, ianya tidaklah seteruk Umno(Baru) yang diasaskan oleh pemilik nama asal Mahathir a/l Iskandar Kutty.

Kerana beliau yang menubuhkan Umno(Baru) ini maka tidak hairan jika Mahathir juga akan bertindak memusnahkan parti yang mempunyai ahli berjumlah tiga juta orang ini.

Mahathir tentunya sanggup berbuat apa sahaja untuk memuaskan hatinya kerana desakan beliau agar Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan tidak dihiraukan.

Kerana dendam ini tidak mustahil beliau akan berusaha untuk melenyapkan Umno dari politik Malaysia. Biarpun ramai yang menangis jika Umno terus lenyap tetapi itu semua tidak akan dipedulikan oleh Mahathir.

Lihat saja apa yang telah beliau lakukan terhadap Umno(Lama). Mahathir tidak langsung peduli nasib parti yang ditubuhkan ketika negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Hanya kerana mahu kekal menjadi presiden parti, beliau sanggup menubuhkan cawangan yang tidak berdaftar dan akibatnya parti itu diharamkan.

Itu adalah antara contoh Mahathir sanggup berbuat apa saja untuk memuaskan hatinya sendiri. Beliau sanggup melihat parti yang kononnya berjasa kepada orang Melayu itu berkubur dan tinggal menjadi sejarah.

Selain tindakan itu, Mahathir yang pernah dibuang dari Umno(Lama) oleh Tunku Abdul Rahman sanggup menggunakan gerakan mahasiswa untuk berkempen memburuk-burukkan Perdana Menteri Pertama Malaysia itu.

Bila beliau diterima kembali menyertai Umno dan diberikan jawatan Menteri Pelajaran, Mahathir sanggup pula membuat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) hanya kerana tidak mahu mahasiswa terlibat dalam politik dan mengancam perjalanan beliau untuk menguasai tampuk pemerintahan negara.

Pemecatan Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno juga adalah satu lagi contoh tindakan Mahathir yang sanggup berbuat apa saja demi memuaskan hatinya sendiri.

Anwar menyertai Umno hasil dari pelawaan Mahathir dan naik mendadak dalam hiraki kepimpinan Umno hasil dari didikan Mahathir.

Namun kerana Anwar dilihat akan memusnahkan legasi beliau jika mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Mahathir sanggup memecat bekas pemimpin Abim itu dari semua jawatan kabinet dan parti.

Anwar bukan sahaja dipecat tetapi diaibkan dengan pelbagai tuduhan hingga sanggup mengusung tilam ke mahkamah hanya semata-mata mahu membuktikan bahawa Anwar bersalah dan namanya akan buruk pada pandangan rakyat Malaysia dan pandangan dunia.

Kini, Mahathir berusaha memburuk-burukkan nama Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang dipilih oleh beliau sendiri.

Pelbagai tohmahan dilontarkan terhadap Abdullah hanya kerana Perdana Menteri kelima Malaysia itu tidak mengikut kata beliau.

Tidak cukup dengan tohmahan terhadap Abdullah, Mahathir turut menyerang menantu Abdullah yang lahir di Kuwait, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Seorang yang sudah digelar negarawan sanggup bergaduh dengan budak hingusan yang ditakuti oleh ramai pemimpin Umno hari ini kerana mempunyai sijil nikah dengan anak perempuan Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir yang sebelum ini beria-ia mengatakan bahawa beliau adalah ahli nombor satu Umno(Baru) dan juga merupakan ahli seumur hidup parti yang berusia 20 tahun tersebut. Tetapi pada 19 Mei lalu beliau mengumumkan keluar dari Umno(Baru) sambil mengajak ahli-ahli parti dan pemimpin-pemimpin lain mengikut jejak langkah beliau.

Tindakan beliau ini tidak lain tidak bukan hanyalah kerana mahu memuaskan hati beliau sendiri. Beliau mahu Abdullah Ahmad Badawi segera berundur dan Najib Razak mengambil alih jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

Jika Najib menjadi Perdana Menteri, mungkin Mahathir dan kroni-kroni beliau akan terselamat dari dikenakan tindakan akibat dari skandal pita video V.K Linggam.

Namun apa pun, Najib tidak seharusnya diberikan peluang untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana jika anak kepada Perdana Menteri kedua ini mengambil alih kuasa dari Abdullah Ahmad Badawi, maka rakyat negara ini akan terus berada dalam sebuah negara yang mempunyai kerajaan yang rasuah dan gagal menguruskan negara dengan baik.

Kini tiba masanya untuk Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Malaysia demi memastikan rakyat negara ini dapat menikmati hasil negara dengan sama rata dan berada dalam sebuah negara yang diperintah secara adil dan bebas rasuah.

Ini adalah masa yang terbaik untuk Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru di Malaysia. Biarkan sahaja bekas doktor berusia 83 tahun yang telah banyak menghancurkan Malaysia itu terus menakut-nakutkan rakyat negara ini dengan dongeng agen Yahudinya itu kerana semua orang tahu siapa sebenarnya agen Yahudi dan kuasa asing.


NOTA: artikel ini disiarkan di Siasah (Kel: 25 Mei - 30 Mei)


Saturday, May 24, 2008

Ketuanan Melayu Retorik Politik Umno

KETUANAN Melayu telah menjadi intipati perjuangan Umno selepas mengalami prestasi buruk dalam Pilihanraya Umum ke 12 (PRU12) lalu. Sebaik sahaja mengalami kejutan besar itu, Umno yang sedang gusar akan kehilangan kuasa mula menggunakan media siar arus perdana bagi memperlihatkan betapa perihatinnya mereka terhadap orang Melayu.

Benar, Umno yang dilahir pada 11 Mei 1946 pada asasnya ditubuhkan untuk membela nasib orang Melayu tetapi Umno hari ini yang telah berusia 62 tahun telah menyimpang dari matlamat asalnya sepertimana pemimpin Umno menyimpangkan matlamat asal Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Umno hari ini seperti kata ahli parlimen Gombak, Saudara Azmin Ali sebenarnya lebih ghairah memperjuangkan ‘ketuanan menantu’ berbanding ketuanan Melayu. Kalau benar Umno yang telah 50 tahun berkuasa memperjuangkan ketuanan Melayu, hari ini sepatutnya orang Melayu sudah berada disatu tahap yang jauh lebih baik tetapi ini semua tidak berlaku kerana selama 50 tahun, ketuanan Melayu hanyalah pemanis ucapan ahli politik Umno demi untuk menagih undi untuk terus berkuasa dan rakus merampas hak orang Melayu.

Hari ini setelah 50 tahun Umno/BN memerintah Malaysia, orang Melayu terutama selepas peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim mula sedar bahawa mereka tidak lagi boleh mengharapkan Umno untuk memperjuangkan nasib mereka.

Malah orang Melayu hari ini juga telah mula sedar bahawa masalah kaum sebenar tidak pernah wujud. Melayu, Cina, India dan kaum lain sebenarnya hidup dalam keadaan rukun damai cuma Umno/BN sahaja yang membuat cerita kononnya akan berlaku masalah kaum jika parti lain memerintah Malaysia.

Setelah 50 tahun, orang Melayu juga sedar bahawa DEB juga adalah retorik politik Umno demi untuk meraih undi mereka sedangkan DEB sudah tidak lagi dapat memberikan keuntungan kepada mereka.

DEB kini dilihat merupakan satu formula bagi Umno/BN untuk terus merompak hak rakyat Malaysia. Pembahagian kek ekonomi yang tidak sama rata menyebabkan jurang kemiskinan semakin hari semakin meningkat.

Sejak peristiwa hitam tahun 1998, orang Melayu tidak lagi melihat ketuanan Melayu sebagai satu wadah perjuangan yang boleh memakmurkan seluruh rakyat Malaysia. Orang Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain sudah memperjuangkan ketuanan rakyat.

Ketuanan Melayu yang masih menjadi idelogi pemimpin Umno sudah tidak lagi relevan dalam landskap politik Malaysia pada hari ini. DEB juga sudah tidak lagi menjadi satu tarikan kerana DEB bukan hanya tidak menguntungkan orang Melayu tetapi turut merugikan kaum lain.

Ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh Umno adalah antara faktor penyumbang kekalahan kerusi-kerusi Umno/BN pada PRU12 yang lalu.

Ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh Umno bukan sahaja ditolak oleh kaum lain tetapi turut ditolak oleh orang Melayu kerana orang Melayu sedar bahawa semua kaum di negara ini saling memerlukan antara satu sama lain.

Pemimpin Umno menggunakan media siar arus perdana bagi mengambarkan bahawa selepas PRU12, orang Melayu sudah mula berpecah belah sedangkan pada hakikatnya orang Melayu tidak berpecah. Orang Melayu masih bersatu padu bukan hanya antara Melayu sahaj malah bersatu dengan kaum lain.

Yang sedang berpecah belah dan bercakaran adalah pemimpin-pemimpin Umno yang takut hilang jawatan. Yang sedang dihambat mimpi buruk bukan orang Melayu tetapi pemimpin-pemimpin Umno kerana merasakan sudah tiba masanya parti yang telah lama berkuasa itu akan tumbang akibat dari kebangkitan rakyat yang terdiri dari orang Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Media siar arus perdana akan terus dipergunakan oleh pemimpin-pemimpin Umno untuk mengiklankan produk mereka yang berjenama ‘Ketuanan Melayu’.

Produk ini akan terus diiklankan saban hari bertujuan untuk menampakkan bahawa mereka (pemimpin Umno) adalah merupakan hero bagi orang Melayu dan pemimpin yang perihatin dengan nasib bangsanya sedangkan semua rakyat sudah tahu bahawa mereka hanya memperjuangkan kepentingan periabdi dan kroni sahaja.

Sejak sepuluh tahun yang lalu rakyat negara ini terutama orang Melayu sudah mula muak dengan retorik pemimpin Umno. Rasa bosan mereka diterjemahkan dalam setiap Pilihanraya Umum bermula dengan PRU10.

Kalau tidak kerana bantuan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sudah tentu Umno/BN telah lama tumbang dan menjadi sebuah parti pembangkang.

Pemimpin Umno/BN sewajarnya mengucapkan terima kasih kepada SPR terutama pengerusinya Abdul Rashid Abdul Rahman kerana tanpa bantuan ‘balaci’ yang setia seperti Rashid tentunya sejak tahun 1999 lagi Umno/BN sudah hilang kuasa.

Kebosanan rakyat terhadap retorik Umno/BN diterjemahkan sekali lagi dalam PRU12. Tetapi malangnya, pemimpin Umno/BN menjadi dungu akibat gila kuasa dan tidak dapat membaca isyarat jelas yang diberikan rakyat tidak kira Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Kedunguan pemimpin Umno bukan hanya diterjemahkan setiap kali Persidangan Agung Umno tetapi turut diterjemahkan ketika berbahas di Parlimen.

Pemimpin-pemimpin Umno seolah-olah sudah tidak ada modal lain bagi memperlihatkan ketokohan mereka selain dari menjual produk ‘Ketuanan Melayu’.

Produk utama mereka ini dipromosikan dengan hebat bertujuan untuk melawan Ketuanan Rakyat yang semakin mendapat sambutan umum.

Pemimpin Umno menggunakan Dewan Rakyat bagi mempromosikan produk ‘Ketuanan Melayu’ bagi menghilangkan keresahan mereka kerana Kerajaan Pakatan Rakyat yang tampil dengan Ketuanan Rakyat akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara dalam masa terdekat ini.

Sebagai usaha untuk terus berkuasa, tidak ada cara lain yang digunakan oleh pemimpin Umno/BN selain dari terus dengan retorik mereka bahawa orang Melayu sedang berpecah dan masalah kaun akan wujud jika Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Anwar Ibrahim mengambil alih pemerintahan.

Pemimpin Umno yang rakus dan tamak ini akan berbuat apa saja untuk terus berkuasa kerana hanya dengan kuasa sahaja mereka boleh terus menerus merompak hak rakyat negara ini.

Kerana ingin kekal berkuasa dan memperlihatkan bahawa mereka adalah satu-satunya parti yang layak memerintah Malaysia, tidak menghairankan jika pemimpin Umno akan terus dengan retorik Ketuanan Melayu kerana hanya itu sahaja caranya mereka boleh meraih simpati orang Melayu yang telah lama muak dengan karenah mereka.

Jadi usah hairan jika media siar arus perdana akan terus menyiarkan kenyataan-kenyataan dari pemimpin Umno mengenai Ketuanan Melayu kerana itulah senjata utama mereka.

Untuk itu, Ketuanan Melayu bukanlah merupakan agenda utama perjuangan pemimpin Umno melainkan ianya adalah merupakan satu retorik semata-mata.


NOTA: artikel ini telah disiarkan di tabloid Siasah (kel: 18 Mei - 24 Mei)