Saturday, February 7, 2009

PAS mahu SPRM terus siasat Adun Bota yang melompat-lompat parti

Rabu 5 Februari yang lalu, saya sempat menghubungi Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaaffar , bertanya beberapa soalan untuk disiarkan dalam Harakah edisi Isnin nanti. Dato' KJ ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Ipoh.

Beliau harus segera pulang ke Kuala Lumpur atas sebab-sebab tertentu dan tidak dapat bersama dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain pada malamnya berkumpul di kediaman rasmi MB, Dato' Seri Ir Mohd NIzar Jamaluddin.

Dato' KJ mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Adun Bota, Dato' Nasarudin Hashim yang kembali menyertai Umno.

SPRM kata beliau sebelum ini membuat kenyataan akan membuat siasatan ke atas Nasarudin ketika Adun Bota itu mengisytihar menyertai KeADILan.

"Jika ketika Nasarudin menyertai KeADILan, SPRM ingin siasat sekarang bila beliau kembali sertai Umno, siasatan yang sama perlu dilakukan," tegas Kamaruddin.

Mengulas mengenai penyertaan kembali Adun Bota tersebut ke dalam Umno, Kamaruddin menegaskan PAS kesal dengan tindakan wakil rakyat tersebut yang tidak tetap pendirian.

Pada 25 Januari lalu, Nasarudin Hashim mengumumkan keluar dari Umno untuk menyertai KeADILan. Nasaruddin membuat pengumuman menyertai Parti KeADILan Rakyat dalam sidang media di ibu pejabat parti tersebut di Petaling Jaya.

No comments: