Wednesday, April 22, 2009

Di mana kekuatan dan kelemahan Najib?

PERDANA Menteri Malaysia yang baru, Dato' Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', sebagai slogan kepimpinan beliau. Bagi Najib, konsep 'Satu Malaysia' mencerminkan satu model transformasi dan perubahan yang akan mengukuhkan lagi perpaduan nasional dan pembangunan.

Menurut Najib lagi, adalah Konsep tersebut amat penting konsep bagi menjamin tidak ada masyarakat yang terpinggir daripada apa jua bentuk pembangunan yang harus dinikmati oleh semua kaum.

Untuk perkembangan dan kestabilan negara, Najib juga mahu rakyat Malaysia mesti akur kepada perintah undang-undang, kesaksamaan dan menolak diskriminasi dan rasuah.

Namun umum mengetahui konsep tersebut hanyalah satu lagi retorik politik yang diperkenalkan oleh Najib. Inilah trend seorang Perdana Menteri yang baru dilantik.

Ketika Tun Dr Mahathir baru dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, beliau memperkenalkan slogan Bersih, Cekap dan Amanah. Slogan ini dibuat sebagai tanda beliau seorang Perdana Menteri yang mahukan sebuah pentadbiran yang bersih dari segala macam rasuah dan masalah.

Selepas Mahathir mengundurkan diri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri memperkenalkan pula slogan 'Bekreja bersama saya bukan untuk saya'. Slogan itu diperkenalkan supaya beliau dilihat lebih memetingkan rakyat berbanding kroni.

Namun semua slogan-slogan itu termasuk yang diperkenalkan oleh Najib hanya semata-mata satu susunan ayat untuk membina imej seseorang yang baru saja dilantik menjadi Perdana Menteri.

Pembinaan imej ini amat penting bagi seorang Perdana Menteri yang baru dilantik bagi memperlihatkan kepada rakyat bahawa mereka bersunguh-sungguh mahu menabur jasa kepada rakyat bukan kepada kroni.

Seorang Perdana Menteri yang baru dilantik juga memerlukan slogan-slogan yang hebat ini sebagai persediaan untuk menghadapi pilihanraya umum pertama selepas beliau memegang jawatan idaman itu.

Sekurang-kurangnya dengan slogan yang bunyinya hebat ia mampu untuk mengaburi mata rakyat dan membolehkan Barisan Nasional (BN) memperolehi kemenangan besar dalam pilihanraya umum selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Contohnya Abdullah Ahmad Badawi memperolehi kemenangan besar dalam Pilihanraya Umum ke 11 tahun 2004 dengan slogan 'Bekerja Bersama Saya Bukan Untuk Saya'.

Dengan bantuan slogan tersebut dan ditambah lagi dengan imej 'Mr Clean' yang dibawa oleh Abdullah itu, rakyat Malaysia memilih untuk memberikan kemenangan besar kepada beliau dan BN dalam pilihanraya umum ke 11 itu.

Begitu juga dengan Mahathir Muhamad dalam pilihanraya umum tahun 1982. Degan slogan 'Bersih, Cekap dan Amanah', Mahathir mengepalai BN memenangani pilihanraya umum tersebut dengan bergaya.

Selepas kemenangan bergaya itu, baik Mahathir atau Abdullah, kedua-duanya tidak lagi mengunakan slogan mereka itu dalam pentadbiran. Slogan 'Bersih, Cekap dan Amanah' yang diperkenalkan Mahathir selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Hussein Onn hanya tinggal slogan semata-mata.

Begitu juga dengan Abdullah, selepas menang besar dalam Pilihanraya Umum ke 11 dengan slogan 'Bekerja Bersama Saya Bukan Untuk Saya', slogan tersebut hanya tinggal satu susunan kata-kata untuk mengaburi mata rakyat.

Dan kini Najib, penganti Abdullah pula tampil dengan satu slogan yang dibuat untuk dilihat beliau merupakan seorang Perdana Menteri yang memetingkan rakyat melebihi segala-galanya.
'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' slogan Najib yang memperlihatkan beliau tidak lagi memperjuangkan ketuanan Melayu yang menjadi senjata utama kempen parti pimpinan beliau selama ini.

Sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri, Najib sentiasa akur dengan perjuangan Umno yang kononnya bermati-matian mempertahankan ketuanan Melayu. Untuk mendapatkan sokongan akar umbi Umno, Najib juga lantang mempertahankan konsep ketuanan Melayu Umno itu.

Namun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Najib mula mencedok konsep yang selama ini diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat. Tiada lagi ketuanan Melayu sebaliknya, Najib cuba untuk dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang prihatin terhadap rakyat.

Selain slogan 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', Najib juga turut menamakan barisan kabinet baru beliau sebagai kabinet rakyat. Sebelum itu dalam ucapan dalam Perhimpunana Agung Umno yang lepas, Najib menggunakan istilah 'Saf' merujuk kepada barisan kepimpinan Umno yang beliau mahukan.

Penggunaan perkataan 'Saf' itu dilihat satu cubaan Najib untuk dilihat sebagai seorang yang Islamik. Jika tidak dengan cara itu, Najib yang banyak dikaitkan dengan skandal akan terus dilihat sebagai Melayu yang jauh dari Islam.

Di sini jelas memperlihatkan betapa lemahnya Najib kerana terpaksa mengikut rentak Pakatan Rakyat dan tidak mampu untuk membina kekuatan atas keupayaan atau idea beliau sendiri.
Selain dari mula menggunakan istilah 'Rakyat', Najib juga dilihat lemah bila barisan kabinet beliau dilihat umum sebagai satu saf yang telah ditentukan oleh orang lain.

Kabinet baru Najib sekadar kabinet saranan Mahathir. Melantik orang yang dilihat bersih dan diletakkan di dalam suasana yang penuh peluang untuk melakukan aktiviti tidak bersih tanpa ‘check and balance’ yang sempurna.

Najib membuktikan kepada umum bahawa beliau tidak mampu untuk membuat keputusan tanpa campurtangan daripada Mahathir. Perlantikan Mukhriz yang tewa kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno bukti bahawa kabinet yang dinamakan Najib itu adalah kabinet Mahathir.

Sehari sebelum Najib mengumumkan barisan kabinet barunya, Mahathir telah membuat kenyataan bahawa beliau akan mengkritik Najib jika Khairy dilantik sebagai menteri atau timbalan.

Bagi Mahathir dalam Umno itu hanya Khairy seorang sahaja yang mengamalkan rasuah manakala yang lainnya merupakan pemimpin yang bersih sebersih-bersihnya terutama anak beliau Mukhriz.

Setelah sah Mukhriz tersenarai dalam kabinet Najib sebagai Timlaban Menteri Perdangangan Antarabangsa. Tiada yang mengembirakan Mahathir bila anak beliau yang mendapat kedudukan tercorot dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno dipilih untuk menjadi Timbalan Menteri.

Mahathir adalah diantara orang yang paling gembira dengan pengumuman kabinet baru Najib. Mana taknya, Najib mengikut arahannya agar tidak memasukkan Khairy kedalam kabinet.

Selesai tugasan Mahathir. Anak beliau telah dihantar untuk meneruskan legasinya manakala legasi Abdullah telah berjaya dihentikan apabila Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak disenaraikan kedalam kabinet.

Mahathir juga membuktikan kelemahan awal Najib kerana terpaksa akur dengan kehendak beliau selain menamakan tiga individu yang telah terbukti ditolak rakyat dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu dalam kabinet baru yang dinamakan 'Kabinet Rakyat'.

Belum sampai sebulan menjadi Perdana Menteri, Najib telah membuktikan kepada dunia bahawa beliau seorang Perdana Menteri yang lemah yang mungkin lebih lemah daripada Abdullah Ahmad Badawi.

No comments: