Thursday, April 23, 2009

SPR budak suruhan Umno

MENGIKUT Perlembagaan Persekutuan, tanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (Dun) terletak pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Semasa menunaikan tanggungjawabnya, SPR, selaku badan bebas, tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam mengendalikan pilihan raya.

Fungsi utama SPR adalah seperti yang berikut:-

1) membuat kajian dan persempadanan semula Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri setiap tidak kurang daripada 8 tahun selepas tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu;

2) menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih; dan

3) menjalankan pilihan raya umum ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, dan menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan.

Dasar SPR adalah untuk memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini melalui pilihan raya yang bebas dan adil. Adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya bagi memastikan rakyat dapat memilih wakil-wakil mereka melalui undian terus dalam setiap pilihan raya.

Begitulah yang sepatutnya peranan yang harus dimainkan oleh SPR sebagai sebuah badan bebas yang diamanahkan untuk mengawal perjalanan pilihanraya di negara ini.

Namun begitu, apa yang berlaku adalah sebaliknya. SPR tidak menjadi sebuah badan bebas tetapi menjadi sebuah badan yang sering dipengaruhi oleh parti pemerintah iaitu Umno dan Barisan Nasional (BN).

SPR yang dikawal oleh BN telah menambah fungsinya daripada tiga kepada lima. Penambahan fungsi ini dilakukan adalah semata-mata bagi memenuhi kehendak politik Umno-BN.

Tindakan SPR yang membatalkan notis pengosongan kerusi Dun Changkat Jering, Behrang dan Jelapang yang dikeluarkan oleh Speaker Dun Perak V Sivakumar merupakan fungsi keempat SPR dibawah telunjuk Umno-BN.

Pembatalan notis kekosongan kerusi yang dikeluarkan speaker Dun itu jelas merupakan satu tindakan diluar bidang kuasa SPR. Yang perlu dilakukan oleh SPR sepatutnya menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihanraya serta menjalankan pilihanraya kecil di ketiga-tiga DUn tersebut.

Namun kerana Umno-BN yang merampas pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat bimbang jika diadakan pilihanraya kecil akan menyebabkan mereka kalah teruk, maka SPR dengan penuh taat menjalankan fungsi tambahannya dengan membatalkan notis pengosongan kerusi ketiga-tiga Dun tersebut.

Terbaru pula sebaik saja kerusi Dun Penanti dikosongkan, SPR yang telah menerima surat pengesahan perletakan jawatan penyadang kerusi Dun tersebut Mohammad Fairus Khairuddin mengeluarkan kenyataan akan mengkaji sama ada perlu atau tidak diadakan pilihanraya kecil di Dun tersebut.

Ini merupakan satu lagi fungsi terbaru SPR yang dilakukan semata-mata kerana mahu menjaga kepentingan politik Umno-BN. Sepatutnya setelah menerima surat pengesahan daripada Speaker Dun Pulau Pinang, SPR perlu menetapkan tarikh pilihanraya bukan mengkaji sama ada perlu atau tidak diadakan pilihanraya.

Kerusi tersebut telah dikosongkan, rakyat di Dun Penanti berhak untuk memilih wakil rakyat baru mereka bukan menyerahkan tanggungjawab itu kepada SPR.

SPR tidak seharusnya mengikut telunjuk Umno-BN yang kini semakin takut untuk menerima satu lagi penolakan rakyat terhadap mereka.

Umno-BN tidak mahu lagi pilihanraya kecil diadakan kerana mereka takut untuk menerima kenyataan gelombang kebangkitan rakyat menolak politik lama.

Mereka tidak mahu terus menerus menerima kekalahan selepas tumbang dalam empat pilihanraya kecil yang diadakan sejak tamatnya Pilihanraya Umum ke 12 Mac 2008.

Satu lagi kekalahan yang diterima merupakan satu ancaman kepada Umno-BN yang kini diterajui oleh Dato' Seri Najib Tun Razak. Jika tewas lagi harapan Najib dan BN untuk terus kekal sebagai kerajaan selepas Pilihanraya Umum ke 13 nanti sangat tipis.

Selain itu saranan SPR yang berpendapat undang-undang pilihan raya perlu dipinda bagi mengelakkan kekosongan kerusi sama ada Dewan Undangan Negeri (Dun) ataupun Parlimen sengaja dicetuskan bagi memenuhi kepentingan politik parti atau pun individu tertentu.

Sambil melihat sudah wujud trend beberapa kekosongan sejak Ogos lalu sengaja diadakan, Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar berkata, soal peribadi dan masalah dalaman parti tidak harus dijadikan alasan untuk berhenti daripada menjadi wakil rakyat.
Apa yang diperkatakan oleh Wan Ahmad itu menimbulkan banyak persoalan? Antaranya, apakah fungsi SPR kini sudah berubah?

SPR perlu berhenti daripada menari mengikut rentak kerajaan Barisan Nasional untuk meminda undang-undang pilihan raya mengikut kehendaknya.

SPR mesti memperlihatkan kebebasan, tidak berat sebelah dan profesionalisme serta mengadakan persidangan meja bulat yang disertai semua parti untuk memperkenalkan pembaharuan terhadap undang-undang pilihan raya dan sistem pemilihan bagi membolehkan rakyat bangga dengan sistem pilihan raya yang bebas,bersih dan adil.

SPR disaran mengadakan persidangan meja bulat membabitkan kesemua parti politik negara ini untuk memperkenalkan pembaharuan dalam undang-undang pilihan raya.

No comments: