Wednesday, May 13, 2009

Mat Sabu wakafkan diri kepada PAS

"AKU kena tangkap" jerit Naib Presiden PAS Mohamad Sabu kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob dan seorang ahli PAS, Ali Maidin yang ketika itu sedang minum disebuah restoran di Jalan Pahang Barat.

Kejadian jam 3.10 petang Rabu 6 Mei lalu berlaku dalam sekelip mata. 10 anggota Polis berpakaian biasa seberapa segera ingin menyelesaikan misi 'menculik' Mohamad Sabu.

Sebelum 'diculik' dan 'dilarikan' ke destinasi yang entah dimana, Mohamad sedang mimum bersama Salahuddin Ayob dan Ali Maidin disebuah restoran di belakang Hospital Tawakkal.
Mohamad kemudiannya meninggalkan Salahuddin dan Ali untuk bertemu Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali di pejabat pengurusan Harakah.

Baru beberapa langkah meninggalkan restoran tersebut, beliau dihampiri tiga orang polis berpakaian biasa -dua lelaki,satu wanita- dan terus menarik Mohamad ke kereta yang menunggu diseberang jalan.

Tanpa menunjukkan kad kuasa dan tidak juga menunjukkan waran, ketiga anggota polis itu menarik Mohamad untuk dilarikan. Ketika itulah beliau menjerit kepada Salahuddin dan Ali.
Salahuddin dan Ali kemudiaannya bergegas menuju ke arah Mohamad dan berusaha untuk menyelamatkan pemimpin kanan PAS tu dari dilarikan.

Keduanya berjaya menarik Mohamad untuk dibawa ke pejabat Ali yang berada diatas restoran tempat mereka minum sebelumnya tetapi baru separuh jalan, enam anggota polis berpakaian biasa yang lain menarik Salahuddin dan Ali hingga menyebabkan Ali terjatuh.

Mohamad sekali lagi cuba dilarikan. Beberapa ahli PAS yang berada disitu cuba membantu melepaskan Mohamad. Berlaku pergelutan seketika.

Sejak awal, ketika mula dihampiri polis, Mohamad sudah meminta mereka menunjukkan kad kuasa dan juga waran tangkap. Tetapi polis tidak menghiraukan permintaan tersebut.
Mohamad akhirnya berjaya disumbat ke dalam kereta dan dilarikan ke destinasi yang tidak diketahui.

Kejadian itu membuktikan polis Malaysia memang cekap dan hebat. Cekap kerana dalam masa beberapa minit sahaja, mereka berjaya 'menculik' dan 'melarikan' Mohamad Sabu serta hebat kerana tidak perlu menunjukkan kad kuasa dan waran tangkap.

Pembantu Mohamad bernama Halim berusaha menjejaki ke mana pejuang rakyat itu dilarikan. Mulanya Mohamad dikatakan 'dilarikan' ke Balai polis Sentul tapi setelah ke sana, ternyata beliau tidak berada disitu.

Lewat petang baru diketahui Mohamad 'dilarikan' ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Sebelah malamnya pula beliau dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kemudian subuh esoknya (7 Mei) beliau dibawa ke Tanjung Malim.

Esoknya, 7 Mei, isteri beliau, Normah Alwi dan Halim serta salah seorang anak mereka ke Bukit Aman untuk menemui Mohamad. Setelah lebih sejam menunggu, mereka diberitahu Mohamad telah dibawa ke Tanjung Malim untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tanjung Malim pukul 2.00 petang hari yang sama. Ketiga mereka bergegas ke Tanjung Malim.

Sikap polis amat dikesali Normah. Biarpun sudah menjangka suaminya akan ditahan tetapi cara penahanan amat dikesali.

"Mereka 'menculik' suami saya dan dibawa entah kemana. Apakah mereka ingin lakukan suami saya seperti Altantuya, 'dihilangkan' begitu sahaja?" soal beliau sebaik keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Hari itu, jalan menuju ke Mahkamah Majistret Tanjung Malim ditutup dari kedua-dua arah. Empat buah trak FRU dan sebuah trak water canon siap sedia di hadapan mahkamah.
Biarpun hanya 20 orang ahli PAS yang berada di kawasan sekitar mahkamah tersebut tetapi persiapan pasukan FRU seolah-olah akan berlaku rusuhan di pekan Tanjung Malin jika Mohamad terus ditahan reman.

Dianggarkan hampir 200 anggota FRU berada di kawasan berdekatan Mahkamah Majistret Tanjung Malim. Satu jumlah yang besar bagi seorang yang bernama Mohamad Sabu.
Lebih kurang pukul 2.45 petang, mahkamah memutuskan perintah tahanan reman polis ditolak kerana alasan-alasan yang diberikan oleh pegawai penyiasat meragukan.

Hujah pegawai penyiasat, Mohamad dituduh menghasut orang ramai supaya mengagalkan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang berlangsung sebelah paginya.

Pasukan peguam Mohamad menyanggah hujah tersebut kerana Mohamad hanya menyeru orang ramai supaya hadir ke program solat hajat, doa munajat dan solat subuh di masjid Al-Ittihadiyah, Manjoi, Ipoh.

Program tersebut diadakan bagi memohon ke hadrat Ilahi supaya dijaga keamanan negeri Perak bukan untuk menghuru-harakan negeri tersebut.

selepas mahkamah memutuskan menolak perintah tahanan reman ke atas Mohamad, barulah pegawai penyiasat mahu mengambil keterangan daripada beliau. Semasa berada di Pulapol Jalan Semarak dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, tiada sebarang keterangan diambil.

Hanya kerana menganjurkan solat hajat dan mengajak rakyat yang beragama Islam ke masjid untuk bermunajat bersama, Mohamad ditahan polis dibawah akta hasutan.

Mohamad yang telah bersama PAS sejak 33 tahun yang lalu merupakan seorang pejuang yang gigih. Beliau sangup meninggalkan kerja yang menawarkan pendapatan yang lumayan semata-mata kerana mahu berjuang menegakkan Islam.

Beliau seorang yang berprinsip dan tidak termakan dengan pujukan atau tawaran daripada pihak-pihak yang mampu memberikan kemewahan.

Apa yang penting bagi beliau perjuangan PAS untuk membentuk kerajaan dan menjatuhkan Barisan Nasional (BN) perlu diperkukuhkan. Sebarang usaha untuk mengadaikan perjuangan parti akan ditentang habis-habisan.

Mohamad amat disenangi oleh ahli-ahli PAS dan juga rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Ke mana sahaja beliau pergi sambutan daripada rakyat membuktikan beliau merupakan pemimpin harapan rakyat.

Kerana itu, tidak hairan setiap kali Mohamad berceramah, jumlah yang hadir tidak kurang dari 5,000 orang.

Namun begitu, keupayaan Mohamad mengerakkan rakyat dan keakraban beliau dengan masyarakt berbilang bangsa amat tidak disenangi oleh musuh-musuhnya.

Isteri beliau turut hairan dengan sikap musuh-musuh Mohamad yang terlalu cemburu dengan suaminya itu sedangkan lelaki kelahiran Pulau Pinang itu sangat ikhlas berjuang untuk mengukuhkan PAS.

Sudah beberapa kali Mohamad terpaksa bermalam dilokap dan pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang tahun 1987.

Begitulah pengalaman yang harus ditempuh oleh seorang pemimpin dan pejuang rakyat yang ikhlas berjuang demi menegakkan kebenaran Islam dibumi tercinta ini.

Sebaik sahaja menyertai PAS, Mohamad telah mewakafkan dirinya kepada PAS demi untuk menegakkan Islam.

1 comment:

Unknown said...

Macam ni punya pemimpin keluar masuk keluar masuk lokap...ada lagi Ahli PAS yang ragu dengan perjuangan nya.saya pun hairan dengan setengah ahli PAS sekarang ini mereka mau yang macam mana lagiu untuk memimpin mereka.Adakah mereka mau yang berkereta besar,rumah besar,selalu kat hotel berbintang bintang.Husam tu berapa kali masuk lokap.????Sedarlah wahai ahli PAS Pemimpin yang Iklas dan semangat juang yang tinggi senentiasa di uji dan di cuba dengan berbagai penderitaan oleh Allah (SWT)..Hidup SABU...ALLAH huakbar