Saturday, May 23, 2009

Krisis politik Perak: Serahkan saja kepada rakyat

Keputusan Mahkamah Rayuan yang mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah tidak menamatkan krisis politik di negeri tersebut.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak - sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.

Yang elok dan lebih sahih untuk membuat keputusan bagi mengatasi kemelut politik Perak bukan ketiga-tiga hakim itu sebaliknya krisis ini sewajarnya dirujuk kepada Mahkamah Rakyat yang mana warga Perak yang layak mengundi (dan mendaftar sebagai pengundi di negeri itu)akan bertindak sebagai hakim yang memutuskan kerajaan mana berhak untuk mentadbir dan memerintah negeri kesayangan mereka.

Belum pernah dalam sejarah, sesebuah kerajaan tertubuh atau terbentuk dengan keputusan yang dibuat di mahkamah.

Sebaiknya restu dan kuasa rakyat diminta untuk menubuh atau membentuk sesebuah kerajaan kerana rakyat merupakan hakim yang sah dalam sistem demokrasi.

Untuk itu, penyelesaian terbaik bagi krisis politik Perak adalah membubarkan segera Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

Serahkan kuasa menentukan kerajaan kepada rakyat. Utamakanlah rakyat dan hormatilah prinsip demokrasi. Jangan dibunuh roh dan semangat demokrasi semata-mata kerana mahu kekal berkuasa.

Sekali lagi; Bubarkan segera Dun Perak dan serahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

No comments: