Masih segar dalam ingatan aku awal perkenalan dengan Loloq, penulis lirik tersohor yang sering tampil dengan idea-idea berlainan dari orang lain.
Ketika itu, penghujung tahun 1996, Loloq dalam debaran menantikan isteri tercinta, Ery melahirkan anak pertama setelah tiga tahun berkahwin. Aku diperkenalkan kepada insan unik ini oleh seorang teman, Nor Azam Shairi (Bekas wartawan kanan Utusan Malaysia).
Pertemuan di Central Market itu telah mengubah hidup aku. Aku yang ketika itu bekerja di Naza Motor telah dipelawa untuk menyertai group yang diketuai oleh Loloq dalam pembikinan drama alih bahasa.
Loloq selaku ketua bahagian terjemahan skrip menawarkan aku kerja-kerja terjemahan skrip alih bahasa drama Sepanyol, Golden Dream. Drama itu antara produk terawal Astro Ria ketika diawal operasi saluran tersebut.
Aku hanya sempat membuat lima terjemahan sebelum Loloq menyerapkan aku ke Syarikat Translintang Sdn Bhd sebelum ditukar menjadi Melewar Entertainment Sdn Bhd. Tugas aku di syarikat ini adalah sebagai Pengurus Produksi dan Penerbit Dalaman bagi rancangan-rancangan alih bahasa yang dilakukan untuk siaran Astro Ria.
Sepanjang bekerja di situ aku kerap bertemu Loloq, tak kira siang atau malam. Kadang-kadang lewat malam pun aku akan ke rumahnya untuk mengambil disket yang telah siap diedit.
Aku juga kerap menemani Loloq berpusing-pusing sekitar KL sambil dia mencari buku untuk dibaca atau mencari port yang sesuai untuk dia menghasilkan lirik.
Pernah aku dan Loloq berjalan kaki dari Central Market ke Bukit Bintang kemudian patah balik ke Central Market sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid India. Tujuan Loloq hanyalah untuk menunjukkan tempat-tempat yang pernah dia melepak ketika dia datang ke Kuala Lumpur dengan menggunakan passport Indonesia.
Loloq memang pelik. Dan kerana pelik itu juga, M.Nasir amat memerlukan Loloq selalu bertemu dan berbual untuk bertukar-tukar fikiran. Kalau dengar dua manusia ini berbual macam orang sedang bertengkar atau bergaduh tetapi sebenarnya masing-masing sedang mengeluarkan fakta yang tepat tentang sesuatu topik.
Bukan dengan M.Nasir sahaja, malah kadang kala, dengan aku pun Loloq bercakap semacam hendak bertengkar bila kami bincangkan tentang sesuatu perkara.
Ketika awal kenal Loloq, dia baru saja selesai shooting filem Merah. Skrip yang beliau tulis berdasarkan pengalaman hidup dirinya sendiri. Tidak 100% pengalaman dirinya tetapi sebahagiannya adalah mengenai perjalanan hidup dia.
"Gua nak kasi tau orang, keluar penjara... pernah hisap dadah pun boleh berjaya dalam hidup kalau kita mau bikin," kata Loloq bila aku tanyakan tentang Merah.
Selepas Merah, Loloq menghasilkan skrip Gagak Kayangan yang asalnya akan dilakonkan oleh Kumpulan Wings dan Erra Fazira tetapi tidak menjadi. Akhirnya selepas sepuluh tahun, skrip itu bertukar menjadi Aduh Saliha.
Ketika mengubah suai skrip Aduh Saliha, aku sekali lagi bekerjasama dengan Loloq. Setiap hari aku akan ke Taman Tun Dr Ismail, ke pejabat yang disewa oleh Loloq. Pejabat yang hanya diketahui oleh Ery dan dua atau tiga orang teman lain termasuk aku.
Melalui Loloq juga aku mengenali M.Nasir dan sering ke Luncai Emas.
Masih aku ingat, ketika aku dalam perjalanan untuk ke Dinner Harakah bersama Munirah (yang kini sudah bergelar isteri aku), Loloq menelefon aku untuk memberitahu tentang dia akan ke Mekah untuk mengerjakan umrah.
"Gua dah tua... sebelum mati gua nak juga sampai Mekah," kata Loloq ketawa.
Selepas dia kembali dari mengerjakan umrah, aku tak sempat menemui Loloq kerana sibuk dengan kerja-kerja di Suara Keadilan. Namun kerana hendak menyerahkan kad jemputan kahwin, aku mintak juga Loloq lapangkan masa untuk aku bertemu.
Dia sudah memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke kenduri perkahwinan aku kerana musim banjir. Aku memang tak kisah kalau dia tak dapat datang.
Bila aku mahu kembali ke Kelantan, aku hanya dapat menelefon Loloq dan memberitahu bahawa aku akan berpindah ke Kelantan.
"Baguslah... lu stay sana dapat buat ibadat lebih, boleh bikin duit... KL tak boleh simpan duit, KL dah makin sesak beb... sesak nafas, sesak poket... macam-macam sesak... kepala pun semak... macam-macam hal... gua pun plan nak buat rumah kat Kampung Ery... Batu Gajah... gua nak tinggalkan KL... sekali sekala je turun," kata Loloq.
Hari ini, semua itu cuma tinggal kenangan... Loloq sudah pergi buat selama-lamanya. Aku kehilangan seorang teman dan juga guru.
Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment