Wednesday, January 30, 2008

Loloq dalam kenangan

Masih segar dalam ingatan aku awal perkenalan dengan Loloq, penulis lirik tersohor yang sering tampil dengan idea-idea berlainan dari orang lain.

Ketika itu, penghujung tahun 1996, Loloq dalam debaran menantikan isteri tercinta, Ery melahirkan anak pertama setelah tiga tahun berkahwin. Aku diperkenalkan kepada insan unik ini oleh seorang teman, Nor Azam Shairi (Bekas wartawan kanan Utusan Malaysia).

Pertemuan di Central Market itu telah mengubah hidup aku. Aku yang ketika itu bekerja di Naza Motor telah dipelawa untuk menyertai group yang diketuai oleh Loloq dalam pembikinan drama alih bahasa.

Loloq selaku ketua bahagian terjemahan skrip menawarkan aku kerja-kerja terjemahan skrip alih bahasa drama Sepanyol, Golden Dream. Drama itu antara produk terawal Astro Ria ketika diawal operasi saluran tersebut.

Aku hanya sempat membuat lima terjemahan sebelum Loloq menyerapkan aku ke Syarikat Translintang Sdn Bhd sebelum ditukar menjadi Melewar Entertainment Sdn Bhd. Tugas aku di syarikat ini adalah sebagai Pengurus Produksi dan Penerbit Dalaman bagi rancangan-rancangan alih bahasa yang dilakukan untuk siaran Astro Ria.

Sepanjang bekerja di situ aku kerap bertemu Loloq, tak kira siang atau malam. Kadang-kadang lewat malam pun aku akan ke rumahnya untuk mengambil disket yang telah siap diedit.

Aku juga kerap menemani Loloq berpusing-pusing sekitar KL sambil dia mencari buku untuk dibaca atau mencari port yang sesuai untuk dia menghasilkan lirik.

Pernah aku dan Loloq berjalan kaki dari Central Market ke Bukit Bintang kemudian patah balik ke Central Market sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid India. Tujuan Loloq hanyalah untuk menunjukkan tempat-tempat yang pernah dia melepak ketika dia datang ke Kuala Lumpur dengan menggunakan passport Indonesia.

Loloq memang pelik. Dan kerana pelik itu juga, M.Nasir amat memerlukan Loloq selalu bertemu dan berbual untuk bertukar-tukar fikiran. Kalau dengar dua manusia ini berbual macam orang sedang bertengkar atau bergaduh tetapi sebenarnya masing-masing sedang mengeluarkan fakta yang tepat tentang sesuatu topik.

Bukan dengan M.Nasir sahaja, malah kadang kala, dengan aku pun Loloq bercakap semacam hendak bertengkar bila kami bincangkan tentang sesuatu perkara.

Ketika awal kenal Loloq, dia baru saja selesai shooting filem Merah. Skrip yang beliau tulis berdasarkan pengalaman hidup dirinya sendiri. Tidak 100% pengalaman dirinya tetapi sebahagiannya adalah mengenai perjalanan hidup dia.

"Gua nak kasi tau orang, keluar penjara... pernah hisap dadah pun boleh berjaya dalam hidup kalau kita mau bikin," kata Loloq bila aku tanyakan tentang Merah.

Selepas Merah, Loloq menghasilkan skrip Gagak Kayangan yang asalnya akan dilakonkan oleh Kumpulan Wings dan Erra Fazira tetapi tidak menjadi. Akhirnya selepas sepuluh tahun, skrip itu bertukar menjadi Aduh Saliha.

Ketika mengubah suai skrip Aduh Saliha, aku sekali lagi bekerjasama dengan Loloq. Setiap hari aku akan ke Taman Tun Dr Ismail, ke pejabat yang disewa oleh Loloq. Pejabat yang hanya diketahui oleh Ery dan dua atau tiga orang teman lain termasuk aku.

Melalui Loloq juga aku mengenali M.Nasir dan sering ke Luncai Emas.

Masih aku ingat, ketika aku dalam perjalanan untuk ke Dinner Harakah bersama Munirah (yang kini sudah bergelar isteri aku), Loloq menelefon aku untuk memberitahu tentang dia akan ke Mekah untuk mengerjakan umrah.

"Gua dah tua... sebelum mati gua nak juga sampai Mekah," kata Loloq ketawa.

Selepas dia kembali dari mengerjakan umrah, aku tak sempat menemui Loloq kerana sibuk dengan kerja-kerja di Suara Keadilan. Namun kerana hendak menyerahkan kad jemputan kahwin, aku mintak juga Loloq lapangkan masa untuk aku bertemu.

Dia sudah memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke kenduri perkahwinan aku kerana musim banjir. Aku memang tak kisah kalau dia tak dapat datang.

Bila aku mahu kembali ke Kelantan, aku hanya dapat menelefon Loloq dan memberitahu bahawa aku akan berpindah ke Kelantan.

"Baguslah... lu stay sana dapat buat ibadat lebih, boleh bikin duit... KL tak boleh simpan duit, KL dah makin sesak beb... sesak nafas, sesak poket... macam-macam sesak... kepala pun semak... macam-macam hal... gua pun plan nak buat rumah kat Kampung Ery... Batu Gajah... gua nak tinggalkan KL... sekali sekala je turun," kata Loloq.

Hari ini, semua itu cuma tinggal kenangan... Loloq sudah pergi buat selama-lamanya. Aku kehilangan seorang teman dan juga guru.

Al-Fatihah.

Tuesday, January 15, 2008

30 hari

Semalam, 14 Januari 2008, genap 30 hari usia pernikahan aku dan munirah. Usia ini dikira dari tarikah akad nikah aku dan Munirah.

12 Januari lepas pulak, aku bertambah usia menjadi 35 tahun... baru 35 tahun. Paling indah kerana di pagi 12 Januari itu, aku menerima ucapan "Happy Birthday" dari isteri tercinta. Satu pengalaman yang manis dan sukar untuk aku lupakan.

Terima kasih kepada kawan-kawan yang turut ucapkan happy birthday kepada aku. Terima kasih Pujangga Aidit Alfian, Yazer dan Mikon.

Sedang cari tarikh sesuai nak bawa Munirah honeymoon dan nak bawa dia ke KL.

Saturday, January 5, 2008

Hari lima

Hari ini hari kelima tahun 2008. Tinggal tujuh hari lagi umur aku akan meningkat ke angka 35 tahun. Hmmm... masih muda sebenarnya. Hehe...

Hari ini aku dan si comel kesayangan aku, Munirah ke Tesco Kota Bahru yang baru saja dibuka pada Khamis lepas. Di Tesco ini kami menemui Donut Big Apple. Kami berdua agak terkejut bila pertama kali memandang signboard Big Apple kerana tidak langsung menyangka mereka akan membuka francais di Kota Bahru. Kami sering mendapatkan donut Big Apple di The Curve ketika masih di KL. Kali terakhir membeli donut Big Apple The Curve pada 27 Disember lalu ketika meraikan dua orang anak saudara aku (Danial dan Haikal) yang mendapat 8A dalam peperiksaan PMR.

Selain ke Tesco, tidak banyak tempat yang kami tuju kerana si comel kesayangan aku, Munirah masih belum benar-benar sihat untuk melakukan banyak aktiviti. Jadi acara jalan-jalan, lepak-lepak tidak berjalan dalam masa yang panjang. Lain masa akan lakukan lagi.

Friday, January 4, 2008

Jumaat pertama

Hari ini merupakan hari Jumaat pertama untuk tahun 2008 dan juga hari Jumaat pertama untuk aku di Kelantan selepas lebih dari 10 tahun aku berhijrah ke Kuala Lumpur.

Selama lebih dari 10 tahun setiap hari Jumaat adalah hari kerja. Di Kelantan, seperti mana ketika aku kecil dan zaman sekolah, hari Jumaat adalah merupakan hari cuti.

Hari ini, setelah tiga hari memulakan kerja di Kota Bahru, hari ini adalah hari cuti hujung minggu tetapi awal-awal pagi aku sudah bangun kerana mahu ke ofis. Nasib baik aku tersedar bahawa aku kini di Kelantan, kalau tak tentu aku dah siap-siap untuk ke ofis. Nasib baik.

Thursday, January 3, 2008

Makin gembira

Aku makin gembira dan selesa di ofis baru. Tiada lagi rasa tertekan sepertimana apa yang aku alami di ofis sebelum ini. Malas lagi aku nak ingat 'mimpi ngeri' di ofis lama. Namun aku tetap berterima kasih dengan apa yang aku pelajari di ofis lama, antaranya jangan pressure orang lain biarpun sudah deadline. Tenang-tenang sudah, tawakal pada Allah pastinya Dia akan tolong.

Di ofis baru, kerja aku lebih banyak dari ofis lama dan tanggungjawab aku juga lebih berat berbanding ketika di ofis lama. Namun kerana tiada tekanan yang melampau, makanya semua kerja mampu aku siapkan seperti yang dikehendaki.

Aku memang tak suka ditekan, maksud aku ditekan secara melampau. Aku akan memberontak dengan cara membuat kerja secara sambil lewa. Namun dalam sambil lewa itu, kerja akan tetap siap.

Ah... seperti yang aku katakan, aku malas nak ingat lagi apa yang pernah berlaku sebelum ini. Lebih baik aku tumpukan pada kerja aku sekarang dan pada isteri kesayangan aku Munirah.

Munirah, i love u soo much.

Wednesday, January 2, 2008

Hari kedua

Hari ini aku cuma bersendiri ke ofis. Munirahku demam. Demam sejak di KL masih belum benar-benar sembuh. Aku harap dia segera sembuh.

Hari ini juga hari kedua aku diofis baru. Aku diberi laptop dan hari ini tugas aku interview Broadcast Journalist (Wartawan Penyiaran) yang akan memulakan kerja secepat mungkin. Ini adalah second interview buat mereka yang aku pilih ini. Dari lima orang aku hanya pilih dua orang sahaja manakala seorang lagi akan diinterview minggu depan.

Rakan-rakan baru diofis baru ini mesra dan ramah termasuk Azhar, junior aku ketika disekolah menengah dulu. Aku rasa tenang disini.

Tuesday, January 1, 2008

1 Januari 2008

Mula kerja di Global Media Sdn Bhd, Kota Bahru. Belum ada apa-apa. Hanya ada bilik, meja dan kerusi. Belum ada komputer dan staff. Hari ini aku cuma kenal-kenal staff lain di sini.

Munirah, I love u so much.