BN yang hilang dua pertiga majoriti dikritik hebat malah ada yang meramalkan bahawa BN akan mengalami kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum ke 13 lima tahun akan datang. Kerana prestasi buruk BN yang tidak memperolehi dua pertiga majoriti di Parlimen, maka ramai yang menunggu persidangan Dewan Rakyat kali ini semata-mata kerana mahu melihat ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) berhujah dan memberi soalan hingga mampu membuatkan ahli parlimen BN atau menteri-menteri kabinet akan terkebil-kebil tidak mampu menjawab soalan yang dikemukakan.
Namun semua itu tidak menjadi kenyataan setelah Dewan Rakyat mula bersidang pada 28 April yang lalu. Ahli parlimen Pakatan Rakyat ternyata tidak mampu untuk menggunakan peluang yang ada bagi membuktikan bahawa mereka jauh lebih berwibawa berbanding wakil rakyat BN.
Ahli parlimen PR terutamanya dari PAS masih lagi lena dibuai kemenangan besar dalam PRU12 yang lalu. Ada antara mereka ini masih lagi dengan retorik sepertimana ceramah-ceramah mereka menjelang pilihnraya.
Tidak bersedia
Apa yang boleh dirumuskan adalah ahli-ahli parlimen PR kebanyakkannya tidak bersedia untuk menjadi wakil rakyat. Tidak bersedia untuk menjadi PR kepada rakyat. Tidak mampu membawa suara rakyat ke parlimen.
Soalan-soalan yang dikemukan tidak banyak membawa perbincangan kearah kebaikan rakyat atau soalan-soalan yang mewakil rakyat.
Soalan berkaitan Islam Hadhari sepatutnya sudah tidak lagi ditanya kerana selepas empat tahun, rakyat semuanya sudah tahu bahawa Islam Hadhari yang diasaskan oleh Abdullah Ahmad Badawi bukan hanya tidak difahami malah tidak membawa apa-apa erti.
Persoalan sama ada Islam hadhari masih lagi menjadi pegangan Kerajaan BN atau tidak tidak perlu dibangkit di parlimen, malah perkara itu tidak perlu dibincangkan di kedai kopi sekali pun kerana brand Islam Hadhari Abdullah Ahmad Badawi ini bukanlah satu produk yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia atau satu produk yang mampu memperkenalkan Malaysia di mata dunia.
Biarkanlah sahaja Abdullah Ahmad Badawi dan menteri-menterinya terus menerus leka dengan produk Islam Hadharinya itu kerana produk itu telah terbukti tidak mampu menarik perhatian rakyat dalam PRU12.
Ahli-ahli parlimen PR juga tidak seharusnya angkuh dengan kemenangan besar mereka dalam PRU12 yang lalu. Tidak perlu lagi mereka mengulangi cerita prestasi buruk BN dalam parlimen kerana semua orang sudah tahu apa sebab BN hilang dua pertiga majoriti.
Tidak perlu bagi wakil-wakil rakyat PR membuang masa untuk memberikan hujah retorik meraka bahawa kemenangan meraka lalu adalah kerana mendapat kepercayaan rakyat.
Mereka seharusnya sedar bahawa sikap mereka ini tidak mustahil akan menyebabkan rakyat akan kembali memberikan kepercayaan kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang kerana mereka telah membuktikan bahawa kehadiran mereka di parlimen tidak lebih hanya sebagai pemenuh dewan sahaja.
Bersuara untuk rakyat
Apa yang sepatutnya dilakukan oleh ahli-ahli parlimen PR adalah membuat persediaan terlebih dahulu sebelum melangkah memasuki dewan rakyat.
Persediaan yang perlu meraka lakukan bukan setakat menyediakan soalan untuk ditanya kepada mana-mana menteri tetapi mereka juga harus juga menilai diri mereka sendiri, apakah layak untuk mereka memikul tanggungjawab mewakili rakyat yang mengundi mereka.
Harapan besar rakyat tidak seharusnya disia-siakan dengan menyediakan soalan-soalan remeh dan berbahas tentang isu-isu yang sudah basi.
Sekian banyak isu yang ada dan sekian banyak masalah yang ditanggung oleh rakyat tetapi ahli-ahli parlimen PR lebih leka untuk bermegah dengan kemenangan besar dalam PRU12 yang lalu.
Jika inilah sikap ahli-ahli parlimen PR, apakah agaknya nasib rakyat negara ini jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan dalam masa terdekat seperti yang diwar-warkan oleh penasihat PKR, Anwar Ibrahim.
Jika dilihat dengan penampilan mereka ini ketika minggu kedua parlimen bersidang, rakyat negara ini berkemungkinan besar akan mempunyai menteri-menteri yang syok sendiri. Hal ini dibuktikan dengan soalan-soalan remeh yang dikemukan dan sikap yang jelas tidak bersedia untuk menjadi wakil rakyat.
Wakil rakyat BN lebih menyerlah
Dalam persidangan yang memasuki minggu kedua, ternyata wakil-wakil rakyat BN lebih bersedia dan lebih menyerlah kualiti mereka sebagai pemimpin berbanding wakil-wakil rakyat PR.
Soalan-soalan yang mereka kemukan ternyata lebih bersifat mewakili rakyat berbanding soalan dari wakil rakyat PR. Wakil rakyat BN juga ketika berbahas atau menjawab soalan lebih petah dan fasih berbahasa Melayu berbanding wakil rakyat PR yang sering tergagap-gagap dan tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Dengan apa yang dipamerkan oleh wakil rakyat BN tidak mustahil dalam PRU akan datang, rakyat akan kembali memberikan kemenangan kepada mereka kerana mereka membuktikan bahawa mereka lebih banyak membuat persediaan dan lebih banyak membuat kerja untuk mewakili rakyat.
Adalah diharapkan selepas ini wakil-wakil rakyat PR lebih membuat persediaan dan tidak lagi mengecewakan rakyat yang mengundi mereka.
No comments:
Post a Comment