(Proklamasi dibuat di hadapan 8,000 anak Kelantan di perantauan di Hotel Nikko,
“Tahukah kamu bagaimana Tuhanmu telah bertindak ke atas tentera bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka yang menyesatkan untuk menghancurkan Ka’abah itu sia-sia? Lalu dihantarNya burung-burung yang berbondong-bondong yang melempari mereka dengan batu-batu yang berasal dari tanah yang terbakar. Lalu, dijadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat”(Al-Fiil Ayat 1-6)
Mungkin pilihanraya kali ke-12 yang akan berlangsung pada 8 Mac 2008 adalah pilihanraya yang paling sengit yang pernah kita akan saksikan. Saya perhatikan, isu yang boleh menggugat keharmonian dan kestabilan negara cukup besar dan banyak sedangkan saya belum pernah lagi melihat betapa kepimpinan negara sedang berada dalam satu tahap penguasaan yang amat rendah, genting dan lemah. Dalam hampir setiap keadaan, kelemahan-kelemahan substantif ini tidak syak lagi sedang membebankan kehidupan rakyat, baik dari segi ketenangan hidup beragama, maruah Islam, keadilan dan hak asasi, inflasi, kenaikan tol dan petrol, rasuah, pembaziran dan jenayah, rogol, dedah, dadah dan belasah serta hubungan antara kaum yang kelihatan semakin tegang dan menampakkan tanda-tanda keretakan yang mendukacitakan. Ini semua berpunca dari sikap pemimpin UMNO/BN yang kehilangan arah, fokus dan tumpuan.
Anehnya, dalam serba kekurangan itu, mereka masih berdegil untuk berpaut didahan kuasa; bahkan masih ingin meraih mandat baru bagi terus mengekalkan hegamoni kuasa dengan meraih majoriti yang lebih besar. Dan, dalam keadaan beginilah pentingnya seluruh warga pengundi tidak mensia-siakan anugerah dan rahmat Allah swt untuk menggunakan kuasa rakyat. Hanya melalui suara demokrasi sahaja, UMNO/BN boleh disemak dan ditegur kehadirannya; bahkan wajar dipersoalkan keperluan akan kewujudannya. Sekali pandang tidak syak lagi parti yang kehilangan arah ini telah luput tempoh kegemilangannya. Daya hayat dan tarikh sah laku UMNO/BN seakan-akan sudah tiba masanya. Zaman kecemerlangannya telah patah turun. Inilah akibatnya apabila UMNO/BN jijik terhadap Islam, bahkan mahu memusnahkan Islam habis-habisan. Kini tiba giliran PAS untuk muncul sebagai pasukan misi penyelamat.
Untuk itu, izinkan saya meletakkan Sembilan Premis asas sebagai landasan berfikir :
Premis Pertama – Hidup ini bukan satu kebetulan. Ia dirancang oelh Allah, Malaikat dan para Nabi serta Rasul a.s. Tidakkah hidup ini perlu menurut syariat? Setipa amal dan aktiviti hidup manusia direkod dalam bentuk taat atau maksiat, dosa atau pahala, untuk menerima balasan sama ada syurga atau neraka. Soalnya, ke mana hilangnya, ghaibnya premis perhambaan manusia terhadap Alllah yang menjadi paksi hidup mati setiap mukmin yang sepenting ini? Apa jaminan golongan yang menolak ajaran Islam dan penyokongnya ini untuk selamat di akhirat kelak?
Premis Kedua – Dalam keadaan yang serba lemah dan perlukan rawatan, masih wajarkah UMNO/BN selaku pesakit kronik terus diberikan keistimewaan untuk berada di kerusi pilot lagi?
Premis Ketiga – Jika katakan mereka masih ditakdirkan berada di kerusi kuasa lagi, maka apakah tidak mustahak
Premis Keempat – Dalam konteks kepentingan Islam dan Melayu, apakah nasib yang menimpa umat hari ini akan mendapat pembelaan di masa depan tanpa kehadiran suara semakkan yang teliti dari PAS dan BA selaku “custodian” dan pengawal hak bagi kepentingan kaum dan rakyat majoriti?
Premis Kelima – Apa akan terjadi jika melalui apa jua pun cara sekalipun, yang di atur oleh UMNO/BN, tiba-tiba Kelantan juga turut disembamkan (nauzubillah) sedangkan bumi ini adalah kubu maruah ketuanan Islam dan paksi kekuatan ekonomi orang Melayu yang terakhir? Ertinya, jika UMNO/BN menang apakah bermakna bahawa segala yang diharamkan oleh Islam melalui usaha PAS akan dihidupkan semula di atas nama Islam Hadhari? Apakah semangat memperhambakan diri kepada Allah akan ditukar untuk menghambakan diri sesama manusia?
Premis Keenam – Dalam hambatan dan kekangan yang ada di Kelantan, tidak mencukupi lagikah bukti-bukti kemampuan Islam yang penuh bersahabat dan berkebajikan, hasil ikhtiar kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS? Tidakkah telah terbukti PAS mampu menerajui pelbagai pembaharuan yang turut ditiru oleh kerajaan pusat? Tidakkah ini cukup untuk menjadi “standing evidence” sebagai parti alternatif masyarakat
Premis Ketujuh – Tidakkah generasi muda dan kaum wanita terasa dihargai dengan segala program pengisian yang diberikan ruang berupa penghormatan dan pengiktirafan seperti program-program Nisa’ Games, pertunjukkan fesyen, konsert fenomena Mawi, motorcross, jogathon, narathon, dan futsal; bahkan hampir serba-serbi setakat yang tidak bercanggah dengan syariat, adab dan peraturan Ilahi?
Premis Kelapan – Dalam menangani dan mengimbangi kuasa politik antara kaum, tidakkah bertapaknya PAS diperingkat pusat dan sebahagian dari negeri-negeri wajar dilihat sebagai proses pengukuhan buat UMNO/BN itu sendiri?
Premis Kesembilan - Tidakkah rakyat diluar Kelantan boleh melihat betapa ego dan kepentingan UMNO/BN yang cuma melihat projek pembangunan sebagai “skim cepat kaya” boleh dikurangkan sedikit melalui kuasa undi ke kotak parti-parti alternatif? Sesungguhnya kerakusan nafsu dan kuasa UMNO/BN yang semakin liar ini perlu disemak atau disekat perjalanannya demi menyelamatkan demokrasi.
Disinilah letaknya kepentingan semua pihak untuk memahami tanggungjawab sebenar dalam pusingan pilihanraya pada kali ini. Jika anak Kelantan di luar Kelantan memahami kelapan-lapan premis yang telah saya bangkitkan ini, mereka akan tentu bersedia untuk pulang biarpun dalam keadaan berjalan kaki. Mereka perlu pulang ke
Ingatlah. Undilah dengan penuh cermat. Dalam setiap langkah dan pangkahan tuan-tuan sekalian, ada terdapat sepotong hukum yang bercabang dalam dua kemungkinan mudah iaitu sama ada pahala atau dosa. Selaku Mursyidul Am PAS, izinkan saya dengan seikhlas dan serendahnya merayu tuan puan untuk bersama dengan Parti Islam SeMalaysia. Dengan nada itu saya telah menyampaikan sebuah harapan. Namun, kepada Allah swt jualah tempat kami berserah dan menyandarkan segala tawakkal. Wallahu a’lam.
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS
Tanggal 23 Rabiul Awal 1429H/ bersamaan 1 Mac 2008.
No comments:
Post a Comment